SHAH ALAM – Penyebaran dua keping gambar di laman sosial
daripada sebuah buku terbitan untuk kanak-kanak mendapat perhatian umum ekoran
gambar tersebut disifatkan kurang sesuai untuk peringkat umur tersebut.
Gambar pertama menunjukkan huruf Z dengan ilustrasi
kanak-kanak lelaki seolah-olah sedang membuang air kecil sementara bagi buku
jawi pula huruf Sad diberikan contoh Salib.
Beberapa laman ‘page’ Facebook seperti Oh! Media dan Saya
Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad berkongsi gambar tersebut dengan pengikut-pengikutnya.
Tinjauan Sinar Harian Online mendapati beberapa ibu bapa
yang pernah membeli buku tersebut telah membuang atau mengoyakkan bahagian buku
itu setelah mendapati ia mengandungi gambar berupa alat kelamin lelaki.
Azura Ahmad Zue berkata, “sudah pernah beli buku ini dan
apabila anak-anak baca, mereka tak sebut alat kelamin itu tetapi mereka sebut
orang buang air kecil.”
Alyn Abd Aziz pula berkata, “saya pun ada terbeli yang ada Z
itu. Memalukan apabila anak tanya... mama, malu kencing. Terus papa dia koyak
helaian yang Z itu dan buang.”
Ramai juga yang berpendapat Z dan Sad itu boleh mewakili
beberapa contoh lain.
Nurul Key, “kita dulu-dulu Z itu zoo atau zirafah sahaja.”
Lyza Nuryn, “dulu kalau Z itu zip atau ‘zebra’”.
Azizah Ns, “adalah lebih baik sad untuk solat, kenapa
salib?.”
Ekoran kandungan buku itu kecoh diperkatakan, penerbit buku
tersebut tampil menjelaskan perkara tersebut berkenaan melalui akaun Facebook
atas nama Ladybug Books.
“Buku itu untuk mendidik soal anggota badan dan terma
manusia secara umum. Perkara ini sudah dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN)
dan disarankan untuk meletakkan pelekat untuk menutup bahagian alat sulit
lelaki itu.
“Orang yang menyebarkan gambar ini telah membuang pelekat
tersebut. Saya akan membuat laporan polis terhadap orang itu,” tulis akaun
tersebut.
Sementara bagi perkataan salib pula, pihak penerbit menyebut
perkara itu tiada isu kerana pihak KDN memberitahu tiada masalah dengan buku
itu.
“Untuk isu huruf Sad untuk salib, KDN telah menjelaskan
perkara ini pada 6 Mac 2013 yang menyebut bahawa tiada masalah dengan buku itu.
“Tetapi sebagai penerbit yang bertanggungjawab, kami telah
membuat keputusan untuk meminda buku itu. Saya bagi pihak penerbit memohon maaf
jika menyinggung perasaan orang Islam.
“Tujuan dan niat kami hanya untuk memperkenalkan perkataan
salib di mana ibu bapa boleh memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mereka
perkara yang haram di sisi agama Islam,” tulis akaun itu lagi.
Meskipun ramai yang marah dengan kandungan itu, ada juga
pemilik akaun Facebook yang menyifatkan perkara itu sebagai didikan awal untuk
kanak-kanak mengenal anggota badan mereka.
Aruza Halludba menulis, “terangkanlah (ia) kemaluan lelaki.
ALLAH cipta untuk kencing dan membezakan lelaki dengan perempuan. Ajar (juga)
tak boleh selalu disebut, tak manis. Begitu sahaja.”
Muhamad Zaini pula berkata, “ tak perlu malu. Pendidikan
seks adalah perlu diberitahu agar dia boleh membezakan alat sulit lelaki dan
perempuan. Ia bergantung pada ibu bapa. Jangan fikir ini semua lucah.”
Sumber : http://www.sinarharian.com.my