AKIBAT terkejut dengan 'prank' yang dirancang untuk
mengenakannya, pelakon dan pelawak, Sharifah Shahira jatuh terlentang hingga
menyebabkan dia mengalami kecederaan di belakang kepalanya.
Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada waktu senja
itu, pelakon yang terkenal dengan watak komedi ini memberitahu 'prank'
berkenaan dirancang bagi sebuah program 'game show'.
"Ketika itu waktu maghrib dan saya baru pulang dari
tempat kerja menuju ke kereta. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan kelibat seperti
hantu keluar dari bonet kereta.
"Saya terkejut dan terus berlari tapi nasib tak baik
kerana terlanggar kereta lalu terjatuh terlentang. Saya bukannya takut hantu,
tapi saya terkejut sebab kejadian itu berlaku di kawasan sunyi mana tahu
kalau-kalau itu adalah orang gila.
"Selepas jatuh saya rasa 'blur' sekejap dan dapati
kepala saya berdarah tapi tak serius," katanya ketika dihubungi Sinar
Harian, semalam.
Katanya lagi, selepas kejadian itu berlaku dia terus
mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan KPJ Tawakkal.
"Walaupun berdarah, tapi doktor tak jahit luka itu. Dia
cuma balut dan biarkan pendarahan tersebut berhenti sendiri.
"Saya pun dah jalani pemeriksaan X-ray, dan doktor
beritahu setakat ini tiada apa-apa yang serius. Cuma kalau keadaan masih tidak
berubah (masih terus berdarah), doktor suruh saya datang semula ke
hospital," katanya yang telah diberikan cuti rehat selama lima hari.
Kejadian ini adalah pertama kali berlaku kepada dirinya dan
Shahira berkata, dia tidak merancang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap
produksi tersebut.
Bagaimanapun atas nasihat suaminya, Ijoy, dia tidak akan
menyertai program seumpama itu.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my