Sunday, February 16, 2014

Buku kanak-kanak siar gambar lucah, sensitif

3:12 PM No Comments


SHAH ALAM – Penyebaran dua keping gambar di laman sosial daripada sebuah buku terbitan untuk kanak-kanak mendapat perhatian umum ekoran gambar tersebut disifatkan kurang sesuai untuk peringkat umur tersebut.

Gambar pertama menunjukkan huruf Z dengan ilustrasi kanak-kanak lelaki seolah-olah sedang membuang air kecil sementara bagi buku jawi pula huruf Sad diberikan contoh Salib.

Beberapa laman ‘page’ Facebook seperti Oh! Media dan Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad berkongsi gambar tersebut dengan pengikut-pengikutnya.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati beberapa ibu bapa yang pernah membeli buku tersebut telah membuang atau mengoyakkan bahagian buku itu setelah mendapati ia mengandungi gambar berupa alat kelamin lelaki.

Azura Ahmad Zue berkata, “sudah pernah beli buku ini dan apabila anak-anak baca, mereka tak sebut alat kelamin itu tetapi mereka sebut orang buang air kecil.”

Alyn Abd Aziz pula berkata, “saya pun ada terbeli yang ada Z itu. Memalukan apabila anak tanya... mama, malu kencing. Terus papa dia koyak helaian yang Z itu dan buang.”

Ramai juga yang berpendapat Z dan Sad itu boleh mewakili beberapa contoh lain.

Nurul Key, “kita dulu-dulu Z itu zoo atau zirafah sahaja.”

Lyza Nuryn, “dulu kalau Z itu zip atau ‘zebra’”.

Azizah Ns, “adalah lebih baik sad untuk solat, kenapa salib?.”

Ekoran kandungan buku itu kecoh diperkatakan, penerbit buku tersebut tampil menjelaskan perkara tersebut berkenaan melalui akaun Facebook atas nama Ladybug Books.

“Buku itu untuk mendidik soal anggota badan dan terma manusia secara umum. Perkara ini sudah dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disarankan untuk meletakkan pelekat untuk menutup bahagian alat sulit lelaki itu.

“Orang yang menyebarkan gambar ini telah membuang pelekat tersebut. Saya akan membuat laporan polis terhadap orang itu,” tulis akaun tersebut.

Sementara bagi perkataan salib pula, pihak penerbit menyebut perkara itu tiada isu kerana pihak KDN memberitahu tiada masalah dengan buku itu.

“Untuk isu huruf Sad untuk salib, KDN telah menjelaskan perkara ini pada 6 Mac 2013 yang menyebut bahawa tiada masalah dengan buku itu.

“Tetapi sebagai penerbit yang bertanggungjawab, kami telah membuat keputusan untuk meminda buku itu. Saya bagi pihak penerbit memohon maaf jika menyinggung perasaan orang Islam.

“Tujuan dan niat kami hanya untuk memperkenalkan perkataan salib di mana ibu bapa boleh memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mereka perkara yang haram di sisi agama Islam,” tulis akaun itu lagi.

Meskipun ramai yang marah dengan kandungan itu, ada juga pemilik akaun Facebook yang menyifatkan perkara itu sebagai didikan awal untuk kanak-kanak mengenal anggota badan mereka.

Aruza Halludba menulis, “terangkanlah (ia) kemaluan lelaki. ALLAH cipta untuk kencing dan membezakan lelaki dengan perempuan. Ajar (juga) tak boleh selalu disebut, tak manis. Begitu sahaja.”

Muhamad Zaini pula berkata, “ tak perlu malu. Pendidikan seks adalah perlu diberitahu agar dia boleh membezakan alat sulit lelaki dan perempuan. Ia bergantung pada ibu bapa. Jangan fikir ini semua lucah.”

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger