Thursday, May 8, 2014

15 tahun derita sakit misteri

12:49 PM No Comments

REMBAU –“Ada masanya saya terasa sakit seluruh badan. Sakitnya seperti dicucuk duri. Tapi, doktor kata saya hidap sakit usus,” luah Rokiah Baba, 59, ketika ditemui di kediaman sewa anaknya di Jalan Datuk Mohd Dom, dekat sini, semalam.

Rokiah berkata, sejak hampir 15 tahun lalu, dia tiba-tiba diserang sakit misteri dan terpaksa berhenti kerja sebagai tukang sapu di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di daerah berkenaan.

Menurutnya yang merupakan ibu tunggal sejak lebih tiga tahun lalu, susulan penyakitnya itu, dia tidak mampu lagi bekerja dan hanya bergantung kasih serta harapan pada lapan anaknya untuk menguruskan dirinya.

“Kini saya tinggal di rumah sewa anak saya, Mohd Fadzly Zainal, 34. Kami lapan sekeluarga menetap di sini termasuk seorang anak saya yang masih bersekolah di tingkatan tiga serta anak perempuan saya, Nur Fazilatul Wahida Zainal, 20, yang tidak bekerja bagi menjaga saya.

“Urusan mandi dan tukar lampin saya dibantu sepenuhnya oleh menantu dan anak perempuan saya,” katanya.

Walaupun Rokiah memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuknya menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan kos ke hospital.

Menurutnya, susulan masalah kewangan yang dihadapinya itu, ada kalanya dia terpaksa menggunakan surat khabar sekiranya kehabisan lampin pakai buang dan tidak mampu untuk membeli keperluan perubatan lain.

“Sebelum ini, dia ada memohon bantuan Baitulmal dan sudah diluluskan beberapa tahun lalu, namun kesukarannya untuk menyediakan akaun bank menyebabkan saya tidak mendapat bantuan berkenaan.

“Kini, saya hanya bergantung kepada anak-anak, namun pendapatan mereka juga hanya sekadar cukup makan sahaja.  Bila ada individu yang sudi hulur bantuan termasuk beli lampin pakai buang, saya berasa sangat lega.

Sementara itu, individu yang tidak ingin dikenali berkata, dia sering menziarahi keluarga berkenaan sejak tiga tahun lalu dan menghulurkan bantuan sekadar mengikut kemampuannya.

“Kakak Rokiah ini kini bergerak menggunakan kerusi roda dan banyak bantuan yang perlu dipenuhi terutamanya bantuan lampin pakai buang serta susu khas bagi tulang belakangnya susulan dia hanya duduk dan terbaring sahaja.

“Oleh itu, saya berharap agar ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal ini memandangkan dia sememangnya amat memerlukan bantuan berkenaan," katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Lambaian terakhir Giggs

12:46 PM No Comments

PEMAIN veteran Manchester United, Ryan Giggs membuat kemunculan ke-963 bersama The Red Devils pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Hull City, awal pagi semalam.

Aksi di Old Trafford itu dimenangi United dengan keputusan 3-1.

Giggs yang bertindak selaku pengurus sementara United, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 dan mencipta peluang buat Robin van Persie meledak gol ketiga m-86.

Pemain kelahiran Wales itu mengambil alih tempat David Moyes selepas pengurus berkenaan dipecat gara-gara membawa United ke kedudukan yang tidak disenangi peminat.

“Saya hanya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemain dan kakitangan pasukan di atas sokongan anda tahun ini. Terima kasih istimewa juga untuk Nemanja Vidic yang akan meninggalkan Old Trafford.

“Kami tahu musim ini adalah yang sukar kerana selama ini kami telah dirosakkan oleh kejayaan yang dikecapi. Kamu (penyokong) perlu  memberi sokongan kepada pasukan supaya kejayaan dapat dikembalikan pada tahun-tahun akan datang,” kata Giggs ketika berucap selepas perlawanan berakhir.

Giggs belum memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjayanya buat tahun ke-24 musim depan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Enam negeri semenanjung alami gangguan elektrik

12:42 PM No Comments

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di enam negeri di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik selama tiga jam dari pukul 2 petang hingga 5 petang hari ini.

Kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam laman sosial Facebook menyebut gangguan itu membabitkan kawasan Bandar Baru Nilai dan Rantau di Negeri Sembilan; Segamat dan Bakri, Pagoh (Johor); Merlimau, Masjid Tanah dan Jasin (Melaka); Manjung (Perak); Sungai Petani dan Kulim (Kedah) serta Prai (Pulau Pinang).

TNB sedang menyiasat punca kejadian dan pengguna dinasihat menghubungi talian 15454 untuk sebarang pertanyaan.

Sementara itu, jurucakap TNB Careline, yang dihubungi Bernama, berkata pihaknya tidak menolak kebarangkalian gangguan bekalan elektrik berlaku ekoran hujan lebat dan angin kencang petang tadi. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Pian Cecupak, Boy Iman, Nash terima gelaran Datuk

12:40 PM No Comments

SIAPA sangka, aktor komedi, Pian Cecupak yang pernah mencetuskan kontroversi menerusi pengakuannya yang melakukan suntikan wajah, dikhabarkan telah dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M), dari Kerajaan Naning, yang membawa gelaran Datuk, baru-baru ini.

Meskipun gelaran itu menjadi pertikaian oleh segelintir pihak, namun Pian tetap bersyukur kerana dia terpilih menerima gelaran itu bersama dua rakan artis lain, iaitu penyanyi Boy Iman dan Nash. 

“Terpulanglah orang nak cakap apa. Tapi saya sebenarnya banyak melakukan kerja-kerja amal bersama anak yatim, ibu tunggal dan juga jemaah masjid.

"Takkanlah segala benda, lebih-lebih lagi berkaitan amal saya nak hebohkan satu dunia. Saya melakukan kerja amal hanya kerana ALLAH SWT. 

“Sesungguhnya hanya ALLAH SWT tahu apa yang saya buat sehingga mendapat kurniaan dan gelaran Datuk ini,” katanya yang kini banyak menghabiskan waktunya menyumbangkan keringatnya membantu golongan yang kurang bernasib baik selain menjadi orang yang
bertanggungjawab menguruskan majlis-majlis keramaian bagi Kerajaan Naning.

Aktif berpersatuan

Walaupun sebelum ini pelakon Nurul Iman atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iman kurang menyerlah dalam industri seni, namun ia tidak membataskan pelakon ini untuk berjaya dengan cara sendiri.

Bersyukur dengan gelaran Datuk yang diterima, Boy berkata, ia bagaikan satu mimpi di dalam hidupnya. Malah dia tidak menyangka kerja amal yang dilakukannya sebelum ini menjadi faktor utama melayakkannya menerima gelaran Datuk.

“Saya terlibat dengan beberapa persatuan atau NGO. Antaranya Persatuan Insan Prihatin Malaysia di mana saya bertindak sebagai timbalan pengerusi.

"Menerusi persatuan saya banyak terlibat dengan pelbagai aktiviti, seperti projek amal bersama golongan gelandangan, anak yatim, orang-orang tua, ibu-ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.

Menurut Boy, dia juga sering menjayakan program keraian yang melibatkan Kerajaan Naning. 

“Sebagai artis, selain menghiburkan tetamu pada majlis-majlis keramaian, peranan saya juga memberi publisiti kepada Yang Amat Mulia dan menguruskan sesuatu majlis,” katanya.

Sementara itu, bagi Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, gelaran yang diterima tidak membuatkannya mendabik dada. Jelas bekas vokalis kumpulan Lefthanded ini, dia masih seperti 'Nash' yang dulu.

“Biarpun telah diberikan gelaran Datuk, itu tidak membezakan siapa diri saya.

“Saya harap dengan penganugerahan ini, usaha saya untuk terlibat dalam kerja amal akan terus berterusan,” katanya yang turut aktif melakukan kerja-kerja amal.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger