JEMPOL - Taktik seorang pembantu rumah warga Indonesia
menyembunyikan barang curi milik majikannya dalam pinggang seluar dan kolar
jaket tidak berhasil selepas beg pakaiannya diperiksa majikan, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias
berkata, suspek berumur 39 tahun itu memasukkan barang kemas berkenaan di
pinggang seluar dan kolar jaket kemudian dijahit rapi sebelum dibungkus dalam
beg pakaiannya.
Menurut Hamzah, curiga dengan suspek, mangsa mengambil
keputusan untuk memeriksa beg pakaian suspek sebelum menghantarnya ke lapangan
terbang kerana suspek ingin pulang ke Indonesia.
"Namun mangsa terkejut apabila menjumpai beberapa
barang kemas milik isteri dan anaknya dalam pinggang seluar pendek dan kolar
jaket suspek yang dijahit kemas bagi mengaburi mata mangsa.
"Sebelum ini, banyak barang lain di rumah mangsa
hilang, namun suspek tidak pernah mengaku sehinggalah terjadi perkara ini dan
terus membawa suspek ke Balai Polis Bahau pada hari sama kira-kira jam 4.40
petang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di
Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol, di sini pagi semalam.
Hamzah berkata, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku
mencuri dan menyembunyikan barang kes itu di dalam kolar jaket dan lipatan
seluar dengan menjahitnya.
“Kita telah merampas barang kemas dan emas putih terdiri
daripada rantai, cincin, gelang tangan dan subang. Turut dirampas adalah
telefon bimbit suspek, jaket dan seluar pendek. Kerugian dianggarkan sebanyak
RM7,000.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin lalu
hingga 10 April ini. Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tujuh tahun dan
denda. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri
harta majikan,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my