Kuala Lumpur: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun
hampir pasti dipilih parti itu untuk dinamakan sebagai calon Barisan Nasional
(BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Sumber berkata, Mei Fun menjadi pilihan utama kerana beliau
berasal dari Selangor, selain pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pemimpin tempatan
“Mei Fun seorang pemimpin tempatan, malah sudah biasa
(berurusan) dengan kerajaan Persekutuan, ” katanya ketika dihubungi BH di sini,
semalam.
Katanya, Mei Fun dijangka diperkenalkan Presiden MCA, Datuk
Seri Liow Tiong Lai sebagai calon MCA pada majlis pelancaran Bilik Gerakan MCA
untuk PRK DUN Kajang di Taman Berjaya, Kajang, hari ini.
Bagaimanapun, pengumuman calon rasmi BN akan diumumkan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis yang belum
ditetapkan.
Sebelum ini, tiga nama disebut untuk dipilih bertanding pada
PRK itu antaranya Mei Fun, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan Setiausaha
Organisasi Kebangsaannya, Datuk Yoo Wei How.
Pakatan pembangkang menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai calon PKR pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 23
Mac ini.
Herman Tino berhasrat
Selain itu, penyanyi 1980-an, Herman Tino atau nama
sebenarnya, Masrun Tamsi juga dilihat berhasrat mahu bertanding pada PRK DUN
Kajang.
Beliau sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas di
Parlimen Tanjung Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, tetapi
tewas kepada penyandangnya yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Zaid turut mahu
Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Zaid Ibrahim dilaporkan turut mahu bertanding pada PRK DUN Kajang, jika isteri
beliau memberi restu kepadanya dan dijangka membuat pengumuman berhubung
perkara berkenaan di sebuah restoran sate di Kajang, hari ini.
Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan
mengejut wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian
0 comments:
Post a Comment