Monday, February 16, 2015

30 jenis ikan diturunkan harga

9:51 AM 1 comments

JENGKA - Peniaga Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini menurunkan harga setiap harga barangan seperti mana saranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Seorang peniaga ikan, Mohd Shah Saidi, 36, berkata, harga 30 jenis ikan yang dijual diturunkan antara 10 hingga 15 peratus sejak Selasa lalu.

Menurutnya, penurunan itu membabitkan sekurang-kurangnya RM1 setiap jenis ikan sekali gus memberi penjimatan kepada pembeli yang berbelanja di Pakar Jengka.

“Harga ikan dijual peniaga biasanya bergantung kepada harga pemborong dan mengalami penurunan serta kenaikan mengikut musim tertentu. Hujung tahun pada musim tengkujuh memang naik dan begitu juga menjelang cuti Tahun Baru Cina.

“Saya tiada masalah untuk turunkan harga barang meskipun akan menyebabkan untung berkurangan sedikit. Tapi, peniaga juga rakyat biasa yang mahu kos hidup tidak membebankan," katanya.

Seorang peniaga sayur, Rosnah Abu Bakar, 51, berkata, dia tidak menaikkan harga sayur walaupun terdapat kenaikan harga minyak.

Menurutnya, barangan di pasar tani lebih murah kerana peniaga mendapatkan bekalan terus dari pengeluar tanpa melalui orang tengah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Sampai bila nak curi tulang?

9:47 AM 1 comments

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam.

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing.

Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja.

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam.

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat.

Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal.

Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua.

Ikuti kupasan Sinar Harian dalam isu membabitkan segelintir kakitangan awam yang dilihat seolah-olah makan gaji buta dan tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger