KOTA BHARU - Walaupun lebih 10 tahun berkhidmat bersama
Jabatan Amal (Unit Amal Pas), namun pengalaman bertugas pada hari pengebumian
jenazah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kenangan paling
berharga dan tidak akan dilupakan.
Nik Aziz Isa, 40, yang berasal dari Pasir Mas, antara yang
hadir membantu Jumaat lalu, walaupun terpaksa berdepan lautan manusia di
pekarangan kediaman bekas Menteri Besar Kelantan itu, begitu juga di tanah
perkuburan.
“Ia pengalaman paling bermakna. Hari ini (semalam) walaupun
tidak seramai Jumaat lalu, namun orang tidak pernah putus, datang dan pergi,
dari seluruh pelosok negara di tanah perkuburan ini,” katanya.
Nik Aziz hadir bertugas semalam dengan sukarela di bawah
Unit Amal Pas, mengawal kawasan tanah perkuburan di Pulau Melaka bagi
memastikan keadaan tidak sesak berikutan masih ramai yang datang mahu berdoa
dan membaca surah Yasin di pusara Allahyarham Nik Abdul Aziz.
“Ada yang datang selepas subuh lagi, solat di Masjid Pulau
Melaka dan datang ke sini (kubur). Saya jangkakan keadaan bertambah sesak bila
tiba musim cuti perayaan Tahun Baru Cina.
“Yang penting, Muslimin dan Muslimat mematuhi sunnah
memasuki tanah perkuburan ini, pastikan pakaian tidak menjolok mata dan
Muslimat juga perlu mematuhi kawasan larangan sebagaimana yang telah tertera di
tiang khemah” katanya.
Sejak semalam, tali panjang diikat antara tiang khemah yang
melindungi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz, selain satu papan tanda bertulis
'Perhatian, Wanita Dilarang Melepasi Tali Kuning' turut dilekatkan di tiang tersebut.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my