LAPANGAN Terbang Antarabangsa KL (KLIA) melakar satu lagi
peristiwa bersejarah semalam apabila pesawat jenama baharu Boeing 787
Dreamliner Royal Jordanian Airlines, mendarat.
Menurut kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari
ini, syarikat penerbangan negara Jordan itu merupakan syarikat penerbangan
pertama menawarkan penerbangan berjadual B787 Dreamliner ke KLIA.
Pengurus Besar Pemasaran MAHB, Mohamed Sallauddin Mat Sah
berkata , Malaysia Airports mengucap tahniah kepada Royal Jordanian atas
saat-saat bersejarah ini.
"Pesawat jenama baharu B787 Dreamliner yang dilengkapi
kemudahan lebih baik atas pesawat sudah pasti merupakan satu lagi nilai tambah
untuk dinikmati penumpang yang terbang dalam pesawat berkenaan," katanya.
B787 Dreamliner baharu yang menawarkan 24 tempat duduk
bisnes dan 246 tempat duduk ekonomi merupakan antara usaha Royal Jordanian
untuk menaik taraf dan memodenkan kumpulan kapalnya bagi laluan jarak sederhana
dan jauh, menggantikan
A330 dan A340.
B787 Dreamliner juga cekap dari segi penggunaan bahan api
dan dikonfigurasikan dengan kemudahan yang lebih baik seperti tingkap yang
lebih besar, altitud kabin yang rendah serta sistem hiburan canggih.
Pengerusi Royal Jordanian Nasser Lozi berkata, Dreamliner
akan membantu syarikat penerbangan itu berkembang dari segi jumlah kapal dan perkhidmatan
selain mengurangkan kos penyelenggaraan, terutama selepas menggantikan pesawat
jarak jauh sedia ada.
Royal Jordanian terbang ke KLIA sejak 2012, menerusi
penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok-Amman,
menggunakan pesawat A330. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my