Ipoh: Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34, mangkat tengah
hari semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin
Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah yang pernah
dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9, menghembuskan nafas terakhir pada
jam 1.30 tengah hari.
Kemangkatan baginda yang memerintah Perak selama tiga dekad
sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri
Dr Zambry Abdul Kadir menerusi secara langsung televisyen dan radio kira-kira
jam 3.30 petang.
Seluruh rakyat jelata negeri Perak kehilangan seorang Sultan
dikasihi dan berjiwa rakyat.
Saya Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul
Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata Perak Darul Ridzuan merafak sembah
takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan
ditempatkan oleh Allah di kalangan para ambiya, syuhada dan solehin, katanya
yang sebak ketika membacakan teks pengisytiharan kemangkatan baginda di Radio
Televisyen Malaysia (RTM), di sini.
Zambry berkata, jenazah baginda akan disemayamkan di
Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi penghormatan terakhir dan
dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, di Masjid Ubudiah selepas solat Asar,
hari ini.
Perak diisytihar cuti umum
Beliau berkata, sebagai penghormatan atas kemangkatan
baginda, hari ini diisytiharkan cuti umum bagi negeri Perak sempena hari
pemakaman.
Bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang
sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari mulai hari ini (semalam), manakala
bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.
Sepanjang tempoh berkabung selama tujuh hari itu, semua
bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan, katanya.
Beliau berkata, penghormatan terakhir oleh orang ramai
bermula jam 9 hingga 11.30 pagi. Bagi pembesar negeri, orang kenamaan dan
perwakilan asing jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari manakala Sultan,
Raja-Raja, Yang di-Pertua Negeri dan pembesar negara asing mulai jam 1.30
tengah hari hingga 2.15 petang.
Sumber : http://www.bharian.com.my