Selepas 16 tahun berkidmat di stesen TV nombor satu negara
TV3, pengacara dan penerbit eksekutif, Aidid Marcello akhirnya membuat
keputusan untuk meninggalkan stesen TV tersebut berkuat kuasa pada 17 Mac ini.
Aidid yang ditemui di majlis perlancaran program 'Terima
Kasih Sayang' yang dibawakan oleh Brands InnerShine semalam memberitahu
keputusannya itu bagi memberi peluang untuknya fokus kepada syarikat
produksinya sendiri.
"Pengunduran diri saya disebabkan dengan perubahan
masa, faktor umur dan kehidupan bekeluarga saya kini yang sudah memiliki empat
orang anak. Dengan pengalaman yang ada,
sudah tiba masanya saya bergerak sendiri dengan menerbitkan program-program TV.
"Melalui syarikat saya iaitu Mineques Productions Sdn
Bhd ada beberapa projek kecil yang sudah saya terbitkan sebelum ini. Memandangkan ketika itu masih terikat dengan
TV3, jadi masa saya itu terhad. Dan bila
sudah bebas, saya akan lebih aktif," kongsi Aidid.
Ditanya adakah dia sudah penat bergelar pekerja atau makan
gaji di syarikat penyiaran gergasi itu, kata Aidid;
"Jujurnya, saya ada minat lain dari penyiaran. Bukan sebab duit atau gaji, tapi lebih kepada
hendak majukan kehidupan dan kerjaya.
Tidak ada istilah penat makan gaji, sebaliknya saya perlukan keyakinan
untuk mencari pendapatan sendiri selepas ini."
Menurut Aidid, meski sudah tidak bekerja dengan TV3 atau
syarikat Media Prima Berhad, Aidid masih lagi meneruskan khidmatnya sebagai
pengacara untuk beberapa program yang telah ditandatangani.
Untuk rekod, Aidid bermula di TV3 pada tahun 1998 sebagai
pengacara sehingga melepaskan jawatan terakhirnya sebagai Penerbit Eksekutif
Pemasaran Kreatif Dan Komunikasi Saluran TV Media Prima Berhad.
Sumber : http://mediahiburan.karangkraf.com