Kota Bharu: Kelantan meneruskan kebangkitan selepas bergelut
dengan masalah prestasi sebelum ini apabila menewaskan T-Team, 3-0 pada aksi
Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan Mohamed Shawky pada
minit ke-32, sebelum disusuli kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi ketika
permainan babak pertama berbaki satu minit, manakala gol ketiga ilham Mohamad
Ghaddar pada minit ke-84.
Dalam saingan yang disaksikan kira-kira 17,000 penonton itu,
kedua-dua pasukan dilihat bermain berhati-hati sebaik sepak mula apabila kurang
melakukan serangan.
Tidak tunggu lama
Skuad The Red Warriors (TRW) bagaimanapun tidak mahu
menunggu lama apabila pemain kelahiran Mesir, Mohamed Shawky meletakkan
pasukannya di depan pada minit ke-32 hasil umpanan Ahmad Shakir, selepas
pelawat cuba menggugat gawang Khairul Fahmi Che Mat menerusi Azrul Hazran lapan
minit sebelum itu.
Jaringan pertama itu nyata memberi semangat kepada Kelantan
untuk terus melancarkan serangan dan hasilnya, tuan rumah selesa 2-0 ketika
permainan hendak berhenti rehat menerusi Mohd Badhri.
Kelantan yang belum berpuas hati apabila permainan disambung
semula, terus mengasak menerusi rembatan deras Francis Forkey Doe dari luar
kotak penalti pada minit ke-48 namun berjaya ditepis keluar Mohd Shahril.
T-Team hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-71, namun
rembatan leret bekas pemain Kelantan, Mohd Nizad Ayub sekadar menggegar tiang
gol TRW. Impian pelawat merapatkan kedudukan sekali lagi tidak berhasil apabila
jaringan Fabio Flor dibatalkan pengadil selepas pemain itu mengasari pertahanan
tuan rumah.
Penyokong TRW terus ceria selepas Mohamad Ghaddar menambah
jaringan ketiga Kelantan menerusi rembatan kencang selepas melakukan larian
solo pada minit ke-84 untuk membolehkan Kelantan menang3-0 untuk mengumpul
sembilan mata dari lima perlawanan setakat ini.
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian
0 comments:
Post a Comment