SHAH ALAM - Milo Malaysia memberitahu cara mudah untuk
membezakan bungkusan Milo asli dengan bungkusan Milo palsu, semalam.
Pendedahan melalui laman Facebook 'Milo Malaysia' berkenaan
memberitahu bahawa bungkusan plastik Milo asli dilakukan oleh mesin dan
bahagian atas bungkusan tersebut tidak sempurna.
Pendedahan berkenaan juga menunjukkan bungkusan plastik Milo
tiruan akan mempunyai bahagian atas mempunyai kesan gerigi yang sempurna.
Namun, pendedahan yang dibuat oleh Milo Malaysia menimbulkan
persoalan selepas beberapa pelayar mempersoalkan kesempurnaan potongan yang
dibuat oleh mesin pembungkusan produk Milo.
"Ini sangat mengelirukan. Maksud anda mesin (kepunyaan
Milo) tidak memotong dengan sempurna? Jadi potongan tidak sempurna adalah
(Milo) asli? Potongan sempurna pula adalah yang palsu? Anda pasti?" kata
seorang pelayar, Iven Neoh.
"Sekarang saya tertanya jika Milo tin yang saya beli
palsu (atau tidak). Saya tidak pernah beli Milo dalam beg (plastik). Ada
sesiapa boleh beri saya maklumat?" kata Kimme Cheah.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi
dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK) merampas produk minuman Milo tiruan
dengan nilai rampasan RM250,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah taman perumahan mewah di Mantin,
Sabtu lepas.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my