Thursday, August 27, 2015

Dua beradik lemas memancing di lombong

8:33 AM No Comments

IPOH - Keghairahan dua beradik memancing di sebuah lombong tinggal di Taman Rasi, Menglembu di sini hari ini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mereka terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ismail Darus berkata, mayat Lee Poh Wei, 16, ditemui pada 5.56 petang manakala adiknya, Lee Poh Jun, 14, belum ditemui.

Kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila dua beradik itu, yang tinggal di Bukit Merah, Lahat dikatakan ke lombong berkenaan untuk memancing ikan bersama seorang lagi rakan mereka, kata Ismail kepada pemberita.

Beliau berkata, insiden itu berlaku apabila Poh Jun dikatakan cuba menarik kail pancingnya yang tersangkut sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan serta dipercayai lemas.

Poh Wei yang melihat kejadian itu kemudian terjun untuk menyelamatkan adiknya tetapi dia turut lemas, kata Ismail.

Rakan mereka yang cuba membantu tetapi gagal kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sejumlah 39 orang membabitkan anggota polis, bomba serta Rakan Cop melancarkan operasi mencari, dan mayat Poh Wei ditemui di dasar lombong.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, mayat Poh Wei dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama

Read More...


Khidmat doktor 'selfie' mungkin ditamatkan

8:23 AM No Comments

PUTRAJAYA - Doktor wanita yang merakam gambar selfie di sebuah hospital di Johor Bahru, berkemungkinan berhadapan tindakan ditamatkan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Tindakan terhadap doktor yang berkhidmat kurang dari lima tahun itu, bagaimanapun akan bergantung kepada hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan, yang antara lain juga, boleh digantung kerja atau dikenakan tindakan pentadbiran, katanya.

Mengulas tindakan doktor wanita yang merakam gambar selfie sambil menunjukkan isyarat 'peace' dengan pesakit dalam posisi bersalin, Dr Subramaniam berkata ia perbuatan serius kerana melanggar etika sebagai pengamal perubatan.

"Bayangkan hendak menjadi doktor bukan senang kerana perlu mengambil masa bertahun-tahun dan menelan belanja tinggi, tetapi kerana selfie dalam beberapa saat, masa depan bakal gelap," katanya kepada pemberita di kementeriannya di sini hari ini.

Perbuatan doktor itu mengundang kemarahan orang ramai terutamanya pengguna laman sosial yang turut mengecam aksi merakam gambar terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang turut mengecam tindakan yang mengaibkan maruah pesakit itu berkata anggota keluarga atau suami pesakit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam memberi amaran keras kepada pegawai perubatan agar tidak mengulangi perbuatan sama serta mengingatkan bahawa mereka mempunyai etika kerja yang wajib dipatuhi.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Pergigian 1971 di Parlimen pada Oktober ini, bagi mewujudkan bidang kepakaran dalam profesion pergigian.

Beliau berkata tujuan diwujudkan bidang kepakaran pergigian bertujuan untuk memantapkan lagi perkhidmatan kesihatan di negara ini dan menangani penyalahgunaan gelaran pakar pergigian.

"Dengan pindaan akta ini, doktor gigi yang mempunyai kepakaran bidang tertentu seperti rawatan mulut dan gusi serta pembedahan tulang di muka perlu berdaftar di bawah pihak kementerian," katanya. - Bernama

Read More...


‘Tahniah KJ, tahniah Pemuda Umno kerana berani’

8:13 AM No Comments

SAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno, dan barisan Exco Pemuda Umno atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.

Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden Umno yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan Umno, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda Umno dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).

Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

Mudah-mudahan ALLAH SWT menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.

Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden Umno, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.

Saya lakukan ini kerana saya sayangkan Umno. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam Umno sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.

Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.

Seorang Ketua Bahagian di Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada Umno cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam Umno lebih 40 tahun. Malah, ketika Umno diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula Umno di Johor sehingga Umno kembali kuat dan Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan Umno dan BN dalam setiap pilihan raya umum (PRU).

Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara.

Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada ALLAH saya berserah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Read More...


'Mayat' menjerit minta tolong

8:07 AM No Comments

LA ENTRADA - HONDURAS. Seorang remaja perempuan yang diisytiharkan meninggal dunia menjerit meminta pertolongan sehari selepas dikebumikan.

Neysi Perez, 16, dilaporkan meninggal dunia ketika bangun untuk ke tandas di luar rumahnya di La Entrada, barat Honduras.

Remaja yang mengandung tiga bulan itu, dipercayai pengsan selepas mengalami serangan panik selepas terdengar bunyi tembakan.

Dia kemudiannya dikebumikan dengan pakaian pengantin yang dipakainya ketika berkahwin baru-baru ini.

Bagaimanapun, sehari selepas pengembumian, suaminya, Rudy Gonzales pergi melawat kubur isterinya dan kemudian dia mendengar jeritan meminta tolong  dari dalam keranda tersebut.

Yakin bahawa suara jeritan tersebut adalah isterinya, dia bersama-sama ahli keluarga yang lain bertungkus lumus memecahkan binaan konkrit kubur bagi mengeluarkan mangsa.

Ahli keluarga yang mengeluarkan mangsa menjumpai kesan hentakan pada cermin kaca yang menutupi keranda dan tangan remaja tersebut juga didapati lebam.

Mangsa dibawa ke hospital berdekatan San Pedro Sula, namun pakar perubatan mengesahkan dia sudah meningal dunia dan kemudiannya dikebumikan semula di dalam kubur yang sama.

Sementara itu, memetik laporan Dailymail, salah seorang pekerja di tapak pengebumian itu, Jesus Villanueva berkata, dia pernah terdengar suara bising dari kubur berkenaan, namun tidak menyangka 'mayat' tersebut masih hidup.

Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger