Read More...
Home » Archives for Monday, May 2, 2011
Monday, May 2, 2011
Ancaman kulit sensitif
Masalah jejaskan penampilan, keyakinan
RAMAI yang melihat, jerawat adalah musuh utama kulit sehingga boleh menjejaskan penampilan. Namun, jerawat bukan satu-satunya masalah yang patut diberi perhatian.
Kulit sensitif juga satu ancaman, satu masalah yang boleh menjejaskan maruah dan menyebabkan tuan punya badan berasa rendah diri. Kulit kemerah-merahan, pedih, perit, bertompok gatal, menggelupas dan bersisik, satu keadaan yang pastinya tidak mahu dihadapi sesiapa, terutama wanita.
Kekurangan faktor kelembapan semula jadi, kerosakan daya rintangan kulit (kulit tidak dapat mengekalkan kelembapan), pendingin udara dan cuaca lampau (panas, kering dan berangin) menyebabkan kulit terasa tegang dan kering. Justeru, penghidratan adalah penting untuk melegakan kulit kering dan sensitif.
Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia, Dr Koh Chuan Keng, berkata dermatitis atopik (DA) atau ekzema adalah masalah lazim yang dihidapi satu dalam lima masyarakat Malaysia. Namun, yang membimbangkan, masalah itu semakin meningkat pada masa kini dan dijangka lebih ramai lagi akan berdepan dengan masalah ekzema.
Dr Chuan Keng berkata, persidangan mengenai dermatologi di luar negara dua tahun lalu mendedahkan, 50 peratus penduduk di dunia berdepan dengan masalah ekzema dan tidak mustahil angka itu kini boleh mencecah sehingga 70 peratus.
“Di Malaysia, ekzema adalah masalah kulit yang paling biasa berlaku, selain masalah jeragat. Oleh itu, amat penting memahami dan mengenal pasti kulit sensitif untuk memudahkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, DA atau ekzema adalah ruam kulit yang timbul pada individu tertentu dengan kulit sensitif dan mudah kerengsaan.
Umumnya ekzema terjadi pada bayi serta anak kecil dan ia hilang sebelum dewasa walaupun masalah ini boleh berlaku pada semua peringkat usia.
“Sebanyak 85 peratus pengidap ekzema adalah mereka yang berusia sebelum lima tahun dan ia boleh menghilang pada bila-bila masa atau berterusan sehingga dewasa. Fakta menunjukkan, lebih 50 peratus kanak-kanak yang mempunyai ekzema sebelum usia dua tahun akan bebas daripada masalah itu apabila mereka membesar. Kebanyakan masalah ekzema berkaitan alahan atau penyakit atopik lain, termasuk asma dan alahan makanan,” katanya.
Tambahnya, punca pastinya tidak diketahui tetapi ada kaitannya dengan faktor keturunan dan penyakit itu dianggap cacat kulit warisan, yang cenderung dialami dalam suatu keluarga.
Namun, ekzema tidak menular dan tiada kaitan dengan kesihatan seseorang, tetapi alahan tertentu boleh memburukkan lagi keadaan.
“Diet, tekanan dan persekitaran berperanan utama terhadap masalah ekzema. Bagi diet, sesetengah individu alah dengan makanan tertentu dan biasanya seperti susu lembu, telur ayam, kekacang, gandum, soya dan makanan bercengkerang. Begitu juga dengan persekitaran, misalnya yang berhawa dingin boleh meningkatkan masalah kekeringan kulit sehingga tiga hingga lima kali ganda,” katanya.
Justeru, seperti badan, kulit juga memerlukan air, lebih-lebih lagi, kulit kering yang sentiasa memerlukan kelembapan.
Menyapukan krim ada rumusan pelembap yang baik boleh digunakan dengan berkesan untuk melindungi kulit kerana ia membantu mengubah suai ciri fizikal dan kimia lapisan stratum untuk mengekalkan air. Pelembap ini juga menyediakan rintangan eksogenous (luaran) untuk mencegah kehilangan air merentasi epidermis yang dikenali sebagai trans epidermal water loss (Tewl).
“Menggunakan pelembap boleh mengekalkan kelembapan atau mengurangkan masalah kulit kering. Tetapi ingat, tidak semua pelembap sesuai untuk kulit sensitif. Malah, sesetengah pelembap boleh menyebabkan masalah lebih teruk. Jika ada masalah seperti gatal atau didapati tidak sesuai, anda perlu serta-merta berhenti menggunakannya,” nasihat Dr Chuan Keng.
Ekzema boleh memberi kesan kerengsaan yang teruk sehingga kulit berdarah kerana kerap digaru, kudis, mengganggu tidur dan keselesaan untuk menjalani rutin seharian.
Dr Chuan Keng berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ekzema ialah menggunakan krim pelembap yang sesuai. Namun, penghidap ekzema kronik, mereka perlu berjumpa doktor untuk rawatan sewajarnya.
Pengidap ekzema juga dinasihatkan tidak menggunakan sabun yang tidak sesuai kerana penggunaannya mungkin boleh menimbulkan lagi masalah.
Lee Chong Wei
Semalam jaguh kita , pemain badminton negara lee chong wei telah sekali lagi mengharumkan nama negara setelah menewaskan wakil denmark di peringkat akhir, Siri Super Terbuka India di New Delhi... Sangat berbangga dengan dia Malaysia boleh !!!
PADA saat ini, jauh di sudut hati Datuk Misbun Sidek harus gembira di atas satu lagi kejayaan bekas anak didiknya, Lee Chong Wei yang menyambung rentetan sang juara mengungguli Siri Super Terbuka India di New Delhi, semalam.
Pemain badminton nombor satu dunia itu menjulang satu lagi trofi tambahan - tiga hari selepas mentornya menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia - buat mengukuhkan lagi reputasi besarnya dengan mengatasi Peter Gade Christensen 21-12, 12-21, 21-15 dalam final perseorangan lelaki di Kompleks Sukan Siri Fort - gelanggang sama yang membantunya memenangi dua pingat emas Sukan Komanwel 2010.
“Stadium ini membawa tuah. Harap saya akan datang lagi ke sini untuk Siri Super berikut,” kata Chong Wei selepas memenangi pertarungan lebih sejam itu.
Apapun, kejayaan kali ini tidak menyusul mudah apabila dipaksa memerah keringat oleh lawan veteran dari Denmark itu yang memenangi set kedua dan satu ketika tampak mampu membuat kejutan di set penentuan.
“Ia satu halangan sukar. Saya hilang fokus dalam set kedua. Pada usia 34 tahun. Pete Gade masih seorang pemain yang bagus dan dia tidak mudah menyerah kalah,” kata Chong Wei.
Dalam perlawanan, semalam yang menarik untuk tontonan, jaguh negara dari Bukit Mertajam itu menggabungkan pukulan cantik, smash tajam serta kekuatan mental untuk mengawal rentak pergerakan Gade - pemain yang kalah 10 kali daripada 11 pertemuan dengan Chong Wei sehingga kini.
Pemain Denmark itu bangkit menguasai set kedua apabila Chong Wei hilang tumpuan tetapi jaguh negara berjaya bangkit memenangi set ketiga 21-15 buat merakamkan gelaran juara Siri Super buat kali ketiga. Peter Gade akur Chong Wei bermain dengan cukup baik, penuh tumpuan, dan keyakinan. “Saya bermain dengan pemain terbaik dunia.
Semuanya berkenaan keyakinan dan apabila Chong Wei muncul dengan penuh yakin, dia pasti tidak dapat ditewaskan.
LEE CHONG WEI ... THE BEST IN THE WORLD ...
Subscribe to:
Posts (Atom)