Cilacap: Polis di daerah di Jawa Tengah ini semalam
melancarkan siasatan terhadap perbuatan mencuri mayat yang berlaku dua kali
dalam masa seminggu.
Bercakap di tanah perkuburan Sabuk Janur, tempat mayat
berkenaan dicuri, Ketua polis tempatan Andri Triaspoetra berkata, pihaknya
hingga kini belum dapat memastikan motif perbuatan berkenaan.
Menurut penduduk tempatan, antara mayat yang dicuri dari
tanah perkuburan itu ialah milik Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia
baru-baru ini.
Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pencuri hanya mengambil
kepala dan meninggalkan bahagian tubuh lain di dalam liang lahad.
Turut ditemui berhampiran kubur Endah ialah cangkul kecil,
kandang ayam, sarang burung, lilin berbentuk angka 2 dan 4 sesuai usia mayat,
dan beberapa potongan tubuh mayat.
Penduduk tempatan yakin kejadian mencuri mayat berkenaan ada
kaitan dengan amalan ilmu hitam memandangkan Endah masih anak dara ketika
meninggal dunia dan mati pada Jumaat Keliwon, yang mengikut kepercayaan
masyarakat Jawa, jatuh pada setiap malam Jumaat ketiga pada sesuatu bulan.
Seorang bomoh dari Pasuruan, Jawa Timur, Mas Hari berkata,
dia percaya si pencuri itu baru belajar ilmu hitam, termasuk mahu kaya cepat.-
Agensi
Sumber : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment