PARIT BUNTAR - Perkataan pornografi yang disalah eja dalam
satu post disiarkan dalam laman sosial Facebook bagi tujuan pengiklanan dan
pernah menjadi viral kini bertukar menjadi punca rezeki buat seorang jurugambar
sambilan.
Zulkepli Yusop, 40, atau lebih dikenali Toksyu Zul berkata,
kesilapan menaip perkataan photografi kepada pornografi dalam satu post iklan
sepasang pengantin menaiki seekor kuda menyebabkan dirinya menerima pelbagai
tohmahan.
Menurutnya, pada mulanya, dia menyangka kesilapan itu akan
menjejaskan perniagaan perkhidmatan fotografi bersama kuda yang diusahakan
bersama seorang rakan.
“Namun, setelah saya membuat penjelasan atas kesilapan ejaan
melalui media, saya bukan sahaja menerima reaksi positif orang ramai, malah
ramai dalam kalangan pengguna laman sosial yang berminat untuk mencuba
perkhidmatan fotografi yang ditawarkan.
“Bagi saya, fenomena viral itu memberi hikmah kepada
perniagaan saya untuk terus maju malah saya bersyukur kerana ahli keluarga dan
rakan-rakan terdekat sentiasa memberi dorongan,” katanya sewaktu ditemui media
di sini.
Zulkepli yang turut mengusahakan kedai gunting rambut
berkata, dia yang berjinak-jinak dalam dunia fotografi sejak lima tahun lalu
mula mempromosikan pakej bergambar bersama kuda padi bermula pada Mac lalu.
Jelasnya, kini perniagaannya semakin maju malah dia turut
menerima permintaan daripada pelanggan dari utara semenanjung.
"Pakej bergambar bersama kuda diwujudkan untuk memberi
kelainan dalam dunia fotografi terutama pada pasangan pengantin.
“Pada masa sama, saya dapat membantu mempromosi perniagaan
rakan saya iaitu Jamil Omar 29, yang mempunyai seekor kuda padi dibela sejak
setahun lalu,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my