KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan
di Pasir Gudang, Johor akan didakwa kerana membuat laporan palsu kononnya
diculik tiga individu tidak dikenali pada Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten
Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, pelajar wanita itu akan didakwa
mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum
penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan polis, pelajar itu
didapati mereka-reka cerita diculik ketika berada di hadapan rumah sewanya di
Pasir Gudang, setelah tertekan kerana gagal menyiapkan tugasan kursusnya.
"Menerusi siasatan lanjut malam tadi, kita dapati kenyataan pelajar
berusia 20 tahun itu bercanggah dan dia mengaku membuat laporan palsu.
"Pada mulanya pelajar itu berbuat demikian untuk menipu
rakannya dan tidak berniat memperbesar perkara itu namun sebaik tiba di Dungun,
dia memaklumkan kepada ibunya bahawa dia diculik sebelum disuruh membuat
laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam laporan polisnya di Balai Polis Daerah Dungun pagi
semalam, pelajar itu mendakwa dia diculik bersama tujuh lagi kanak-kanak.
Wan Aziz berkata, susulan laporan itu, polis menggerak semua unit dan melakukan Ops Tutup
dan Ops Kesan di Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, remaja itu telah diserahkan kepada keluarganya
dan akan didakwa dalam masa terdekat. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my