BANTING - Imej lembaga kononnya didakwa menyerupai pontianak
di Hospital Banting yang dirakamkan oleh pihak tertentu kini mula tersebar di
laman sosial Facebook (FB) sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan
masyarakat.
Meskipun ada pihak menganggap ia sebagai tahyul, namun
tanggapan ramai dalam kalangan masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk
halus juga tidak boleh diketepikan.
Bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abd Samad Maharudin
berkata, beliau percaya keadaan itu wujud. Namun katanya, masyarakat
dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh sehingga menakut-nakutkan pelanggan
hospital.
Beliau yang pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas Menteri
Besar, Datuk Harun Idris memaklumkan, pada asalnya tapak kawasan Hospital
Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat merupakan kawasan ladang
getah dan kelapa sawit.
Justeru katanya, kewujudan makhluk halus di kawasan-kawasan
berkenaan tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa
hal tersebut tidak wajar dijadikan isu utama kerana bimbang ia disalah tafsir,
sedangkan yang Maha Berkuasa adalah ALLAH SWT.
Berhenti sebar gambar
“Masa tu, kawasan tersebut adalah milik sebuah syarikat
swasta yang mengusahakan ladang getah dan kemudian di jadikan ladang kelapa
sawit. Selepas pembinaan bangunan hospital dilakukan, tidak pula pernah dengar
ada jelmaan makhluk halus. Cuma... jika betullah seperti yang kecoh sekarang
ni, saya cuma anggap itu sebagai petunjuk dari ALLAH, untuk manusia
beringat-ingat.
"Lagipun hospital... biasalah. Hospital kan tempat
banyak berlaku insiden ngeri macam pesakit mati kemalangan, mati dibunuh, mati
bunuh diri, atau pun mati sakit. Itu perkara biasa, tapi janganlah pula ia
dijadikan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya kepada masyarakat.
“Mengenai gambar-gambar (pontianak) tu, boleh jadi ia telah
diedit. Bagi saya mudah saja, selagi ia tak kacau masyarakat biarkanlah. Tapi
jika ada gangguan, pihak pengurusan hospital perlu ikhtiar melakukan sesuatu,”
katanya yang mahukan masyarakat berhenti menyebarkan foto berkaitan makhluk
halus berkenaan di laman sosial ataupun menerusi lain-lain medium.
Abd Samad berkata, beliau mahu masyarakat memanfaatkan
kemudahan yang ada dengan baik dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh mencetuskan
kebimbangan dalam masyarakat.
"Saya yakin masyarakat boleh buat pertimbangan yang
wajar akan situasi yang berlaku ini," katanya yang juga merupakan bekas
Adun Morib sekitar tahun 1995.
Bukan rakaman CCTV hospital
Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak
Khasbullah berkata, beliau belum pernah menerima aduan daripada pihak
pengurusan hospital atau aduan awam mengenai sebaran gambar tersebut.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan telah bertemu dengan
pengarah hospital berhubung hal berkenaan dan merumuskan kejadian itu tidak
pernah berlaku di dalam wad apatah lagi ia hanya sebuah rakaman melalui telefon
bimbit dan bukannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik
hospital.
“Bagi saya senang, dalam Islam kita tak boleh meragui
kewujudan makhluk-makhluk berkenaan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian
adalah pihak yang mengirimkan gambar-gambar berkenaan agar berhenti
menyebarkannya jika hanya nak menakut-nakutkan orang ramai.
“Paling penting kejadian itu pun bukan boleh dilihat oleh
semua orang... hanya insan-insan terpilih sahaja yang boleh nampak. Jadi tak
perlulah nak sebarkan gambar-gambar seumpama itu. Ini penting bagi mengelakkan
keraguan dan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya yang turut
memaklumkan hospital tersebut telah dibina sejak tahun 1974.
Simpan buat koleksi peribadi
Sementara itu, seorang orang awam, Adenan Yusop, 50,
berkata, dia tidak pernah melihat atau terdengar khabar angin mengenai sebaran
gambar menyerupai pontianak itu walaupun percaya kewujudan makhluk halus.
"Pihak yang dapat rakam gambar 'benda' tu tak payahlah
nak sebar-sebarkannya... bagi takut orang ramai buat apa. Nanti orang yang
sakit takut nak datang hospital, bukankah dah bagi masalah tu.
"Apa lebih elok, pihak tu simpan sendiri semua gambar
pontianak tu jadi koleksi peribadi. Lagipun, kejadian makhluk halus ni tak
boleh dibuat main-main... jika benarlah ada, hal ni perlu diambil serius...
bukannya memutar belitkan maklumat,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my