Thursday, April 24, 2014

MH370 : Objek 'terdampar' mungkin ada kaitan MH370

8:16 AM No Comments

AUGUSTA – AUSTRALIA - Pihak polis di Barat Australia telah menemui suatu objek terdampar, 10 kilometer di sebelah timur Augusta.

Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan melalui laman rasmi Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), bukti tersebut sedang diperiksa dan disiasat oleh pihak Biro Keselamatan dan Pengangkutan Australia (ATSB).

“Gambar objek tersebut telah berjaya diperoleh, buat masa sekarang pasukan penyiasat sedang menganalisis foto itu bagi menentukan sama ada ianya mempunyai hubungkait dengan pesawat MH370 yang hilang," petik kenyataan media itu.

Setakat ini, maklumat lanjut berkenaan gambar tersebut belum didedahkan, namun pihaknya telah menyediakan salinan gambar untuk diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia.

Menurut pihak ATSB, pihaknya akan memberikan laporan penuh hasil siasatan sebaik sahaja gambar tersebut selesai diproses.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Ratusan ikan ditemui mati

8:14 AM No Comments

MELAKA - Ratusan pelbagai spesies ikan laut dan air tawar ditemui mati di muara Sungai Melaka berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini.

Insiden itu dilaporkan berlaku sejak semalam melibatkan antaranya spesies ikan bawal, kitang, belanak dan keli.
  
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Melaka Abd Hapiz A Samad berkata pemeriksaan mendapati kejadian itu bukan disebabkan pencemaran air khususnya dari kawasan perindustrian berhampiran.
  
"Ia disebabkan kandungan oksigen yang terlarut dalam air dilapor berkurangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Beliau berkata ia juga mungkin ekoran hujan lebat pada Isnin lepas menyebabkan air dari hulu Sungai Melaka melalui kawasan bandar dan membawa bahan organik iaitu pelepasan dari sisa dapur rumah dan restoran.

Abd Hapiz berkata, apabila empangan muara sungai ditutup bahan organik terbabit tidak dapat mengalir ke laut menyebabkan ia mereput serta mengeluarkan kandungan karbon dioksida yang tinggi.

Katanya kadar kemasinan air di kawasan itu juga rendah iaitu pada bacaan tujuh menyebabkan ikan laut berkenaan mati.

"Mungkin ikan laut masuk ke muara sungai tersebut pada waktu air pasang dan terperangkap selepas empangan di muara berkenaan ditutup dan berlakunya perubahan habitat yang menyebabkan ikan itu tidak dapat hidup lama," katanya.  

Sementara itu, Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman berkata pihak berkuasa diminta memantau kejadian itu dan mengambil langkah segera mengatasinya supaya tidak menjejaskan hidupan laut serta menyebabkan kehilangan sumber pendapatan nelayan. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger