Sunday, February 16, 2014

SPR disaran hanya benarkan anak jati kawasan tanding kerusi DUN - Ibrahim

11:28 PM No Comments


GEORGETOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran meminda syarat calon pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mewajibkan hanya anak jati sesuatu kawasan itu layak untuk bertanding.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi membendung 'penyakit' segelintir ahli politik yang bertindak mencalonkan diri untuk bertanding di mana-mana kawasan yang mereka sukai untuk kepentingan diri.

"Sebagai contoh di DUN Kajang (di Selangor), banyak anak jati kawasan itu cerdik pandai, kenapa kita nak izinkan perkara ini berlaku (orang luar bertanding), pilihan raya bukan proses mudah, ia libatkan kepentingan semua orang," katanya.

Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis pengisytiharan Barisan Kepimpinan Perkasa peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau melihat pilihan raya kecil DUN Kajang yang akan berlangsung 23 Mac ini disebabkan wakil rakyatnya dari PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan adalah menyusahkan pengundi di kawasan berkenaan dan tidak menyuburkan amalan demokrasi.

Pakatan pembangkang menamakan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang. - BERNAMA

Sumber : http://www.bharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger