“SUDAH 30 tahun saya tawarkan harga makanan dengan harga
yang murah,” kata A. Karim Belohik, 70 yang mengusahakan kedai makan dikenali
sebagai Gerai Karim di Lorong Bugis, Jalan Kukup.
A Karim berkata dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga
makanan dan minuman yang dijual kerana dia mahu menyahut seruan kerajaan bagi
membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
Katanya, dia masih mampu mengekalkan harga yang jauh lebih
murah berbanding peniaga makanan dan minuman yang menjadi saingannya.
Malah tidak keterlaluan jika harga ditawarkan di Gerai Karim
adalah paling murah di Pontian iaitu RM2 untuk sarapan dan RM4 untuk makan
tengah hari.
Hanya dengan harga RM2, pelanggan akan dapat menikmati
minuman teh tarik bersama roti canai, mi goreng mahupun nasi lemak, manakala
hidangan tengah hari nasi putih berlauk sama ada ayam atau ikan dan minuman
dijual dengan harga RM 4.
Jelasnya, kebanyakan pelanggan yang bertandang ke gerainya
merupakan pelanggan setia terdiri daripada pekerja kilang, kakitangan swasta
dan awam serta orang ramai di kawasan berkenaan.
“Harga yang ditawarkan cukup rendah kerana mengambil kira
status pelanggan dan konsep kedai yang menjual harga makanan dengan kadar yang
begitu rendah berbanding kedai-kedai makan lain," katanya.
Mengulas mengenai menu makanan katanya, hampir 20 lauk pauk
kampung dimasak setiap hari dengan menu
wajib asam pedas ikan pari dan ayam masak merah.
Antaranya menu lain adalah kari ikan dan ayam, sambal
berlada, lemak cili api, ayam masak kicap, sayur pisang masak lemak, lemak
siput, ulam-ulaman dan sebagainya.
Menurut A Karim yang merupakan Pengerusi Persatuan Bugis
daerah Pontian, gerai makan yang diusahakan bersama anak perempuannya Mas Liza,
44 dan menantu Sipon Sawap, 55 ini dikenali sebagai Gerai Perpaduan pada awal
90an dahulu.
“Bermula dari Gerai Perpaduan, gerai makan yang diusahakan
kami sekeluarga mula menerima perhatian orang ramai.
“Lama kelamaan, pelbagai nama diberikan pelanggan termasuk
gerai murah, gerai tepi jalan namun sehingga kini Gerai Karim masih
kekal,”akhirinya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my