"POPULARITI itu bonus. Jika anda datang ke Malaysia
semata-mata mahu mengejar glamor, lupakan sahaja niat itu," lancar bicara
pelakon Aaron Aziz.
Aaron melontarkan kata-kara itu selepas ditanya mengenai
makna populariti serta legasi yang dibinanya sebagai seorang anak seni di
Malaysia selepas menjulang trofi kemenangan Bintang Paling Popular pada majlis
Anugerah Bintang Popular 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Merungkai maksud tersebut dengan lebih terperinci, Aaron
atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, 38, menjelaskan, banyak perkara lain
yang perlu diberi perhatian jika ada antara pelakon dari Singapura yang ingin
datang ke Malaysia bagi melebarkan sayap.
"Saya akui, Malaysia merupakan sebuah platform terbesar
bagi para pelakon Melayu di Singapura untuk menonjolkan bakat dan mengembangkan
karier lakonan.
"Justeru, jika ada yang berhasrat untuk masuk ke
pasaran ini (industri seni Malaysia), mereka perlu bersedia dari segi mental
dan fizikal sebelum berfikir tentang soal populariti," ujarnya.
Tambah Aaron, selain memasang niat yang betul, apa yang
penting sewaktu mencari rezeki di tempat orang adalah menjaga disiplin diri.
"Jika kita betul-betul berusaha dan bekerja
berlandaskan niat yang betul, maka apa yang diusahakan itu akan membuahkan
hasil," katanya.
Pasaran besar
Mengakui lambakan bakat dari Singapura seperti tidak pernah
putus mewarnai persada seni tanah air, Aaron berpendapat, trend tersebut dilihat
sebagai satu peluang kepadanya untuk belajar sesuatu yang baharu, bukannya
medan untuk bersaing sesama sendiri.
"Saya tidak pernah menganggap kebanjiran bakat dari
Singapura sebagai satu saingan. Sejak dahulu lagi, kita sudah sedia maklum
dengan penghijrahan ramai artis dari Singapura.
"Malaysia boleh diibaratkan seperti Hollywood bagi
kami. Nama-nama seperti Datuk M. Nasir, Ramli Sarip, Allahyarham Loloq serta
Hamidah Wahab merupakan antara individu yang pernah dan masih mencipta nama di
sini.
"Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya terus berkarya
dan memenuhi tawaran yang diberikan jika ia kena dengan apa yang saya lakukan
kini," ujarnya.
Peranan peminat
Walaupun namanya begitu dikenali di Malaysia, pelakon yang
popular menerusi filem Ombak Rindu ini tidak menolak jika menerima tawaran
daripada pihak produksi Singapura.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah jika dipanggil
untuk berlakon kembali di sana. Malah, saya baru sahaja bersetuju untuk
membintangi sebuah telefilem khas di Singapura tidak lama lagi," ujarnya.
Setelah dua kali memenangi anugerah yang sama, Aaron
menyifatkan kemenangan kali kedua itu sebagai hadiah serta hasil kerja yang
kuat oleh kelab peminatnya, Aaronatics.
"Sejujurnya apabila melihat kepada pencalonan bagi
setiap kategori pada kali ini, semuanya terdiri daripada artis-artis muda.
"Disebabkan itu, saya langsung tidak meletakkan
sebarang harapan untuk menang. Alhamdulillah, berkat sokongan dan kepercayaan
para peminat.
"Saya sangat bersyukur dengan kesungguhan yang
ditunjukkan oleh ahli kelab peminat saya.
Bebas kontroversi
Pada malam itu, nama Siti Saleha tiba-tiba menjadi sebutan
apabila pelakon yang pernah popular menerusi drama Nora Elena itu memenangi
anugerah bagi dua kategori besar, iaitu Pelakon Filem Wanita Popular dan
Pelakon TV Wanita Popular.
Mengalahkan nama-nama seperti Erra Fazira, Lisa Surihani dan
Nora Danish, Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum, 24,
sendiri ternyata terkejut dengan kemenangannya itu.
Namun, jelas adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini,
pengiktirafan tersebut kini menjadi bukti kehadirannya dalam bidang lakonan
disedari oleh khalayak umum.
"Apabila kita memenangi sebarang anugerah, pasti akan
ada pihak yang memandang kita dengan lebih serius. Sudah lama saya mengimpikan
untuk merasai saat-saat seperti itu.
"Saya percaya, selain dapat mengembangkan jumlah
pengikut, anugerah seperti ini juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada
saya untuk mengembangkan karier sebagai seorang pelakon," katanya yang
tidak meletakkan sebarang harapan kerana menyifatkan saingan pada malam itu
begitu kuat.
Mengulas mengenai tawaran berlakon yang bakal diberikan
kepadanya selepas ini, Saleha memberitahu, sebelum menjulang anugerah tersebut,
dia sudah tersedia selektif dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya.
"Saya tidak semborono ketika memilih watak. Saya
sukakan cabaran dan lebih mementingkan kualiti berdasarkan apa yang akan saya lakonkan.
"Jadi, istilah selektif itu perlu bagi memberikan saya
peluang mencuba watak yang berlainan bagi setiap drama atau filem yang saya
lakonkan," tutur gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Ketika disoal mengenai statusnya sebagai artis bebas
kontroversi, Saleha berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah terjebak dengan
sebarang gosip sehingga mampu memburukkan namanya.
"Alhamdulillah, sepanjang saya bergelar pelakon, saya
tidak pernah dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak.
"Siapa yang mahu dilanda kontroversi? Kalau boleh, apa
sahaja yang berkaitan dengan kontroversi saya akan tolak ke tepi. Insya-Allah,
saya akan cuba untuk mengekalkan imej bersih ini hingga bila-bila,"
tuturnya sambil tersenyum.
Melanjutkan perbualan mengenai teman lelaki baharunya, gadis
kelahiran England ini lebih selesa untuk tidak menghebahkan kisah cintanya
kepada media.
"Saya lebih selesa untuk tidak membicarakan soal cinta.
Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Portugal dan kini bekerja di
sebuah syarikat kewangan di Kuala Lumpur," katanya mengakhiri perbualan.
Sumber : http://www.kosmo.com.my