SUNGAI PETANI - Orang ramai yang menghadiri majlis
perkahwinan di Taman Keladi dekat sini kelmarin gempar apabila pengantin lelaki
yang lengkap mengenakan pakaian mempelai meninggalkan kerusi tempat duduk
pengantin yang telah dikhaskan.
Tindakan pengantin lelaki, Mohd Shahfizal Muhammad Shahfawi,
27, yang bekerja di sebuah syarikat industri itu turut mengejutkan pasangannya,
Nor Hasliza Abd Rashid, 24, yang sedang disandingkan bersama ketika itu.
Bukan sahaja tetamu yang hairan, malah ibu bapa pengantin
turut terkejut menjadikan suasana sedikit cemas dan kelam-kabut.
Bagaimanapun, tindakan Mohd Shahfizal itu dilakukan bagi
membolehkannya membalas ‘panggilan’ salah seorang ahli pertubuhan silat yang
sedang dalam pertunjukan ketika itu.
Dia dilihat mengambil tempat di lokasi pertunjukan silat
bersama beberapa ahli pertubuhan berkenaan sebelum mempamerkan kemahiran yang
dimiliki dalam seni mempertahankan diri tersebut.
Tindakannya mendapat perhatian pengunjung yang kemudian
mengerumuni tempat pertunjukan bagi menyaksikan dengan lebih dekat.
Menurut Shahfizal yang juga Jurulatih Silat Lincah Malaysia,
tindakan itu dilakukan bagi ‘membalas’ pergerakan setelah dicabar anak buah
yang sedang membuat pertunjukan ketika itu.
Mohd Shahfizal berkata, dia terus memulakan langkah apabila
dicabar anak buah yang sedang beraksi.
“Saya juga tidak menyangka akan turut serta membuat
pertunjukan kerana mengikut perancangan awal, hanya anak buah sahaja yang
terlibat.
“Tetapi, secara tiba-tiba mereka ‘mencabar’ saya untuk turut
serta dan saya menyambut cabaran itu tanpa dirancang. Namun Alhamdulillah,
semuanya berjalan lancar akhirnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Nor Hasliza yang bekerja sebagai kerani di
sebuah syarikat swasta turut terkejut dengan tindakan suami yang secara
tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi.
“Saya juga tidak menyangka suami akan membuat persembahan
kerana dia pun tidak membuat sebarang persiapan,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my