Sunday, April 13, 2014

Mayat masih sempurna walaupun dilanggar treler

3:30 PM No Comments

GEORGETOWN - Walaupun dilanggar sebuah treler, namun mayat seorang warga emas masih dalam keadaan sempurna kerana ditemui antara dua tayar dalam keadaan terbaring.

Warga emas, Syed Mohamed Shukor Syed Abdul Rashid, 64, dari Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas dikatakan sedang melintas jalan namun tiba-tiba terjatuh di Jalan Tun Dr Awang di sini pagi semalam.

Mangsa dikatakan berjalan kaki ke Kampung Setinggan, terletak berhadapan dengan kediamannya kira-kira jam 9 pagi.

Seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa terjatuh terdapat sebuah treler dengan muatan bahan binaan sedang menghala ke arahnya dari bulatan Bayan Baru ke Relau.

Beliau berkata, pemandu treler tidak dapat memberhentikan kenderaannya kerana kejadian berlaku secara mengejut.

“Mayat dia ditemui antara dua tayar treler itu dalam keadaan terbaring dan tidak berdarah.  Ini merupakan takdir ALLAH, dia pergi dalam keadaan sebegini,” katanya.

Menurutnya, Syed Mohamed kerap pergi ke kampung berkenaan untuk berjumpa rakan-rakannya dan ia menjadi sebahagian rutin hidupnya selepas bergelar pesara kerajaan.

Sementara itu, pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din berkata, polis sudah mengambil keterangan dari pemandu treler bagi membantu siasatan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


MH370 : Fariq buat panggilan sebelum MH370 hilang

3:26 PM No Comments

SHAH ALAM - Hasil siasatan dari pasukan siasatan telah mendedahkan satu maklumat terbaru berhubung insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh New Straits Times hari ini, pihak berkuasa telah mendedahkan satu maklumat berhubung pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid yang membuat satu panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang pada ketinggian 5,000 kaki semasa melalui Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, panggilan telefon tersebut berjaya dilakukan berikutan pesawat tersebut yang terbang cukup rendah sehingga membolehkan menara kawalan telekomunikasi mengesan panggilan telefon yang dibuat.

Namun panggilan telefon tersebut disahkan terputus secara tiba-tiba sebelum kapal terbang tersebut hilang dari radar dan pasukan penyiasat masih melakukan siasatan terperinci ke atas maklumat tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seramai 205 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan pihak polis.

Menurut beliau, pihak polisakan memanggil lebih ramai individu untuk membantu pihak polis menyelesaikan siasatan ke atas insiden kehilangan pesawat tersebut.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Pemandu bas didakwa asyik SMS

3:23 PM No Comments

BENTONG – "Sebelum kemalangan, pemandu bas sibuk 'bermain' SMS (khidmat pesanan ringkas), malah kenderaan turut dipandu laju," dakwa seorang penumpang bas, Norfazilah Zainuddin, 22, ketika ditemui di Hospital Bentong, semalam.

Norfazilah mendakwa, dia yang duduk bersebelahan pemandu bas berasa tidak sedap hati melihat kelakuan lelaki itu yang leka dengan telefon bimbit sambil memandu.

Menurutnya, dia menegur pemandu bas beberapa kali, namun tidak diendahkan.

"Saya cakap baik-baik minta dia fokus kepada pemanduan kerana bimbang berlaku perkara buruk yang boleh membahayakan saya dan penumpang lain.

"Dia tidak hiraukan saya langsung dan terus memandu laju, sebelum bas kami masuk ke laluan bertentangan," katanya.

Norfazilah yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur berkata, ketika itu, dia hanya sempat menjerit 'Awas, abang!', sebelum bas itu terbabas dan terbalik.

Katanya, kejadian terlalu cepat dan kepalanya cedera akibat terhantuk pada cermin hadapan bas, selain lututnya luka akibat terhimpit.

“Saya masih sedar dan hanya dapat melambai-lambai pengguna jalan raya lain, berharap ada yang membantu mengeluarkan kami yang tersepit,” katanya yang mahu pulang ke kampung di Tumpat, Kelantan.

Menurutnya, insiden itu tidak mungkin dilupakan, namun dia bersyukur kerana terselamat.

Sementara itu,Suhaila Ismail, 32, berkata, dia yang pertama kali menaiki bas tersebut sangat trauma dengan kemalangan ngeri itu.

Katanya, dia dan abangnya terpaksa menaiki bas itu, selepas tiket bas yang selalu dinaiki habis dijual.

"Sebelum kejadian, abang memang dah perasan bas tersebut dipandu laju dan pemandu bas juga asyik menekan brek.

"Saya cedera di bahagian tulang belakang serta rusuk. Kejadian ini buat saya serik dan trauma naik bas," katanya.

Seorang lagi penumpang, Razali Musa, 47, turut menceritakan detik cemas insiden itu.

“Saya naik bas bersama isteri, ketika dalam perjalanan saya tertidur, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman serta cermin pecah.

"Semua penumpang menjerit. Tiba-tiba saya ditindih tiga individu lain termasuk isteri," katanya.

Menurutnya, memang dia terkejut dengan kejadian itu  tetapi mujur dia tidak panik manakala penumpang yang selamat dan tidak cedera keluar dari bas berkenaan melalui cermin depan yang pecah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Kejutan balik kampung menjadi kisah duka

3:20 PM No Comments

KOTA BHARU - Hasrat Zarifah Alias, 26, dan suaminya, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, pulang ke kampung halaman dekat Padan Jeman, Salor untuk memberi kejutan kepada keluarga bertukar episod duka apabila mereka maut dalam nahas malam kelmarin.

Kakak mangsa, Zalinawati Alias, 42, berkata, mereka sekeluarga amat terkejut dan tidak menyangka adik bongsunya terlibat dalam kejadian tersebut kerana arwah tidak memberitahu mahu pulang ke kampung.

“Kebiasaannya mereka memang suka buat kejutan dan tidak beritahu bila mahu pulang ke kampung dan kali ini memang membuatkan kami sekeluarga bersedih dengan ‘kejutan’ tersebut.

“Arwah seorang yang ceria, terbaru dia banyak bercerita tentang kandungannya dan tidak sabar menunggu kelahiran bayi pertama mereka pada September depan ketika pulang ke kampung buat kali terakhir Februari lalu.

“Dia berharap anak lelaki dan mahu menamakannya dengan nama ‘Bilal’. Kami adik beradik rapat, saya tidak sangka dia pergi begitu cepat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, semalam.

Tambahnya, adiknya juga masih dalam ‘mood’ pengantin baharu kerana baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Saeed Mohamad, 7 Disember tahun lepas.

Zalinawati berkata, walaupun arwah jarang berada di rumah kerana begitu gemar belajar mereka enam beradik sentiasa berhubung dalam ‘WhatsApp’ keluarga untuk bertanya khabar dan  perkembangan semasa.

Katanya, pasangan arwah juga sudah empat tahun menetap di negara ini malah boleh berbahasa Melayu membuatkan hubungan mereka sekeluarga dengan adik iparnya erat.

Zalinawati berkata, dia hanya mengetahui berita tersebut apabila diberitahu kawan kepada arwah adiknya dan dikhabarkan hanya adik iparnya yang maut.

“Saya tahu berita tersebut jam 6 pagi semalam dari kawan adik yang sentiasa jayakan usrah bersama, mulanya kami dikhabar suaminya sahaja yang maut. Apabila semak senarai penumpang adik kami juga terlibat sama.

Bapa mangsa, Alias Ismail, 72, berkata, anak kesayangannya itu suka belajar dan tidak betah tinggal di rumah kerana sejak di tingkatan satu hingga lima berada di sekolah berasrama penuh dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang bioteknologi di Australia.

“Dia anak yang sangat bijak dan suka belajar. Malah dia bertemu dengan suaminya juga ketika sama-sama bergiat aktif dalam usrah, pak cik reda dengan pemergiannya.

“Sedih tu memang ada tidak boleh dinafikan kerana dia adalah anak paling rapat dan ceria malah sangat disenangi oleh enam kakaknya. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya yang juga menghidap penyakit angin ahmar.

Tambahnya, dua hari sebelum kejadian arwah ada menelefon dan bercakap dengan ibunya namun tidak memberitahu dia akan pulang dalam masa terdekat.

“Arwah juga ada kata hendak bawa pulang kelapa dari Somalia untuk ditanam di kampung kerana rasanya lebih sedap, lagipun suaminya baru pulang menziarah ibunya di negara tersebut bulan lalu,” ujarnya.

Ibu mangsa, Mahni Othman,72, bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan berita yang menimpa anak dan menantunya itu.

Zarifah adalah penyelidik sambilan di Hospital Sungai Buloh kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM) manakala suaminya pula dikatakan baru sahaja mendapat tawaran kerja di kedutaan Arab Saudi.

Jenazah pasangan suami isteri itu juga masih berada di Hospital Bentong Pahang dan dibawa pulang ke kampung kira-kira jam 6 petang semalam dan urusan pengebumian dilakukan selepas Maghrib.

Arwah mohon penduduk tetap

Seorang rakan baik Saeed ketika ditemui wartawan berkata, dia dan arwah berkawan baik sejak tahun 2009 kerana aktif dalam perwakilan pelajar.

Muhammad Zaki Omar,29, berkata dia mengenali mangsa ketika satu persidangan di Melaka dan kemudian terus rapat sehingga kini.

“Arwah sangat aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pernah menjadi Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Antarabangsa.

“Kami rapat dan sentiasa berkongsi cerita bersama-sama. Semasa dia berkahwin dengan isterinya, Zarifah, saya yang menjadi pengapitnya,” katanya.

Katanya, arwah Saeed pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi penduduk tetap negara ini dan ia dalam proses permohonan.

“Setahu saya, dia baru pulang menziarahi keluarganya di Somalia beberapa hari  yang lepas.

“Kemungkinan dia membawa isterinya pulang ke rumah mentua di Kelantan untuk bertanya khabar dan ingin memberikan  cenderahati yang dibawa pulang dari Somalia,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Nekad kelar pergelangan tangan

3:14 PM No Comments

IPOH – Seorang pelakon wanita nekad mengelar pergelangan tangan kirinya selepas kecewa kekasihnya mengahwini wanita lain, petang kelmarin.

Difahamkan, Shelin, 29, yang hamil tujuh bulan mengambil keputusan itu selepas tertekan dengan nasibnya dan anak bakal dilahirkan.

Rakannya yang hanya ingin dikenali sebagai John, 50-an berkata, dia segera membawa mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 4 petang kelmarin, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Kawannya ada mengajak Shelin bermalam di Taman Pangkalan kerana bimbang melihat dia bersendirian di rumah.

"Mangsa murung dan sedih selepas mengetahui bekas kekasihnya sudah melangsungkan perkahwinan di Kuala Lumpur,” katanya.

John berkata, nasib menyebelahi Shelin apabila kecederaan dialaminya tidak serius dan dia dilaporkan stabil.

“Mujur kejadian ini cepat disedari kawannya, kalau tidak saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Shelin yang pernah terbabit dalam penggambaran sebuah telemovie bersama bekas kekasihnya sebelum ini mendakwa ditipu dan pernah diugut lelaki terbabit.

Bekas kekasihnya yang berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan di Kulim, Kedah berjanji mengahwini mangsa namun melarikan diri selepas mengetahui Shelin hamil dan mempunyai bakal isteri lain.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger