Monday, May 26, 2014

Senarai Lagu Tema OST Drama Kusinero Cinta Astro Mustika HD | Kusinero Cinta Astro Mustika HD 2014

10:06 PM No Comments

Drama terbaru berjudul Kusinero Cinta akan menggantikan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang telah menamatkan siarannya. Menampilkan pelakon terkenal dari Filipina iaitu Jericho Rosales bergandingan bersama Aaron Aziz dan Tiz Zaqyah. Drama ini diarahkah oleh Feroz Kadir hasil terbitan Global Station. Saksikan drama 'Kusinero Cinta' ditayangkan mulai 26 Mei ini pada Setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) tayangan serentak di Astro Bella (saluran 133). Dua episode turut disiarkan di Astro Prima (saluran 105).

JUDUL : Kusinero Cinta
Tarikh : Mulai 26 Mei 2014 (Setiap Isnin - Rabu - 10 malam)
Episod : 60 episod
Siaran : Astro Mustika HD 134 / Astro Bella 133
Pengarah : Feroz Kadir
Terbitan : Global Station
Pelakon : Jericho Rosales, Aaron Aziz & Tiz Zaqyah
Bella Dally, Miera Liyana, Nadzriah Nadzri, Shakilla Khoriri, Jasmin hamid, Arash Mohamad, Nabila Daly, Wan Sharmila, Ziela Jalil, Shah Rezza, Datuk Jalaluddin Hassan

Lagu Tema / OST Kusinero Cinta
Judul : Takdir Cinta
Artis : Awi Rafael
Ciptaan : Adi Sixthsense

PELAKON DAN WATAK
Jericho Rosales sebagai Chef Fredo
Aaron Aziz sebagai Chef Izmir
Tiz Zaqyah sebagai Edrinna
Jasmin Hamid sebagai Datin Raudah
Arash Mohamad sebagai Datuk Mahadzir
Nadzriah Nadzri - Mimi
Wan Sharmila - Dr.Riana

Sumber : http://infotaip.blogspot.com
Read More...


Misteri sampan berpusing tengah laut terjawab

4:53 PM No Comments

TANJONG KARANG - Tanda tanya seorang kaki pancing yang terkejut melihat sebuah sampan berpusing tanpa kelibat orang rupa-rupanya membawa berita kehilangan seorang lelaki sejak semalam.

Sinar Harian difahamkan, keadaan sampan yang berpusing-pusing tanpa henti kira-kira lima kilometer dari pesisiran pantai Sungai Kajang, di sini menimbulkan tanda tanya sebelum saksi menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan.

Mangsa, Hasan Ashari Mat Da'ae, 39, dipercayai turun ke laut seorang diri pada Ahad lalu sebelum sampannya ditemui kaki pancing yang lain yang lengkap peralatan memancing dan barangan peribadi seperti telefon bimbit.

Rakan mangsa, Khairi Nordin, 52, berkata, biasanya dia dan Hassan Ashari akan turun ke laut bersama-sama hampir setiap hujung minggu untuk mencari hasil ikan untuk stok makanan mereka sekeluarga.

"Tapi kebetulan masa kejadian, saya tak ikut dan terkejut bila dapat panggilan kawan-kawan yang mengatakan jumpa sampan Hasan tapi tiada kelibatnya. Saya bimbang dia terjatuh sebab sampannya berpusing sampai habis minyak," katanya sebak.

Isteri mangsa, Maifuzah Jaid, 37, berkata, dia tak menyangka panggilan daripada suaminya kira-kira jam 12 tengahari itu rupa-rupanya panggilan terakhir sebelum dia sekeluarga dimaklumkan mengenai kehilangan suaminya di laut.

"Saya betul-betul tak sangka jadi begini sebab masa terima panggilan itu, abang tak cakap apa-apa yang mencurigakan. Tak ada tunjuk kata-kata pelik atau kelakuan yang berbeza seperti sebelum ini," katanya kepada media.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Jepun kuasa baharu badminton | Jepun Juara Piala Thomas 2014

11:20 AM No Comments

NEW DELHI - Jepun muncul kuasa baharu sukan badminton dunia apabila mengejutkan Malaysia 3-2 di pentas final Piala Thomas 2014 di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Lebih manis, ia merupakan kali pertama Jepun mendakap trofi Piala Thomas dalam penampilan sulung mereka di pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.

Jurulatih Jepun, Park Joo Bong juga pastinya individu yang paling gembira dengan kejayaan Negara Matahari Terbit melakar sejarah ekoran tidak pernah mendakap trofi paling berprestij berkenaan sepanjang kariernya bersama Korea Selatan sebelum ini.

Percaturan Joo Bong menurunkan pemain perseorangan keempat, Takuma Ueda berbanding Sho Sasaki juga ternyata berbaloi apabila Ueda tenang menyumbang mata kemenangan Jepun selepas menewaskan kapten negara, Liew Daren dengan keputusan rubber set 21-12, 18-21 dan 21-17.

Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia terus kempunan mendakap trofi Piala Thomas selepas kali terakhir muncul juara pada 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah menjinakkan Kenichi Tago dengan kemenangan straight set 21-12 dan 21-16.

Hasrat pasangan 'bidan terjun' negara, Hoo Thien How-Tan Boon Heong bagi mengejutkan pasangan No. 3 dunia, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa ternyata gagal biarpun berjaya mengheret perlawanan ke rubber set sebelum tumpas 21-12, 17-21 dan 19-21.

Ketangkasan bekas juara remaja dunia, Kento Momota juga gagal ditandingi pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng apabila menang straight set 21-15 dan 21-17.

Impian negara kembali menyala apabila pasangan beregu kedua, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan 2-2 apabila menang rubber set 19-21, 21-17 dan 21-12.

Tatkala harapan seluruh rakyat Malaysia terjurus ke arah Daren, pemain itu gagal beraksi dengan baik apabila tumpas mudah pada set pertama sebelum kembali bangkit pada set kedua.

Namun, Daren gagal menyerap tekanan apabila sering membuat kesilapan mudah pada set penentuan sebelum tewas.

Ia merupakan kekalahan ketiga Daren pada kejohanan kali ini apabila tewas kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini.
Ketika bertemu Denmark dan Indonesia di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini, Daren tidak sempat beraksi apabila Malaysia menang 3-1 dan 3-0 sebelum melangkah ke pentas final.

 Sumber : http://www.kosmo.com.my
Read More...


Selfie, hashtag, tweet masuk Kamus Dewan

10:31 AM 1 comments

Perkataan popular yang lahir seiring perkembangan teknologi seperti 'selfie', 'hashtag' dan 'tweet' akan menjadi sebahagian daripada Kamus Dewan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan (bawah,berbaju hijau) berkata ia selari dengan peranan kamus iaitu merakam penggunaan kata secara meluas oleh masyarakat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkataan itu akan diberi tanda 'bp' iaitu bahasa percakapan yang dilabel pada perkataan yang belum diterima sebagai bahasa standard. 

"Pengguna kamus perlu membaca bahagian pendahuluan yang menjelaskan cara penggunaan kamus, termasuk bahagian dilabel 'bp', supaya tidak ada salah anggap bahawa semua kata di dalam kamus adalah perkataan baku," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kemasukan perkataan itu juga berdasarkan ilmu leksikografi atau perkamusan memasukkan kosa kata yang digunakan secara meluas, disertai penjelasan konteksnya sama ada rasmi atau tidak rasmi.

"Perkataan itu juga tidak akan dimasukkan sekali gus. Tetapi bagi yang sudah meluas (pengunaannya), ia akan dimasukkan berserta penjelasan taraf dan akan dinilai oleh pekamus kerana ada kaedah tertentu untuk memasukkan sesuatu kata dalam kamus," katanya.

Awang juga berharap masyarakat tidak membuat tanggapan DBP memasukkan banyak bahasa asing kerana fungsi kamus ialah perakam kata yang digunakan secara meluas oleh masyarakat.

Perkataan seperti 'selfie' merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri untuk dimuat naik ke laman sosial yang semakin menjadi trend, termasuk dalam kalangan pemimpin, selepas telefon bimbit pintar dilengkapi aplikasi kamera. 

'Hashtag' yang merujuk kepada simbol # pula digunakan pengguna Twitter untuk menandakan kata kunci atau topik hangat bagi memudahkan pencarian dalam kalangan pengguna laman sosial itu.

Penggunaan perkataan 'moden' itu juga dimasukkan ke dalam beberapa kamus terkemuka dunia, termasuk Kamus Oxford, yang mana 'selfie' menjadi perkataan paling popular pada 2013.

Kamus Merriam-Webster juga menambah perkataan 'selfie, hashtag dan Tweet' yang menyaksikan editornya, Peter Sokolowski dalam wawancara dengan media baru-baru ini menyifatkan ia sebagai kesan perkembangan teknologi dalam kehidupan.

- Bernama

Sumber : http://www.malaysiakini.com
Read More...


Cadbury serius soal halal produknya

10:21 AM 1 comments

SHAH ALAM - Cadbury Malaysia menegaskan bahawa pihaknya mengambil serius soal keselamatan dan standard halal dalam produk mereka.

Cadbury turut memberi jaminan bahawa ujian itu tidak memberi kesan kepada semua produk yang dikeluarkan di negara ini.

"Kami di Cadbury Malaysia faham bahawa pelanggan kecewa dengan berita berkenaan hasil ujian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan terhadap dua produk kami.

"Kami menghargai dan mendengar segala komen serta maklum balas anda terhadap isu ini," kata Cadbury dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak Cadbury sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes tersebut.

"Kami faham halal penting kepada masyarakat Islam. Ia juga menjadi kepentingan utama buat kami di sini. Memastikan semua produk yang dihasilkan di Malaysia halal.

"Kami telah menarik balik semua produk terbabit iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut (dengan nombor siri 200813M01H I2 yang tamat tempoh 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (dengan nombor siri 221013N01R I1 yang tamat tempoh 15 Januari 2015) serta-merta.

"Kami juga menjamin bahawa semua produk lain yang dibuat di Malaysia tidak terjejas dengan ujian ini," kata kenyataan itu lagi.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Mesyuarat khas JAKIM, Cadbury hari ini

9:36 AM 1 comments

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bersemuka dengan pengurusan syarikat pengeluar coklat, Cadbury, yang dikesan menggunakan DNA babi dalam dua produk keluarannya menerusi mesyuarat hari ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata mesyuarat khas itu turut disertai Jabatan Kesihatan, Jabatan Standard dan Jabatan Kimia.

Beliau berkata, segala maklumat mengenai keputusan mesyuarat itu akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui media bagi mengelak keresahan.

Panggil syarikat

Segala keputusan mesyuarat terbabit akan dimaklumkan kepada media sebaik saja mesyuarat selesai. JAKIM memanggil syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung perkara ini.

Sehubungan dengan itu, JAKIM memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas terhadap isu ini bagi mengelakkan keresahan awam, katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Semalam akhbar melaporkan, JAKIM menggantung sijil halal terhadap dua produk coklat susu keluaran Cadbury Dairy Milk yang dikeluarkan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, berkuat kuasa serta-merta ekoran penemuan DNA babi dalam produknya.

Penemuan DNA itu dikesan oleh Kementerian Kesihatan, dalam produk coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Tiga fahaman songsang serang umat Islam

9:31 AM No Comments

Agama ajar penganut akhlak baik, bukan rencana kezaliman di sebalik hak asasi

Fahaman humanrightisme berasaskan pemikiran humanisme, sekularisme dan liberalisme adalah ancaman atau serangan baharu kepada umat Islam. Fahaman itu kini seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang pesat berkembang di dalam dan luar negara.

Kebimbangan terhadap ancaman pemahaman bersifat songsang ini disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, minggu lalu.

Hak kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan itu tidak lain hanyalah dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemikiran sesat ini adalah ancaman yang berbahaya kepada akidah dan syariat Islam kerana mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata serta menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama serta adab susila.

Malaysia bukan negara yang menolak hak asasi, namun berpegang pada prinsip kesucian Perlembagaan dan undang-undang, mendokong kesopanan dan tatasusila serta hak beragama, penting untuk Malaysia meletakkan garis panduan bagi menjaga keharmonian serta ketinggian moral masyarakatnya.

Kita perlu sedar, semua agama mengajar penganutnya dengan akhlak yang baik kerana itulah asas kepada pembentukan sebuah masyarakat harmoni. Meletakkan fahaman liberalisme dan moral songsang akan menyebabkan masyarakat celaru, akhirnya membawa kepada kemusnahan negara.

Mereka yang taksub dan mengagungkan ideologi liberal-sekular Hak Asasi Manusia dicipta oleh Barat sebenarnya tidak bertamadun kerana fahaman itu bercanggah dengan fitrah manusia.
Rencana kezaliman di sebalik hak asasi

Lagipun, negara yang dipandang sebagai pejuang hak asasi itu sebenarnya yang merencana kezaliman, penindasan, penjajahan dan pencerobohan tetapi berselindung di sebalik laungan perjuangan hak asasi.

Hakikatnya pejuang hak asasi manusia di negara ini telah terkeliru sama ada pencabulan hak asasi manusia yang didakwa berlaku disebabkan agama, polisi kerajaan atau akibat nafsu manusia itu sendiri.

Mereka secara terang-terangan telah menyalahkan agama kerana bercanggah dengan hak kebebasan mutlak seorang manusia. Agama telah menetapkan beberapa peraturan hidup supaya manusia menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.

Kerajaan telah menguatkuasakan peraturan itu supaya ia dipatuhi. Apakah penganut humanrightisme ini tidak menyedari di sebalik laungan menuntut hak asasi secara bebas, sebenarnya ia menjejaskan hak orang lain pula?

Apakah mereka tidak menyedari di sebalik kebebasan seks rambang ia membiakkan pelacuran dan anak tidak sah taraf? Oleh sebab itu, hak kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan itu tidak lain hanyalah dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keyakinan mendalam mengenai keadilan, kewajipan berpolitik, bersosial, mempertingkatkan ekonomi di samping keazaman untuk melaksanakannya tidak datang dari jiwa yang kosong dan pemikiran yang rosak.

Sebaliknya, keazaman untuk menepati tuntutan keadilan, perisytiharan hak asasi dan moral yang disanjung tercetus daripada keyakinan tinggi kepada Pencipta dan pegangan yang kuat dalam beragama.

Agama bentuk pemikiran

Ini kerana agama membentuk pemikiran, kecenderungan dan keinsafan tinggi terhadap suruhan kepada kebaikan serta kesejahteraan sesama insan seperti dianjurkan dalam agama Islam.

Islam sebagai agama yang bersumberkan kepada bimbingan Ilahi adalah agama yang mula-mula mengisytiharkan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia baik secara teori mahupun amali.

Justeru, semua pihak perlu menerima hakikat walaupun zaman semakin maju dengan kecanggihan tanpa batas, namun undang-undang dan agama yang mengawal tatasusila manusia masih relevan untuk memastikan manusia tidak melakukan kebejatan moral tanpa batas.

Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) rela berbeza pandangan dengan dunia antarabangsa jika itulah yang diperlukan untuk mempertahankan kewujudan undang-undang jenayah syariah yang mengawal tatasusila dan moral umat Islam.

Jika undang-undang jenayah syariah ini dihapuskan, ia akan memberi laluan kepada pengiktirafan terhadap golongan tercelaru mental ini, seterusnya mengangkat gaya hidup tidak beretika.

JAKIM terbabit secara langsung mengadakan dialog antara agama melalui forum khas yang diwujudkan oleh kerajaan iaitu Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama.

Forum pupuk jaga perpaduan

Melalui forum itu perbincangan antara agama diadakan bertujuan memupuk dan menjaga perpaduan serta keharmonian. Impak daripada dialog itu amat baik dan berdasarkan maklum balas, usaha itu perlu diteruskan.

JAKIM sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pendapat agama lain mengenai agama Islam tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha memahami kepelbagaian agama, bukan untuk mempersoalkan keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam.

Hak asasi manusia yang dilihat sebagai nilai sejagat yang dikongsi perlu mengambil kira ciri khas sesebuah negara dan rantau termasuk sejarah, budaya serta agama. Ini penting khususnya kepada Malaysia bagi mengekalkan keharmonian rakyat dalam kepelbagaian bangsa dan agama.

Amanat Perdana Menteri bertepatan dengan konsep menjaga maqasid syariah yang juga bersifat sejagat iaitu menjaga agama, akal, harta, nyawa dan keturunan kerana ia satu bentuk ‘perjanjian’ yang disepakati semua tamadun di dunia ini.

Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


JPJ tidak terbabit Operasi Cermin Gelap

9:21 AM No Comments


Rawang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak terbabit dengan Operasi Cermin Gelap yang akan dilancarkan Polis Trafik Bukit Aman bermula 16 Jun ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata hanya polis yang mahu mengadakan operasi berkenaan tidak lama lagi dan beliau tidak boleh mengulas mengenai gerakan itu.

Polis boleh membuat operasi atau sebaliknya, kerana ia adalah tanggungjawab dan di bawah bidang kuasa mereka.

Namun, JPJ mempunyai operasi secara berkala dan tidak mengadakan besar-besaran bagi memastikan kenderaan cermin gelap mengikut peraturan ditetapkan, katanya selepas merasmikan majlis perasmian penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kundang di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus.

Ulas dakwaan orang ramai

Ismail mengulas desakan orang ramai supaya JPJ dan polis menangguhkan semua operasi cermin gelap memandangkan keputusan proses pindaan hanya akan diketahui melalui bengkel yang diadakan pada 2 Jun ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my


Read More...


Magis Ukulele

9:16 AM No Comments

Petikan gitar ukulele dengan dendangan lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yan Sekarang, nyanyian Tegar Septian bukan sekadar menjadikan bakatnya dikagumi, malah ia mampu mengubah hidupnya daripada penyanyi jalanan, kepada penyanyi popular.

Hebatnya penyanyi cilik berusia 12 tahun dari Indonesia itu sebenarnya boleh dijadikan inspirasi kepada kanak-kanak untuk meneroka bakat sama dalam bidang muzik dengan petikan gitar kecil.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Maafkan saya Malaysia: Daren

9:08 AM No Comments

Kapten skuad negara, Liew Daren memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mata kemenangan kepada pasukan untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun menjulang trofi Piala Thomas selepas tewas kepada Jepun 2-3, malam tadi.

Daren yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga diletakkan harapan menggunung untuk menghadiahkan mata kemenangan selepas Malaysia terikat 2-2 dengan Jepun tetapi tewas kepada Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21.

Semangat juang tinggi

Begitupun, semangat juang tinggi ditunjukkan Daren wajar diberikan pujian kerana dia tidak mudah menyerah kalah biarpun tewas pada set pertama.

"Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah berikan aksi terbaik tetapi jika ada juga pihak yang mahu salahkan saya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Buktikan kemampuan

Daren berkata, dia memang terlalu mahu memberikan kemenangan kepada skuad negara selain membuktikan kemampuan sebenarnya selepas aksi hambarnya dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan pengajaran berguna kepada saya untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti.

Saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus memperbaiki kelemahan diri," katanya yang berterima kasih kepada barisan jurulatih kerana memberikan kepercayaan kepadanya apabila menurunkannya pada perlawanan itu.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Senarai penuh barisan kepimpinan FAM sesi 2014/2018 | Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018

8:52 AM No Comments

BERIKUT senarai barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 selepas pemilihan pada Kongres ke-50 FAM hari ini:
   
Presiden:
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Pahang)
   
Timbalan Presiden:
1. Datuk Seri Afandi Hamzah (Kelantan)
2. Datuk Abdul Mokhtar Ahmad (Selangor)
   
Naib Presiden:
1. Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Perak)
2. Datuk Rozabil Abdul Rahman (Perlis)
3. Datuk Sudarsono Osman (Sarawak)
   
Ahli Jawatankuasa Eksekutif:
1. Datuk Yusof Mahadi (Melaka)
2. Abdul Aziz Yeop Jamaluddin (Perak)
3. Datuk S. Sivasundram (penyandang-Selangor)
4. Alijus@Mohd Ali Sipil (Sabah)
5. Datuk Osman Salleh (penyandang-PDRM))
6. Goh Ah Chai (Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia)
7. Datuk Mohd Junid Mohd Noor (Pulau Pinang)
8. Datuk Othman Aziz (Kedah)
9. Brig. Jeneral Datuk Norhuda Ahmad (wanita)
10. Normala Md Yusof (wanita)

- Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Ramkarpal menang, tiga hilang deposit

8:39 AM No Comments

GEORGETOWN - Tiga calon yang bertanding dalam PRK Bukit Gelugor hilang deposit setelah gagal memperolehi satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira malam ini.

Mengikut kiraan, undi minimum yang perlu diperolehi calon untuk mengekalkan deposit ialah 5,762 undi.

Calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yang dikatakan mampu memberi saingan kepada calon DAP, Ramkarpal Singh Deo hanya mendapat 3,583 undi.

Calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar yang menggunakan simbol bunga raya memperolehi 799  undi manakala Abu Backer Sidek Mohammad Zan dengan simbol kuda mendapat 225 undi.

Seperti dijangkakan, DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor apabila Ramkarpal yang dicalonkan bagi mempertahankan kerusi disandang bapanya, Karpal Singh memperolehi 41,242 undi dengan mencatatkan majoriti sebanyak 37,659 undi.  

Jumlah yang keluar mengundi ialah 56 peratus atau 46,099  pengundi berbanding pada PRU13 yang merekodkan 86.3 peratus atau 70,683  pengundi. 

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Bukit Gelugor, Kapt (B) Anuar Yahya di pusat penjumlahan undi, Dewan Sri Pinang, pada jam 9 malam.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Hadir sama ibunya, Gurmit Kaur dan kedua-dua abangnya, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong selepas Karpal, yang juga bekas pengerusi DAP, maut dalam nahas jalan raya berhampiran Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Mendiang mewakili kerusi itu sejak tahun 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada PRU13 dengan memperolehi 55,839 undi berbanding calon dari MCA yang mewakli BN, Teh Beng Yeam mendapat 14,061 undi.

Karpal menang majoriti 41,778 undi untuk parlimen Bukit Gelugor yang mempunyai tiga Dun iaitu Paya Terubong, Air Itam dan Seri Delima membabitkan 82,431 pengundi.

Ini adalah PRK pertama bagi kerusi parlimen selepas PRU13 manakala empat PRK sebelum ini membabitkan kerusi Dun iaitu Kuala Besut, Terengganu dan Balingian, Sarawak dimenangi BN manakala Sungai Limau, Kedah (Pas) dan Kajang, Selangor (PKR).

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Pelumba Cub Prix negara maut kemalangan

8:30 AM No Comments

KOTA TINGGI - Pelumba motosikal (Cub Prix) Husni Aizat Abdul Malik, 20, maut selepas terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Tanjung Buai-Teluk Sengat kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motorsikal jenis Modenass Kriss dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya yang terletak di Felda Air Tawar 1.

Menurut abang mangsa, Hilmi Affan, 21, sebelum kejadian mangsa yang juga merupakan anak kedua daripada enam beradik itu bertegas untuk membawa motorsikal terbabit ke rumah sepupu mereka di Pasir Gudang meskipun telah dilarang beberapa kali.

“Kami tidak benarkan dia pergi menaiki motorsikal dan menyuruhnya membawa kereta namun dia tidak mahu dan tetap berkeras hendak membawa motorsikal tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi tengah hari tadi.

Hilmi berkata, malam sebelum kejadian dia sempat berjumpa dengan adiknya itu di Pasir Gudang namun tidak sempat untuk berborak kerana anaknya tidak sihat.

Bagaimanapun katanya, pagi tadi dia dikejutkan dengan panggilan daripada saudara terdekat yang memberitahu adiknya terlibat dalam kemalangan.

“Dia sebenarnya sedang bercuti daripada menjalani latihan di Sepanyol dan menghabiskan cuti bersama kami di kampung. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir kami berjumpa sebelum dia terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut,” katanya lagi.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 1.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger