SEOUL - KOREA SELATAN . Keluarga penumpang feri yang karam
di Korea Selatan menerima mesej menyayat hati daripada anak-anak mereka yang
masih terperangkap di dalamnya.
Memetik laporan ABC News, salah seorang pelajar perempuan
berusia 19 tahun yang hanya dikenali menerusi nama terakhirnya, Shin telah
menghantar mesej kepada bapanya.
“Ayah, jangan risau. Saya ada jaket keselamatan dan kami
berpaut satu sama lain,” tulis Shin seperti yang dilaporkan agensi berita
Korea, MBC News.
Kemudian, bapanya membalas, “Ayah tahu pasukan penyelamat
dalam perjalanan tapi cuba cari jalan keluar jika boleh.”
“Ayah, saya tak boleh keluar. Koridor penuh dengan orang dan
ia terlalu condong,” beritahu Shin lagi.
Dalam perkembangan lain, seorang pelajar lelaki menghantar
pesanan kepada ibunya yang tidak tahu bahawa feri itu karam.
“Ibu, saya mungkin tak sempat nak beritahu yang saya
sayangkan ibu,” tulisnya.
“Ibu juga. Ibu sayang kamu,” balas ibunya diikuti tiga
simbol hati.
Namun, pelajar itu antara 179 yang dilaporkan terselamat,
lapor MBC.
Sementara seorang lagi keluarga memberitahu telah menerima
pesanan yang berbunyi, ‘saya hidup’ daripada salah seorang penumpang namun ia
tidak pasti sama ada penumpang itu sudah diselamatkan atau belum.
Salah seorang penumpang terselamat berkata, ketika kejadian,
dia terdengar bunyi dentuman dan feri mula condong dan terdengar pengumuman
dibuat agar penumpang kekal di tempat masing-masing.
“Beg-beg mula jatuh dan kami semua tertanya-tanya apa yang
berlaku tapi pengumuman itu meminta kami kekal di tempat kami, jadi kami ikut
arahan.
“Feri mula condong secara tiba-tiba dan semua orang
menggelongsor ke bawah dari atas. Saya berpaut pada susur tapi kemudian saya
dilanggar seseorang yang jatuh dari atas dan saya turut tertolak ke bawah,”
kata Young-Ja Shin.
Seorang penumpang berusia 50 tahun, Eun-Bok Jang berkata
dalam kejadian itu dia tidak mampu bernafas.
“Ia ambil masa 10 saat untuk condong sepenuhnya dan saya
mula menggelongsor ke hujung.
“Saya dilanggar dan kemudiannya saya tidak dapat bernafas,”
katanya.
Menurutnya, suasana dalam feri itu semakin kecoh apabila
semua barang-barang seperti peti ais mula jatuh.
Berdasarkan cerita penumpang terselamat lain, apabila air
mula memasuki feri itu, ramai penumpang yang memakai jaket keselamatan dan
keluar menyelamatkan diri.
Difahamkan menurut laporan Reuters, feri terbabit membawa
325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar
sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong.
Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang
dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my