ARAU - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail bertitah, para pelajar mampu mencapai tahap cemerlang dengan
mengamalkan beberapa perkara namun asasnya adalah menghormati ibu bapa dan
guru.
Menurut baginda sebagai umat Islam, doa dan restu ibu bapa
amat penting untuk mendapat ilmu yang berkat manakala guru adalah sumber ilmu
pengetahuan yang paling hampir dengan mereka.
"Kedua-dua indivitu ini perlu sentiasa dihormati
walaupun pelajar boleh memberi pandangan atau pendapat selain pembelajaran
mesti melalui proses soal-jawab untuk mengasah ketajaman daya pemikiran.
"Beta mahu setiap pelajar mengikis sifat malu bertanya
atau terlibat dengan serius dalam sesi soal-jawab atau perbincangan dalam
menimba ilmu," titah baginda ketika merasmikan Majlis Anugerah
Kecemerlangan ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad di sini
semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul
Shahreen Akashah Khalil; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man turut
hadir.
Keberangkatan baginda berdua disambut Pengarah Jabatan
Pendidikan Negeri, Rooslee Ismail dan pengetua sekolah Abdul Rashid Sulaiman.
Sekolah Kluster Kecemerlangan itu juga menawarkan pengajian
International Baccalaureate (IB).
Tuanku Syed Faizuddin mencadangkan pelajar lebih banyak
membuat perbincangan berkumpulan khususnya menjelang peperiksaan yang terbukti
dapat meningkatkan kefahaman sesuatu subjek dengan lebih berkesan.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah
Pelajar Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Anis Najhan Md
Jamil manakala Tham Chew Meng menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Lelaki.
Mohamad Firdaus Ali dan Anudsara a/p Vik Chan masing-masing
menerima Anugerah Tokoh Pelajar. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my