SONIPAT (India): “YA, laporan ini adalah benar iaitu kami
menyambut kelahiran bayi perempuan yang mempunyai dua kepala," kata Ketua
Pegawai Eksekutif Cygnus JK Hindu Hospital, Dr Ashish Sehgal.
Beliau memberitahu ABCNews.com menerusi emel: “Bayi
perempuan itu hidup dan sihat.”
Sehgal berkata, mereka menyambut kelahiran bayi perempuan
yang mempunyai berat 5.3 paun atau 2.40 kilogram menggunakan kaedah pembedahan
Caesarean, di hospital berkenaan, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari
Delhi, Rabu lalu.
The New York Daily News pula melaporkan ibu kepada bayi
berkenaan, Urmila Sharma, tidak mampu untuk melakukan ujian ultrasound dan
tidak tahu dia akan melahirkan anak kembar siam.
JURURAWAT sedang membetulkan kepala bayi perempuan kembar
siam di hospital di Sonipat, India. FOTO Sanjeev Ghangas/Cover Asia Press
Dr Shikha Malik iaitu pakar perubatan yang menyambut
kelahiran bayi berkenaan berkata: "Kami hanya tahu mengenai kandungan
Urmila dua minggu lalu. Tapi, ketika itu kami tidak dapat berbuat
apa-apa."
Sementara itu, mengikut Daily Mail, kembar siam itu
mempunyai `dua kepala, dua leher dan dua tulang belakang' tetapi berkongsi satu
badan
Sumber : http://www.hmetro.com.my