Monday, February 17, 2014

Liyana Jasmay pilihan Shaheizy Sam

11:21 PM No Comments


PADUAN vokal dua ikon industri hiburan tanah air, Shaheizy Sam dan Liyana Jasmay menerusi single terbaharu mereka, Bangun ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Dihasilkan menerusi kempen Nescafe On Sam, single ciptaan terbaharu komposer terkenal Audi Mok itu merupakan sebuah naskhah yang berkisar tentang perjalanan hidup Sam sepanjang kariernya sebagai penggiat seni lakonan dan nyanyian tanah air.

Penghasilan Bangun tercipta melalui percambahan idea kira-kira 50,000 peminat Sam yang menghantar cadangan lirik sepanjang dua bulan kempen Nescafe On Sam berlangsung.

Menurut Sam yang popular menerusi single duetnya bersama Yana Samsudin berjudul, Begini Caranya itu, dia sudah lama berhasrat untuk menyampaikan lagu hasil sumbangan lirik daripada peminatnya.

Sam menambah, melalui penghasilan lagu itu, ia dapat merapatkan hubungan antara peminatnya.

Selain itu, dia merasakan lagu tersebut sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak membantunya untuk terus bertahan dalam dunia hiburan ini.

“Saya sungguh bersyukur menerusi penghasilan lagu itu, walaupun lahirnya saya dalam bidang hiburan bukan daripada bidang nyanyian, saya berusaha untuk menyampaikan lagu tersebut dengan cara saya sendiri.

“Saya senang bekerja bersama Audi Mok kerana dia memahami saya. dia tidak pernah mengkritik malahan memberi saya motivasi untuk terus bernyanyi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Talent Lounge, Pusat Dagangan Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Sam, dia tidak bercadang untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai profesion utamanya.

Namun hero filem Adnan Sempit itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang nyanyian.

“Berlakon merupakan karier saya, dan bidang nyanyian adalah salah satu cabang seni yang saya minati,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Liyana Jasmay sebagai artis duetnya, Sam berkata, dia memilih Liyana disebabkan penampilan dan gaya Liyana yang dikatakan berlainan daripada artis lain.

“Saya memilih Liyana sebagai artis duet disebabkan dia mempunyai gaya dan attitude yang tersendiri.

“Bagi saya, kesempurnaan vokal tidak penting. Apa yang penting, lagu tersebut dapat disampaikan dengan cara kami tersendiri.

“Selain itu, kami rasa senang bekerja bersama disebab sudah kenal lama sejak zaman persekolahan lagi,” ujar Sam yang bakal membintangi filem baharu, Adnan Sempit Sawadikap.

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon comel, Liyana Jasmay kelihatan ceria apabila ditanya mengenai penglibatannya dengan single Bangun.

“Saya rasa ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bekerjasama dengan Sam dan Audi Mok, memandangkan ini merupakan projek yang pertama antara kami. Saya rasa amat selesa bekerjasama dengan mereka,” ujarnya yang kini sarat mengandung anak pertama yang dijangka lahir pada bulan April ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perniagaan Minuman Nestle, Jasmmine Wong berkata, pemilihan konsep tersebut bertujuan memberi ruang kepada peminat Sam untuk lebih rapat bersama idola mereka di samping mengembangkan bakat nyanyiannya.

“Kami menerima maklum balas yang amat positif daripada peminat Sam sepanjang dua bulan kempen tersebut berlangsung.

“Ia merupakan satu penghormatan kepada kami untuk terus menjadi orang kuat di sebalik perjalanan karier nyanyian Sam pada masa akan datang,” katanya.

Penonton yang ingin melihat klip video Bangun boleh melayari YouTube dengan kata kunci Bangun 

Sumber : http://www.kosmo.com.my




Read More...


Kereta Karam Singh hilang di Klang ditemui di Johor

11:13 PM No Comments

KLANG – Kereta Volkswagen Passat dan sebahagian barang yang disamun dari rumah wartawan penyiaran TV3, Datuk Karam Singh Walia di Taman Sri Andalas di sini pada Khamis lalu ditemui di sebuah rumah di Kampung Kempas Baru di Johor semalam.
Antara barang dipercayai milik keluarga selebriti yang popular dengan laporan alam sekitar itu ialah beberapa buah beg tangan wanita, pasport dan barangan elektronik seperti televisyen dan telefon bimbit. Kereta dan semua barangan tersebut ditemui tiga hari selepas rumah teres dua tingkat milik Karam Singh dipecah masuk.

Sumber : http://www.kosmo.com.my
Read More...


‘Jangan sita kereta ayah saya’

11:08 PM No Comments

Shah Alam: “Tolong jangan sita kereta ayah saya encik. Kalau kereta ini disita susah keluarga saya untuk bergerak lagipun esok saya mahu gunakan kereta ini untuk mengangkut barang balik ke asrama,” demikian alasan diberi penuntut perempuan yang ditahan kerana didapati memandu tanpa lesen dalam Operasi Trafik yang dijalankan di Dataran Kemerdekaan, di sini, awal pagi semalam.

Penuntut berusia 23 tahun dan masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu turut menunjukkan reaksi kurang senang tatkala diajukan beberapa soalan oleh anggota polis.

Namun, rayuan itu tidak dapat ‘memujuk’ anggota berkenaan dan penuntut terbabit disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shan berkata, seramai enam pegawai bersama 26 anggota dari cawangan Trafik dan Narkotik IPD Shah Alam dengan bantuan 39 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terbabit dalam operasi itu.

“Sepanjang operasi yang dijalankan bermula jam 12 malam hingga 6 pagi itu, sebanyak 400 kenderaan diperiksa dan polis turut menyita 40 kereta dan empat motosikal kerana diubah suai tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Dalam pada itu, sebanyak 117 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis menahan seorang lelaki selepas ujian air kencing dilakukan mendapati dia berada di bawah pengaruh dadah.

Katanya, penunggang berusia 24 tahun itu bagaimanapun dibebaskan selepas keterangannya diambil pihak berkuasa.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/


Read More...


Rompak untuk bayar hutang

11:04 PM No Comments

BUTTERWORTH – Suspek utama yang merancang melarikan tiga karung beg berisi wang tunai bernilai lebih setengah juta ringgit pada 31 Januari lalu dipercayai melakukan jenayah itu untuk membayar hutang ah long dan hutang rumah.

Perkara itu terbongkar hasil siasatan ke atas lapan suspek termasuk pasangan suami isteri yang diberkas dalam beberapa siri tangkapan sejak 4 Februari lalu di Sungai Petani, Kedah. Pasangan suami isteri itu merupakan dalang rompakan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, dengan tangkapan tersebut, polis percaya sudah berjaya menyelesaikan kes rompakan wang berjumlah RM520,000 dalam sebuah van keselamatan di Taman Selat di sini.

Sumber : http://www.kosmo.com.my
Read More...


Empat hektar terbakar

10:59 PM No Comments

AMPANG: Penduduk sekitar Sering Ukay dekat Ampang cemas selepas belukar seluas kira-kira empat hektar di Jalan SU 2B tiba-tiba terbakar, malam tadi.

Bagaimanapun kejadian sekitar jam 9 malam itu tidak membabitkan rumah berdekatan kerana pasukan bomba dan penyelamat sempat mengawal kebakaran.

Seorang penduduk, Hazri Hanafi, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan terlihat api menjulang tinggi di kawasan bukit yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

"Saya lihat api marak dengan begitu besar dan ketika itu sudah ada beberapa anggota bomba bersiap sedia untuk operasi memadam," katanya ketika di temui di lokasi kejadian malam tadi.

Menurutnya pada mulanya situasi agak mencemaskan kerana rumah paling dekat terletak hanya 50 meter dari lokasi kebakaran namun pihak bomba berjaya mengawal api dari merebak.

Timbalan Penolong Pengarah Bomba (Operasi) Selangor, Sani Harul berkata, kebakaran di tanah seluas empat hektar itu berjaya dikawal dengan kecekapan pihak bomba.

Katanya, seramai 20 pegawai serta anggota daripada tiga balai dikejarkan dalam operasi itu iaitu Balai Pandan, Balai Ampang dan Balai Wangsa Maju.

"Bomba tiba di lokasi pada jam 9.51 malam selepas menerima panggilan dan api berjaya dikawal.

"Tiada mangsa atau kehilangan nyawa berlaku," katanya.

Difahamkan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh sejam.

Sumber : http://www.hmetro.com.my
Read More...


Kosmetik online beracun

10:02 PM 1 comments

Kuala Lumpur: Kegilaan mendapatkan kosmetik secara online yang menjadi fenomena baru di kalangan remaja tidak kira perempuan atau lelaki untuk muka tampil cerah menawan ternyata membawa azab kepada segelintir mereka apabila muka seolah-olah terbakar kerana penggunaan kosmetik beracun.

Ini berikutan mereka terlalu mudah diperdaya dengan ‘jaminan kualiti produk’ serta pelbagai ‘testimoni pengguna’, di blog serta laman sosial Facebook, kononnya kosmetik yang ditawar berkesan dalam tempoh sesingkat tiga hari.

Mengakui sesal kerana terjebak dalam pembelian kosmetik di laman Facebook, Sharina (bukan nama sebenar), 19, berkata, dia terpaksa mengasingkan diri daripada rakan sekerja apabila wajahnya ditumbuhi bintik halus merah seakan ruam panas.

“Ketika membeli (set kosmetik), saya langsung tidak memikirkan soal keselamatan diri dan kesan produk terhadap wajah. Apa yang terlintas hanyalah perasaan tidak sabar untuk kelihatan cerah dan cantik sebagaimana pengguna lain di ruang testimoni produk. 


“Sehari selepas pembayaran dibuat, produk yang diidam sampai di depan rumah. Menurut label pada kotak, saya boleh melihat kesannya selepas tiga hari dan jaminan diberi ternyata menjadi,” katanya ketika ketika ditemui di rumahnya di Sungai Besi.

Sumber : http://www.hmetro.com.my
Read More...


Preity Zinta muflis?

9:56 PM 1 comments

SETELAH dikhabarkan bermasalah dengan seorang Pengarah Fotografi, kali ini khabar kurang enak mengenai Preity Zinta kembali bertebaran.

Menurut sumber, Preity kini berkemungkinan berdepan masalah kewangan dan hampir muflis sehingga memaksa Preity berpindah ke rumah yang lebih murah.

"Preity memilih untuk menyewakan kondominium mewahnya dan dia pula berpindah ke rumah yang lebih kecil. Semua itu dilakukan selepas beberapa individu datang untuk menuntut hutang," ujar sumber terbabit.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan daripada Preity mengenai perkara itu.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Semak Saman Trafik PDRM, JPJ Dan AES Secara Online Atau SMS

9:12 PM No Comments

Menyemak saman trafik tertunggak PDRM (Polis DiRaja Malaysia), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan AES teramatlah mudah sekarang. Anda boleh membuat semakan secara online ataupun menerusi SMS.

Semak saman secara online

Terdapat 3 portal yang menyediakan servis ini dan kesemuanya percuma:

1. MyEG Services
Anda boleh semak saman yang dikeluarkan oleh kedua-dua PDRM and JPJ di sini. Ikuti langkah-langkah di bawah:
  • Layari www.myeg.com.my.
  • Anda mesti mendaftar dulu sekiranya menggunakan servis ini buat kali pertama.
  • Login menggunakan nama dan kata laluan.
  • Klik eServices pada menu dan pilih JPJ atau PDRM.
  • Pilih pautan yang berkenaan untuk menyemak dan seterusnya membayar saman anda.

MYEG juga ada menyediakan servis yang menghantar peringatan ke email anda sekiranya terdapat saman baru. Langganan servis ini adalah percuma.

2. Rilek e-Services
Laman ini sah untuk saman yang dikeluarkan PDRM sahaja.
  • Layari laman Semakan Saman PDRM dan daftar (sekiranya belum daftar).
  • Login menggunakan nama dan kata laluan.
  • Klik "Check/Pay Summons(es)" pada menu dropdown.
  • Anda juga boleh membuat bayaran di laman ini. Buat masa ini ia dihubungkan dengan perbankan internet CIMB, MAYBANK dan RHB.

3. JPJ
Laman ini boleh digunakan untuk saman yang dikeluarkan JPJ sahaja.
  • Layari laman Semakan Saman JPJ.
  • Di bawah tajuk "Semakan Saman", klik menu dropdown untuk memilih kategori NOMBOR ID SAHAJA atau kategori NOMBOR ID DAN NOMBOR KENDERAAN.(contoh format nombor ID Orang Awam Malaysia/MyKAD: 801121141234 atau KP Lama : A1234567)
  • Isikan semua data yang perlu, disusuli dengan kod sekuriti (captcha).
  • Akhir sekali klik butang "Semak". Keputusan semakan akan dipaparkan di sebelah bawah, di bawah tajuk "Hasil Carian".

Semak saman melalui SMS
Semakan boleh dibuat menggunakan khidmat mySMS. Caj perkhidmatan 15 sen akan dikenakan untuk setiap penghantaran dan 20 sen untuk setiap penerimaan mesej.

Berikut adalah cara menyemak saman melalui SMS:

Untuk Saman Oleh PDRM

  • Taipkan

POLIS SAMAN [No. Kad Pengenalan atau pendaftaran kenderaan]pada telefon mudah alih dan hantarkan SMS ke 32728 atau 15888.

Contoh:

POLIS SAMAN 841220122332 atau
POLIS SAMAN WEP1234

  • Jikalau anda inginkan jawapan terperinci, taipkan mesej seperti berikut:

POLIS SAMAN [No. Kad Pengenalan atau pendaftaran kenderaan] [email] dan hantarkan ke 32728. Perincian saman anda akan dihantar ke alamat email tersebut.

Contoh:

POLIS SAMAN 740523015555 pemandusopan@gmail.com

Untuk Saman Oleh JPJ

  • Taipkan

JPJ SAMAN [No. Kad Pengenalan atau pendaftaran kenderaan] pada telefon mudah alih dan hantarkan SMS ke 15888.

Contoh:

JPJ SAMAN 841220122332 atau 
JPJ SAMAN WEP1234

Sumber : http://www.malaysiatercinta.com

Read More...


‘Porno makanan’ ditegah

8:36 PM No Comments

Paris: Jika anda cuba untuk mengambil gambar hidangan makan malam anda di restoran mewah Perancis selepas ini, jangan terkejut jika seorang chef menyerbu keluar dari dapur dengan marah.

Bosan dengan sikap sesetengah pengunjung yang merakamkan gambar melalui telefon pintar mereka untuk dimuatkan dalam rangkaian sosial, beberapa restoran pilihan Michelin Perancis ini cuba untuk menghalang apa yang disifatkan mereka sebagai ‘porno makanan’.

Penulis blog makanan dan beberapa chef bagaimanapun mempertahankan gambar terbabit sebagai publisiti percuma tetapi bagi kebanyakan chef mereka menyifatkan perkongsian itu sebagai ‘melampau.’

Rehat untuk pelanggan

“Ada sesuatu tempat dan masa untuk semuanya,” kata Alexandre Gauthier, chef di La Grenouillere di bandar utara La Madelaine-sous-Montreuil.

“Kami cuba memberikan pelanggan kami rehat seketika dalam hidup mereka. Untuk itu, anda perlu menutup telefon bimbit anda,” katanya.

Sebaik mengenakan larangan mengambil gambar di restorannya secara rasmi, Gauthier meletakkan imej kamera dengan tanda palang pada menu beliau.

“Orang ramai kini tidak mahu berenggang dengan telefon,” katanya. “Sebelum ini mereka mengambil gambar keluarga, nenek tetapi kini gambar makanan pula,” katanya.

“Ia tidak mengapa, tetapi kami adalah sebuah restoran yang tidak menggunakan lampu terang, jadi mereka terpaksa menggunakan ‘flash’. Setiap hidangan akan ‘menghentikan segala-galanya’ atau gambar diambil semula hingga tiga kali.

“Ia kemudian dihantar ke Twitter, komen dibuat dan dibalas tetapi akhirnya hidangan menjadi sejuk.”

Gilles Goujon, chef di L’Auberge du Vieux Puits yang dianugerahkan tiga bintang di bandar selatan Fontjoncouse berkata beliau semakin kecewa dengan kelemahan etika di kalangan jurugambar makanan amatur ini.

Katanya gambar makanan terbabit ‘menghilangkan kejutan’ sesetengah hidangan beliau dan ‘merampas sedikit harta intelektual’ beliau.

Itu belum termasuk gambar yang diambil daripada telefon yang ‘tidak terlalu pintar’ yang hasilnya jarang sekali baik.

“Ia tidak memberikan imej terbaik kerja kami. Malah menjengkelkan,” katanya.

“Sukar untuk melarang sebenarnya. Saya cuba mencari cara terbaik untuk mengatakannya melalui menu tetapi belum menemui formula terbaik untuk membuatkan orang ramai tidak marah,” kata Goujan.

AFP

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Mengapa kereta Proton murah di luar negara?

7:33 PM No Comments

SEBELUM ini, sudah banyak kali kita mendengar dakwaan harga jualan bagi beberapa model kereta keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) di luar negara dikatakan lebih rendah berbanding harga dalam negara.

Ramai penulis blog dan pengguna mendakwa kereta Proton di negara seperti Australia dan Arab Saudi dijual jauh lebih murah.

Pemeriksaan Sinar Harian menunjukkan, sebagai contoh, Proton Preve di Malaysia dijual pada harga bermula daripada RM58,921 bagi model 1.6 Executive Manual, tetapi di Australia, model sama dijual pada harga RM46,964 (atau 15,990 dolar Australia).

Namun, jika dilihat dalam laman sesawang Proton Australia, harga asal Proton Preve di Australia ditetapkan pada RM55,775 (18,990 dolar Australia) dan harga RM46,964 itu hanyalah promosi Proton di sana.

Tetapi ada pula yang mempersoalkan, jika Proton mampu memberikan harga promosi serendah itu di Australia, mengapa tidak Proton melakukan perkara sama di Malaysia yang merupakan negara pengeluar kenderaan tersebut?

Harga Proton murah kerana perlu bersaing

Bagi mendapatkan jawapan mengenai isu harga Proton yang dikatakan lebih murah di negara luar berbanding Malaysia, Sinar Harian menghubungi salah seorang pakar industri automotif untuk mendapatkan penjelasan dan pandangan beliau mengenai hal tersebut.

Menurutnya, bagi syarikat pengeluar kenderaan termasuk Proton, apa yang penting adalah keuntungan keseluruhan, di mana kereta dijual di dalam Malaysia mahupun dieksport ke luar negara mestilah secara keseluruhannya memberi keuntungan.

“Apa yang saya tahu daripada Proton, apabila kereta Proton memasuki pasaran Australia buat pertama kali, mereka perlu bersaing kerana pasaran automotif di sana lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia.

“Begitu juga dengan harga kereta Proton di sana, tidaklah murah sangat cuma sedikit murah daripada harga di Malaysia. Ini kerana kalau dijual mahal di Australia, Proton mungkin menanggung risiko kekurangan pembeli," katanya yang enggan dikenali.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, apa yang penting adalah Proton perlu menembusi pasaran automotif di Australia serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama Proton di negara itu, menyebabkan syarikat itu perlu menawarkan promosi terbaik termasuk harga jualan yang dilihat lebih rendah berbanding di Malaysia sendiri.

Tidak tahu sama ada Proton rugi atau untung

Walaupun kereta Proton dijual dengan harga murah di luar negara, tidak boleh dipastikan sama ada pengeluar kenderaan nasional itu memperoleh keuntungan atau mengalami kerugian.

"Kita tidak tahu mereka untung atau rugi kerana kita tidak tahu berapa kos pembuatan sebuah kereta. Kalau kosnya kurang daripada harga jualan (walaupun
murah), maknanya Proton boleh melihat model mana yang sesuai untuk memasuki pasaran yang telah disasarkan.

“Katakanlah penembusan pasaran kereta disasarkan sekitar RM40,000 di sesuatu negara, jadi Proton perlu tahu sama ada harga itu kompetitif atau tidak dan melihat kesedaran pengguna di negara tersebut mengenai jenamanya," katanya.

Menurut beliau, Proton sebelum ini diketahui mengeksport kereta keluarannya ke lebih 50 negara seluruh dunia tetapi di sesetengah negara itu, Proton cuma mampu menjual bilangan kereta yang sedikit.

"Jika hanya dapat jual sedikit kereta, macam mana hendak buat tawaran selepas jualan seperti perkhidmatan penyenggaraan? Ini juga tidak membantu dalam menjenamakan Proton di negara tersebut.

“Tetapi berbeza dengan pengurusan baru Proton, sekarang mereka hanya akan memasuki pasaran yang mereka rasa boleh menjual kenderaan dengan harga agak tinggi dan dengan harga tersebut, mereka juga dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan seperti servis kereta," katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Dirogol lebih lima lelaki

7:28 PM No Comments

TUMPAT - Seorang remaja berusia 17 tahun dirogol seorang kenalan yang dikenali di laman sosial selepas diajak keluar dan dibawa ke rumah lelaki tersebut di Kampung Geting di sini.

Lebih malang, remaja itu juga turut dirogol bergilir-gilir lebih lima lelaki merupakan rakan teman lelakinya yang baru dikenali di laman sosial itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, remaja terbabit mengenali lelaki itu yang dikenali Edi sejak awal Februari ini menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, katanya pada Jumaat lalu, remaja terbabit telah keluar dari rumahnya pada jam 11.30 malam di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, Kota Bharu setelah dijemput Edi.

“Edi membawa mangsa pulang ke rumahnya di Kampung Geting menaiki motosikal.

"Setibanya di rumah tersebut, Edi telah menarik tangan mangsa masuk ke dalam bilik lalu merogolnya,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit mendengar suara orang di dalam rumah tetapi Edi memberitahu itu suara abangnya.

“Kemudian beberapa lelaki telah masuk dan merogol mangsa bergilir-gilir.

“Dua daripada mereka mencekik leher mangsa apabila mangsa cuba melepaskan diri," katanya.

Zaharudin berkata, keesokan paginya Edi menghantar mangsa pulang ke rumah di Pangkalan Chepa.

Katanya, susulan daripada laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan menahan lima suspek berusia 16 tahun hingga 20 tahun dan direman tujuh hari berakhir 22 Februari ini.

“Manakala lima lagi suspek termasuk Edi sedang diburu polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Kak Engku bantai Fathia

9:48 AM 3 comments

KAYANYA teater bangsawan terletak pada penceritaan, ada magis, ada manis, ada fantasi dan tersirat pengajaran. Perihal itu disampaikan menerusi pementasan teater Bidasari yang telah mula dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.

Teater itu dilakonkan oleh Nur Fathia sebagai Bidasari, Aiman Hakim Ridza (Tengku Indra), Hairul Azreen (Tengku Iskandar) dan Raja Azura (Permaisuri Laila Sri) sebagai tunjang utama.

Malangnya, hal yang harus diakui bahawa watak Bidasari yang dilakonkan oleh Fathia kurang menyerlah ketika pementasan pertama bersama media pada 10 Februari lalu.

Memandangkan Bidasari sendiri diangkat sebagai subjek cerita dan fokus utama, kekurangan itu dilihat sebagai satu percaturan yang salah apabila menenggelamkan karakter utama yang dinanti-nantikan penonton.

Sebaliknya, watak Permaisuri Laila Sri lakonan Raja Azura atau popular disapa Kak Engku jauh lebih berkualiti dan berjaya membawa penonton menerokai perjalanan kisah penglipurlara Melayu itu.

Kak Engku mencuri perhatian menerusi lantunan suaranya yang lantang dan karakter kejam permaisuri yang berjaya disampaikan secara bersahaja.

Selain itu, ada beberapa babak yang melibatkan Kak Engku memukul Nur Fathia yang melakonkan watak Bidasari secara bersungguh-sungguh hingga mengundang jeritan teruja penonton.

Snow White Melayu

Naskhah Bidasari atau sering disamakan dengan Snow White versi Melayu itu menceritakan seorang gadis cantik yang menjadi saingan semua wanita termasuk Permaisuri Laila Sri.

Bidasari merupakan anak angkat seorang saudagar yang berkongsi nyawa dengan seekor ikan. Dek cemburu, permaisuri jahat itu mengumpan Bidasari untuk tinggal di istana dan 'menidurkannya' menerusi nyawa ikan tersebut.

Akhirnya, hikmah seutas kalung telah berjaya membuka semula sumpah itu dan menghidupkan kembali Bidasari sekali gus menghapuskan Permaisuri Laila Sri.

Kenapa sering disamakan dengan pengkisahan Snow White? Salah satunya jalan cerita watak utama ditidurkan dan dihidupkan semula menerusi magis, adanya karakter permaisuri jahat dan hero yang menyelamatkan si puteri.

Permaisuri jahat pasti akan melengkapkan sesebuah cerita tentang penganiayaan seorang gadis cantik dan baik. Begitu juga teater Bidasari yang telah melonjakkan keupayaan pemain watak itu, Raja Azura.

"Perempuan jahat memang selalu orang nampak walaupun satu babak. Kalau ditonton menerusi filem hitam putih Bidasari, karakter permaisuri kurang menyerlah.

"Jadi, saya menyuntik semua elemen yang sewajarnya mengikut pemahaman saya sendiri menjadi lebih dramatik, berkuasa dan kejam.

"Saya tidak suka menciplak karakter itu satu persatu tapi saya menaik tambah, selain menggambarkan watak itu dalam masa sama penonton akan terhibur," ujarnya yang menyuntik humor semasa terutama babak membabitkan dayang-dayang.

Bersilat

Kali terakhir berlakon di pentas teater menerusi teater muzikal Sinbad pada tahun 2008, Raja Azura menyifatkan lakonannya kali ini mengubat kerinduan dan platform untuk dia lepas geram.

"Penonton lihat saya menyerlah mungkin kerana pengalaman, kalau dulu sayalah ratu di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lepas satu-persatu saya berlakon.

"Drama Pendekar kemudiannya melatih saya untuk mahir berpencak silat, dilambung tinggi-tinggi, diikat, ditolak, terbang dari pokok ke pokok dan kerana itu juga saya kebal untuk beraksi sekali lagi.

"Selepas datang menonton teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang tahun lalu, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) mengajak saya untuk berlakon sekali lagi dalam teater ini dan saya tidak boleh berkata tidak kerana saya juga peminat naskhah ini.

"Diberi pula watak permaisuri jahat, memanglah makanan saya. Ibaratnya kalau sudah lama tidak berlakon, saya menjadi kemaruk dan melepaskan segala yang terpendam selama ini," jelasnya.

Ditanya adakah teater Bidasari berjaya membuka ruang hatinya untuk kembali berlakon selain menjadi penyampai radio sepenuh masa di Sinar FM ketika ini, jawab Kak Engku dia akan menerima sekiranya ada tawaran watak yang menarik.

"Takbir Suci arahan Rashid Sibir adalah telefilem terakhir yang saya berlakon. Memang rindu tapi jujur saya katakan jadual saya penuh sampai bulan Jun, risau tidak dapat memberikan komitmen dan menyusahkan pihak lain," katanya.

PEMENTASAN Bidasari berlangsung dari 10 Februari lalu dan bakal berakhir pada hari ini, 17 Februari.

Tambah Kak Engku, menariknya mengenai teater bangsawan contohnya Bidasari kerana tersurat adab dan perilaku bangsa Melayu yang ramah serta santun.

"Ramai yang tidak mengetahui cara untuk bercakap depan raja, generasi sekarang pun tidak mengerti makna sopan-santun, dengan adanya pementasan teater ini secara tidak langsung mampu mendidik penonton," ujarnya.

Dalam pada itu, aspek teknikal pementasan teater itu harus diberikan pujian. Permainan cahaya, audio, koreografi pentas, susunan plot, kualiti props gergasi, grafik, busana dan ensemble (penari dan pemuzik) yang mengalir sempurna melengkapkan teater Bidasari.

Sumber : http://www.kosmo.com.my
Read More...


Gadis 17 tahun derma RM44 juta

9:30 AM No Comments

Riyadh: Seorang gadis berusia 17 tahun mendermakan SR50 juta (RM44 juta) kepada kegiatan kebajikan di Arab Saudi.

Gadis yang tidak dinamakan itu memberitahu akhbar tempatan, jumlah itu suku daripada kekayaan yang diwarisi daripada bapanya.

Menurut laporan, gadis berkenaan pergi ke mahkamah di Riyadh dan mendermakan wang itu kepada kumpulan kebajikan yang terbabit dalam pembinaan masjid, membantu membebaskan tahanan yang terlibat dengan hutan, pembinaan sekolah, hospital dan aktiiviti lain.

“Saya digalakkan oleh ibu dan abang saya untuk menderma. Saya mengambil keputusan untuk berbuat demikian kerana takutkan Allah dan kerana sayangkan bapa saya,” katanya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my
Read More...


Pukul ibu dengan batang besi

9:17 AM No Comments

KUALA TERENGGANU - Dek kerana amarah, seorang remaja lelaki tergamak memukul ibunya sendiri dengan batang besi dalam satu kejadian pada 12 Februari lalu.

Bagaimanapun, tindakannya itu akhirnya membawa padah apabila berjaya ditangkap dan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, remaja berusia 16 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada ibunya yang berusia 45 tahun dengan sebatang besi, kira-kira jam 2.10 petang di sebuah rumah di Kampung Pengadang Baru, di sini.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh sampai tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Majistret, Rozianti Mohamed Hanaphi kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 23 Mac depan.Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Rozita Che Wan tak sanggup dimadukan

12:39 AM No Comments

PELAKON Rozita Che Wan mengakui dia tidak sanggup menerima kenyataan sekiranya dimadukan seperti yang dilalui segelintir wanita.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 41, bagaimanapun berkata, dia yakin suaminya, Zain Saidin, 30, seorang lelaki baik yang tidak mungkin terniat untuk berbuat demikian terhadapnya.

“Dalam kehidupan saya sebelum ini pun saya mengelak dan minta simpang dijauhkan untuk merampas suami orang. Tapi kalau ditakdirkan suatu hari nanti ia terjadi, saya terima.

"Nak buat macam mana kalau kita mengelak tetapi suami buat hal juga, reda saja. Tapi saya yakin Zain tak akan jadi sebegitu. Insya-ALLAH,” katanya.

Menurut Che Ta, dia hanya sanggup dimadukan dalam watak rekaan yang dilakonkannya.

Baru-baru ini, dia terbabit menjayakan sebuah telefilem khas terbitan Zeel Production berjudul Madu bersama barisan pelakon lain iaitu Zamarul Hisham, Shahrizal Jaszle, Syatilla Melvin, Aishah Ilias dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem arahan Joeza itu mengisahkan Anita, lakonan Che Ta, yang sanggup mencarikan calon isteri buat suaminya, lakonan Zamarul.

"Mungkin selama ini kita lihat ada golongan suami yang suka bermadu sama ada secara diam atau memohon kebenaran tetapi drama ini memaparkan kisah yang jarang terjadi apabila si isteri yang merelakan dirinya untuk dimadukan.

“Tapi syaratnya, Anita kena tentukan siapa calon madu yang sesuai untuk suaminya. Tapi yang dirancang tak menjadi seperti yang diharapkan," ujarnya dipetik sebuah portal.

Madu akan ditayangkan malam ini pada jam 10 malam, di saluran TV3, menerusi slot Festival.

Sementara itu, ditanya pula mengenai perkembangan dirinya yang mungkin sudah berbadan dua, Che Ta menafikannya dan menganggap dia dan Zain yang berkahwin pada 11 Disember lalu masih lagi belum mempunyai rezeki anak.

“Saya belum mengandung. Belum ada rezeki lagi. Tapi saya dan suami mengharapkan yang terbaik untuk itu. Kini pun kami masih dalam 'mood' berbulan madu," tuturnya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tahanan Mesir didera

12:35 AM No Comments

KAHERAH, MESIR. Sebanyak 16 pertubuhan hak asasi manusia menggesa diadakan siasatan segera terhadap beberapa kes penderaan dan penyeksaan yang didakwa berlaku di dalam penjara kudeta, lapor Mesir Kini yang dipetik dari portal Ikhwan Online.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rabu lalu, penderaan kejam itu termasuk gangguan seksual yang berlaku kepada golongan wanita sepanjang sesi soal siasat dijalankan.

Kenyataan tersebut turut menggesa anggota keluarga mangsa tahanan yang mengunjungi mangsa tahanan diberikan ruang yang bebas untuk bertemu tanpa dipantau rapi atau dikenakan pelbagai syarat yang menyusahkan.

Berdasarkan kenyataan dan aduan mangsa sendiri, pihaknya menerima banyak aduan sepanjang enam bulan kebelakangan iaitu tempoh yang menyaksikan ratusan siri operasi tangkapan secara rambang khasnya sekitar Ogos hingga Oktober tahun lalu.

Mereka turut mendedahkan aduan seorang aktivis politik bernama Khaled As-Sayyed yang dibelasah dan didera di Balai Polis Abbasiyah dan Qasr Nil selain sewaktu di tahan di Penjara Abou Za'bel.

Menurut peguam beliau, Mahmoud Bilal yang hadir sewaktu siasatan dibuat yang turut menyaksikan anak guamnya membuka baju untuk menunjukkan kesan-kesan didera.

Khaled As-Sayyid menjelaskan secara lanjut penderaan yang dilakukan terhadap sebahagian tahanan politik.

Antaranya, pasukan keselamatan kudeta telah bertindak memindahkan tahanan yang terdiri daripada aktivis-aktivis politik yang terkenal ke sebuah bilik dalam keadaan mata mereka ditutup.

Mereka kemudian diperdengarkan suara-suara jeritan mangsa tahanan lain yang dipukul dan didera melalui besi elektrik, lalu sekumpulan pasukan polis mengherdik mereka dengan nada tinggi, ‘inilah dia balasan kamu wahai orang-orang yang membuat revolusi’"

Kebanyakan mangsa tahanan lain turut mengakui bahawa mereka turut mengalami penderaan seksual selain didera menggunakan kabel elektrik di seluruh badan.

Walau bagaimanapun, Jeneral Mohammed Ibrahim sebagai Menteri Dalam negeri kudeta menafikan wujudnya kes-kes penderaan yang dilakukan oleh polisnya sambil menyeru badan-badan hak asasi manusia untuk mengadakan lawatan ke beberapa buah penjara negara itu.

Namun pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia berkenaan mempersoalkan pendirian pihak penjara di Mesir yang sebenarnya tidak pernah mengizinkan sama sekali mana-mana badan hak asasi atau peguam-peguam yang bebas untuk menziarahi tahanan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Rabecca jual semua baju seksi

12:24 AM No Comments

SIAPA sangka, sebelum ini pelakon sensasi, Rabecca Nur Al Islam, sememangnya terkenal dengan imej seksi dan menggoda.

Namun, pemergiannya ke kota suci bagi menunaikan umrah buat kali pertama bersama keluarga, akhirnya memberi kejutan apabila pelakon ini pulang dengan berita penghijrahan.

Walaupun hanya 12 hari berada di kota Makkah, namun ternyata pelakon drama, Jangan Tegur Lagi, ini, mendapat hidayah ALLAH SWT.

Bukan hanya cuba-cuba, Rabecca nekad dengan keputusannya itu apabila dia turut menjual kesemua koleksi pakaiannya sebelum ini.

Menurut Rabecca, tindakan ini adalah perlu kerana dia tidak mungkin akan memakainya lagi di masa akan datang.

Sejujurnya, saya tiada koleksi baju-baju yang menutup aurat. Almari pakaian saya dipenuhi dengan pakaian seksi.

"Jadi, setelah fikir masak-masak, saya membuat keputusan untuk menjual kesemua koleksi itu kepada orang ramai dan turut menguar-uarkannya menerusi laman sosial.

"Sesiapa yang mahukan baju saya mahupun peminat, bolehlah berurusan dengan pembantu peribadi saya," katanya yang kini telah mengosongkan kesemua almari pakaiannya.

Tambah Rabecca, tidak semua koleksi itu dijual kerana ada sebahagian daripadanya hanya diberikan secara percuma.

"Untuk pakaian yang bernilai RM700 ke bawah, saya hanya beri percuma sahaja kerana niat saya juga adalah untuk bersedekah.

"Namun, bagi koleksi yang mencecah ribuan ringgit serta direka khas pereka terkenal, saya akan jual dengan potongan harga sehingga 70 peratus," katanya.

Suami terkejut

Bercerita mengenai penghijrahan itu, Rabecca mengakui, dia tidak merancang untuk bertudung setelah pulang dari menunaikan umrah.

Malah, hidayah itu datang dengan sendiri dan akui Rabecca, suaminya, Nor Azam Datuk Sulaiman, juga turut terkejut dengan perubahan dirinya.

"Kami tiba di Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu setelah 12 hari di sana (Makkah). Pagi Selasa, saya bersiap untuk menemui seseorang.

"Namun, hati saya tidak berpuas hati dengan penampilan ketika itu lalu saya menunaikan solat Zohor sebelum keluar rumah. Selepas itu, saya cuba mengenakan tudung, barulah lega.

"Ketika itu, saya tidak memiliki pin. Saya minta daripada pembantu rumah, dia berikan pin lain kerana dia sendiri tak sangka saya mahu pin tudung," katanya yang meminjam pin daripada ibu yang ketika itu berada di rumahnya.

Tambah Rabecca, ibunya terkejut dengan perubahan itu namun turut menyokong penghijrahannya.

"Sehingga hari ini, saya masih memakai pin ibu saya kerana tidak sempat untuk membelinya lagi.

"Suami saya, lagilah terkejut kerana dia sendiri tidak tahu yang saya akan berhijrah secepat itu.

"Buat masa ini, saya lebih selesa mengenakan selendang kerana saya mempunyai banyak koleksi selendang yang disediakan untuk majlis amal," katanya

Khatam al-Quran

Berkongsi kisah sepanjang berada di kota suci, Rabecca mengakui penghijrahan itu sedikit sebanyak dipengaruhi penampilannya ketika berada di sana.

Katanya, ketika menunaikan umrah, dia memakai jubah dan bertudung. Malah, setiap waktu solat tidak pernah diabaikan.

"Apabila masuk sahaja waktu solat, kami akan sembahyang dan perkara itu menjadi rutin apabila saya pulang ke rumah.

"Malah, ketika berada di sana, saya turut memasang niat untuk khatam al-Quran. Namun, ada beberapa juzuk lagi yang belum habis.

"Jadi, saya berhasrat untuk menghabiskannya di rumah. Bila fikirkan tentang itu, mungkin ia adalah salah satu sebab kenapa saya nekad dengan penampilan ini," katanya yang kini sedang mempelajari ilmu agama menerusi bahan bacaan dan sumber internet.

Walaupun tampil dengan imej berbeza, namun dia tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang lakonan.

"Saya cintakan dunia seni dan tidak mungkin tinggalkan begitu sahaja. Saya akan mempertimbangkan setiap tawaran.

"Malah, saya juga tidak akan tolak sekiranya perlu bawa watak jahat. Namun, ianya haruslah bersesuaian dan menutup aurat," katanya yang turut terlibat dalam bidang perniagaan perancang majlis perkahwinan.

Katanya, perniagaan itu akan diperkenalkan pada Jun ini dan ianya melibatkan perkhidmatan pelamin dan pengurusan majlis perkahwinan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger