Friday, March 28, 2014

Pemuda PAS kutuk hukuman mati 529 aktivis Ikhwan Muslimin

6:29 PM No Comments

PETALING JAYA: Lajnah Antarabangsa Pemuda Pas Malaysia (LA PPM) mengutuk sekeras-kerasnya hukuman mati yang dilakukan terhadap Mursyidul Am Ikhwan Muslimin serta 528 aktivis oleh Mahkamah Tentera Mesir.

Menurut Pengerusi LA PPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss (gambar) lajnah itu  mengecam keputusan Mahkamah Jenayah pihak Tentera Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof Dr Mohd Badie, Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan, Dr Saadu Katatni yang juga bekas Speaker Mesir bersama 528 orang aktivis Ikhwan Muslimin yang lain.

Malah, LA PPM turut menganggap keputusan tersebut adalah kemuncak kezaliman Jeneral Abdul Fattah As Sisi setelah melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan rasmi Mesir, pimpinan Presiden Dr Mohamad Morsi.

“Dua tahun lalu, tragedi penyembelihan rakyat di Medan Rabiah telah mengorbankan lebih 3,000 orang para syuhada’,” katanya yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Tambahnya, sepatutnya keadilan harus ditonjolkan oleh mahkamah mesir, namun ia telah dicemari dengan keputusan yang berat sebelah dan tidak rasional.“Perkara tersebut amat mengecewakan,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ, dunia turut digemparkan ketika proses mahkamah baru sahaja bermula pada minggu lalu, barisan pembelaan telah di ancaman oleh pihak polis walaupun ketika prosiding sedang berjalan.

“Salah seorang peguambela tiba-tiba dimasukkan ke dalam senarai tertuduh dan dijatuhkan hukuman mati yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata, Rejim Abdul Fattah as Sisi telah membuktikan bahawa beliau sememangnya diktator kuku besi yang mewarisi kezaliman Firaun di bumi tersebut.

Malah, beliau juga berjaya membuktikan kesetiaan beliau terhadap rejim haram Israel dan menjadi boneka Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, LA PPM turut merasa kesal dengan kerajaan negara Islam-Arab kerana mendiamkan diri serta membiarkan kezaliman berlaku di depan mereka tanpa adanya bantahan serta kecaman antarabangsa.

“Arab Saudi, UAE, Kuwait, Jordan dan lain-lain negara turut bersekongkol dengan rejim kudeta Mesir serta mempunyai sentimen kebencian mendalam yang sama terhadap Ikhwan Muslimin,” jelasnya.

LA PPM turut yakin dengan menghukum mati pemimpin ikhwan Muslimin, ia tidak akan mematikan perjuangan rakyat mesir dalam menuntut keadilan. Malah, rakyat akan semakin bersemarak untuk berjihad menentang kezaliman Abdul Fattah.

“Mungkin, keputusan penghakiman ini menjadikan rejim kudeta As Sisi bakal menemui pengakhirannya,” katanya.

Selain, LA PPM turut mendesak kerajaan Malaysia untuk bersama-sama mengutuk keputusan mahkamah yang berat sebelah ini.

“Kerajaan seharusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Mesir, serta mendesak negara-negara OIC bertindak tegas ke atas Mesir,

“Kezaliman rejim As Sisi perlu dihentikan dengan tindakan tegas dan berani oleh pemimpin-pemimpin negara Islam,” Ujarnya.

Raja Ahmad turut menjelaskan apa yang berlaku ke atas Syeikh Dr Badi’ dan seluruh mangsa kezaliman sebenarnya mengulangi episod kesyahidan Syeikh Said Qutub yang  berakhir di tali gantung pada tahun 1960an.

“Ketika Syahidnya Said Qutb pada waktu itu, telah melahirkan ribuan lagi para ulama’ dan mujahid yang bangkit untuk membela umat Islam di bumi tersebut sehingga sekarang.

“InsyaAllah, kesyahidan beliau bakal melengkapkan perjuangan murni beliau memipin Ikhwan selama ini,” katanya.

Malahan, keihklasan beliau pastinya akan dibalas dengan ganjaran syahid di sisi Allah.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com
Read More...


Telan Garpu Untuk Tunjuk Kehebatan Diri Pada Rakan

6:21 PM No Comments

SEORANG lelaki warga Romania membuat pertaruhan pelik iaitu dengan menelan garpu besi sebagai usaha menarik perhatian rakannya.

Akibat aksi yang dianggap sebagai 'bodoh' oleh portal berita antarabangsa, lelaki terbabit, Radu Calincescu, 25, terpaksa dikejarkan ke hospital di Bandar Bacau, Romania kerana mengadu terasa tercucuk di dalam perut.

Ketika tiba di hospital, Calincescu telah memberitahu doktor bahawa dia terasa sakit seperti sesuatu benda tercucuk di dalam perut tanpa mendedahkan tindakannya yang menelan garpu.

Doktor yang membuat imbasan x kemudiannya terkejut apabila mendapati garpu berada di dalam usuS Calincescu.

Hasil desakan doktor, Calincescu kemudian mengaku, "Saya bertaruh dengan kawan  bahawa saya boleh menelan garpu tanpa sebarang kecederaan ke atas diri."

Calincescu kemudian diarahkan untuk pulang ke rumah tanpa sebarang pembedahan kerana doktor perlu menunggu jika garpu itu boleh keluar dengan sendiri bersama najisnya.

"Saya perlu berehat dalam beberapa hari dan menunggu jika garpu itu boleh keluar semula, tetapi saya takut jika ia menikam usus saya.
"Sekarang baru saya sedar telah melakukan satu aksi dan pertaruhan yang bodoh kerana ia mendatangkan masalah kepada diri sendiri," luahnya.

Sumber : http://www.mstar.com.my


Read More...


Mesir: PBB Bantah Hukuman Mati Ke Atas 529 Pengikut Presiden Morsi

6:18 PM No Comments

GENEVA: Tindakan hukuman mati ke atas 529 pengikut bekas presiden, Mohamed Morsi adalah melanggar prinsip keadilan sejagat demikian bantahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Selasa.

"Tidak pernah ada dalam sejarah hukuman mati secara besar-besaran dan beramai-ramai ini dilakukan dalam era moden hari ini.

"Ia adalah bertentangan dengan prosedur dan undang-undang hak asasi kemanusiaan sejagat," kata Rupert Coville, jurucakap kepada pesuruhjaya tinggi PBB mengenai hak asasi kemanusiaan.

Sumber : http://www.mstar.com.my
Read More...


Kematian pengajaran jadi umat maju

6:01 PM No Comments

Saban hari kita disogokkan dengan berita kematian yang berlaku daripada pelbagai sebab. Antaranya melalui proses penuaan, sakit dan kemalangan.

Kematian akibat kemalangan khasnya adalah kejadian kehilangan mengejut yang banyak meninggalkan kesan secara tiba-tiba kepada waris khasnya dan masyarakat amnya.

Ia sebenarnya memberi keinsafan kepada kita apatah lagi yang membabitkan waris dan rakan taulan terdekat.

Bagaimanapun, keinsafan ini akan berkurangan apabila berita kematian menjadi semakin lama berlaku. Dengan kemalangan yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, sekali lagi kita dikejutkan dengan berita kematian.
Dari segi syarak kematian berlaku apabila roh berpisah daripada jasad. Kematian adalah fenomena yang wujud dan tidak boleh dielakkan. Ini termaktub dalam maksud firman Allah SWT menerusi ayat berikut:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha perkasa lagi Maha Pengampun. (Surah al-Mulk, ayat 2)

Kematian pasti berlaku

Kematian adalah sesuatu yang tidak diketahui manusia bila akan berlaku. Dari perspektif syariat Islam ia sudah ditetapkan Allah SWT dan berada dalam ilmu-Nya.

Firman Allah dalam Surah al-Araaf, ayat 34 yang mafhumnya: Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya, mereka tidak dapat mengundurkan barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya.

Sebagai umat Islam kita percaya selepas kematian ada alam barzakh dan akhirnya akan dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak.

Segala kerja kita di muka bumi ini ketika hidup menjadi perkiraan mengikut syariat Islam. Usaha baik akan mendapat kebaikan dan sebaliknya mendapat balasan sewajarnya.

Maka, sudah semestinya masyarakat boleh mengambil pengajaran kematian sebagai asas untuk mewujudkan kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Ia akan membawa masyarakat moden Muslim kepada wawasan mencari kebaikan di atas muka bumi. Kebaikan dan kemajuan yang dilakukan ketika hidup sama ada dalam kemajuan sosial, ekonomi, akhlak sebenarnya dapat dipertingkat apabila sedar akhirnya ia diberi ganjaran pada kemudian hari.

Bekalan selepas kematian

Ia sebagai bekalan kehidupan sesudah kematian. Sebagai contoh, dalam urusan mencari pendapatan, seorang Muslim tentu akan berusaha mencari pendapatan yang halal.

Kerja yang dilakukan perlu jujur dan amanah terhadap diri dan majikan. Kos sara hidup yang tinggi pada masa kini akan menjadikan mereka lebih berdaya saing mencari pendapatan yang lebih dan bijak menguruskan kewangan dan simpanan.

Dalam aspek hubungan sosial, masyarakat boleh mewujudkan perhubungan yang saling berkasih sayang dan tolong menolong. Seterusnya mereka dapat mengelakkan daripada hasad dengki, perbalahan, permusuhan dan pelbagai perkara negatif lain yang boleh merosakkan masyarakat.

Apabila wujud elemen positif dalam kalangan ahli masyarakat, maka kadar gejala sosial seperti pembuangan bayi, sumbang mahram, jenayah boleh berkurangan.

Kesedaran individu dan masyarakat dalam memberi bantuan untuk membasmikan gejala seumpama ini dapat menjadikan masyarakat bebas daripada perkara negatif.

Begitu juga, jika kita lihat dalam aspek kemalangan jalan raya. Nahas boleh dikurangkan jika wujud kesedaran dan tanggungjawab dalam segenap aspek.

Contohnya, pemandu sedar pemanduan kenderaan yang berbahaya adalah satu kesalahan. Bukan saja di sisi undang-undang sivil, bahkan juga salah daripada undang-undang syarak.

Dengan penuh kesedaran mereka lebih mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan lebih bertimbang rasa, memandu dalam keadaan yang cergas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dan mendapat kemahiran tinggi dalam pemanduan.

Dari segi akhlak, umat Islam yang berfikir mengenai balasan di akhirat, pasti berhati-hati dengan tawaran yang menyalahi syarak. Contohnya, dalam isu rasuah, mereka saja menjauhi perbuatan berkenaan bahkan mengelak daripada menawarkan rasuah kepada orang lain.

Pertingkat amalan

Ini secara positifnya dapat mempertingkatkan amalan integrasi dalam kehidupan masyarakat termasuk urusan di sektor kerajaan dan sektor swasta.

Mengambil kematian sebagai satu pengajaran berterusan adalah satu perkara yang digalakkan Islam.

Dengan kesedaran bahawa mati itu adalah pasti dan segala amalan, setiap kerja yang manusia lakukan di bumi sepanjang hidup akan dipertanggungjawabkan, maka umat Islam dapat maju dalam segala aspek kehidupan.

Urusan kehidupan akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab sehingga dapat menghasilkan kemajuan dan kebajikan. Dengan itu, marilah kita jadikan kematian sebagai satu pengajaran dengan penuh keinsafan.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Skim MyHome dilancar 1 April

5:43 PM No Comments

Putrajaya: Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata skim MyHome itu membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembinaan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Skim ini menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit kepada pembeli rumah dan pemaju swasta yang antara lain diwujudkan kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya pada Majlis Pelancaran MyHome di sini, semalam.

Skim MyHome diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu.

Belian rumah pertama

Beliau berkata, antara syarat ditetapkan untuk melayakkan pembeli membeli rumah berkenaan adalah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pembelian rumah pertama dan permohonan satu unit rumah kepada setiap isi rumah.

Ia juga terbahagi kepada empat kategori kelayakan pendapatan isi rumah iaitu bagi MyHome1 dan MyHome1 Sabah dan Sarawak adalah RM3,000 hingga RM4,000 manakala MyHome2 dan MyHome2 Sabah dan Sarawak RM4,001 hingga RM6,000.
Pemilihan pemaju yang layak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek Skim MyHome di kementerian.

"Antara syaratnya termasuk syarikat yang sah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia, setiap pemaju dihadkan untuk menerima insentif tidak melebihi 1,000 unit dalam satu projek serta keutamaan diberikan kepada pemaju perumahan swasta," katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan dan berminat boleh membuat permohonan atas talian di http://ehome.kpkt.gov.my, muat turun borang di laman web Jabatan Perumahan Negara (JPN) iaitu http://ehome.kpkt.gov.my, mengambil borang di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan pemilikan rumah di bawah skim ini mencapai golongan sasaran, kerajaan menetapkan syarat tempoh moratorium kepada pembeli selama 10 tahun dan tempoh itu dikira apabila surat perjanjian jual beli ditandatangani, katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misi

5:38 PM No Comments

Kabus tebal, angin kencang dan ombak ganas di selatan Lautan Hindi tengah hari semalam, menyebabkan semua 11 pesawat peninjau pelbagai negara yang menyertai gerakan mencari MH370 diarah berpatah balik.

Pihak berkuasa Australia mengeluarkan arahan itu berikutan keadaan cuaca di lokasi pencarian semakin buruk dan boleh membahayakan anggota pasukan yang menyertai operasi berkenaan, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth, lokasi sama penerbangan MH370 dikatakan terjunam.

Bagaimanapun, lima kapal laut yang turut menyertai operasi itu masih meneruskan gerakan mencari membabitkan kawasan seluas 78,000 kilometer persegi.

Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya memaklumkan, semua pesawat itu yang berlepas pada sebelah pagi, diarah kembali ke pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, dekat sini, berikutan keadaan kabus tebal, hujan ribut dan hampir tiada jarak penglihatan.

Tak temui sebarang objek

Bagaimanapun, semua pesawat dan kapal berkenaan yang dihantar ke lokasi itu selepas satelit Perancis mengesan 122 imej dipercayai milik MH370, tidak menemui sebarang objek.

Sumber : http://www.bharian.com.my
Read More...


Tangisan Jumaat

5:26 PM No Comments

Assalamulalaikum dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah berjumpa lagi kita di hari Jumaat penghulu segala hari iaitu Hari yang penuh keberkatan. Tergerak hati untuk menulis "Tangisan Jumaat" kerana ketika khatib membaca Surah Al-fatihah, air mata tiba-tiba mengalir, mungkin kerana terlalu banyak dosa yang saya lakukan, Surah Al-fatihah itu membuatkan saya terfikir bagaimana untuk saya merentasi titian 'siratul mustaqim'. Ya allah, ampunilah dosa hambamu ini, berikanlah petunjuk dan hidayah supaya tidak terus tersesat di dalam kancah dunia yang penuh dengan dugaan. 

Air mata ini menitis lagi ketika Imam membaca doa keselamatan untuk palestin, gaza dan sebagainya. Ya allah selamatkan mereka, ampunilah dosa-dosa seluruh umat islam berikanlah kami kekuatan. Ketika ini juga terdetik memikirkan nasib Pesawat MH370 Semoga mereka selamat dan berada dalam keaadan baik. Amin. Begitu juga kepada Hukuman mati kepada 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin, semoga keajaiban berlaku, semoga mereka semua selamat dari ujian mu ini Ya allah. Amin.

Akhir kalam, Semoga hari ini lebih baik dari semalam untuk kita terus memperbaiki diri kita ke arah lebih baik , ke arah Jalan yang di redhai dan di berkati Allah S.w.t. Doa saya semoga kita semua terus di beri nikmat kesihatan dan  kesenangan oleh Allah S.w.t. Makburkanlah Doa Kami Ini Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. Assalamualaikum. 
Read More...


'Turn back': Abd Rahim akui kenyataan tidak tepat

4:59 PM No Comments

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abd Rahim Bakri mengakui, kenyataan beliau yang mengatakan MH370 berpatah balik (turn back) berkemungkinan setelah menerima arahan dari pusat kawalan adalah tidak tepat.

 “Saya ingin menjelaskan bahawa ia hanya merupakan andaian saya semata-mata serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

 “Selepas membuat semakan, saya ingin tegaskan bahawa andaian saya adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, ketika perbahasan di Parlimen Abd Rahim berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) tidak mengambil tindakan terhadap MH370 yang membuat  turn back ketika melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka ia arahan daripada menara kawalan udara (ATC), Subang.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan daripada Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) yang mempersoalkan tindakan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud memaklumkan ada berlaku ‘turn back' sehari selepas kehilangan MH370.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Pas yakin MH370 dirampas

11:05 AM No Comments

YAN - Pas yakin bahawa MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dirampas oleh individu tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanda-tanda mengenai rampasan itu sudah ada.

“Kerajaan mesti mengesahkan bahawa MH370 telah dirampas, cuma kita belum tahu siapa yang lakukan perkara itu.

“Tanda-tanda terjadi itu ada sebab dia pesawat itu dibawa ke tempat yang sukar dan tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ijtimak Ulama Pas Kedah di Markas Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya semua penumpang dan anak kapal MH370 selamat.

“Saya doakan mudah-mudahan ada harapan untuk mereka selamat dan takziah kepada keluarga penumpang.

“Takziah bukan bermaksud kematian saja, tetapi bencana yang menimpa ahli keluarga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Mohd Zawawi Saleh mengharapkan supaya ahli keluarga mangsa tabah dan kuatkan semangat.

“Sekiranya ditakdirkan penumpang pesawat MH370 mati, kita harap ALLAH SWT mengampunkan dosa-dosa mereka.

“Dalam situasi ini juga, penumpang-penumpang dan anak kapal itu dikira sebagai syahid akhirat,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Derita isteri seorang VIP

11:00 AM No Comments

AYER KEROH - Menjadi isteri orang kenamaan atau VIP tidak menjanjikan kebahagiaan. Itu dihadapi seorang wanita di sini apabila kini berdepan trauma selepas didera secara mental oleh lelaki yang dikahwini sejak 14 tahun lalu.

Malah, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 37, turut memberitahu, dia sering dimaki hamun oleh suaminya yang berstatus Datuk  berusia 63 tahun itu.

Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan hampir 10 tahun dan merasakan hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman, sekali gus menuntut agar suami menceraikannya secara baik menerusi proses mahkamah.

Lisa berkata, suaminya sering melontarkan kata-kata kesat terhadapnya serta sanggup mengatakan dirinya sebagai 'perempuan sial', 'bodoh' dan pernah mengugut untuk menghantarnya ke hospital mental gara-gara dirinya cuba membunuh diri.

“Saya tidak tahan lagi dan pernah suatu hari dia menggunting rambut saya secara paksa hanya kerana marah saya berkawan dengan orang luar kerana kebetulan saya memang aktif berpuisi di radio.

“Dia juga turut menyekat saya untuk berhubung dengan keluarga termasuk ibu bapa saya sendiri, malah pernah menghalau saya dari rumah.

"Paling tidak tahan, dia pernah mencabul pembantu rumah saya,” katanya yang mengadukan masalah itu di Pejabat Pembela BN Melaka, dekat sini, semalam.

Lisa berkata, hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima anak berusia dari 14 hingga tujuh tahun.

“Saya kesal berkahwin dengannya sebab dia tidak meletakkan kedudukan seorang isteri di tempat yang betul dan sekarang saya serta anak-anak sudah enam bulan tidak tinggal bersamanya.

“Setakat ini sudah 29 kali saya menuntut cerai dengannya dan masuk kali ini barulah saya memfailkan tuntutan fasakh,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Guaman Pembela BN, Mohd Adly Ithnin berkata, di dalam kes terbabit, masing-masing tidak lagi boleh meneruskan perkahwinan dan membuatkan penangguhan tuntutan berkaitan seperti tuntutan harta serta nafkah anak-anak.

“Kes ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya si suami bersetuju perkara berkaitan harta diselesaikan dengan mahkamah yang lain, bukannya di dalam bab fasakh.

“Isu menjadi rumit sebab pihak suami cuba memasukkan semua perkara ke dalam satu,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Bogel selepas kantoi

10:56 AM No Comments

SELAYANG - Seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila tiba-tiba menanggalkan pakaiannya dan berbogel selepas kantoi cuba pecah kenderaan di Selayang Baru, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek pada mulanya cuba masuk ke dalam sebuah kereta yang tidak berkunci untuk mencuri radio.

Menurut sumber, tindakan suspek berusia lewat 20-an itu bagaimanapun disedari orang awam dan juga pemilik kenderaan yang berada berhampiran kawasan tersebut.

“Pemilik meninggalkan keretanya sekejap untuk ke kedai, dan apabila kembali, dia terlihat kelibat seseorang dalam kenderaannya.

“Selepas dikepung orang awam, suspek secara tiba-tiba menanggalkan pakaian dan hanya memakai semula selepas seorang kenalannya menyuruhnya berbuat demikian,” beritahu sumber kepada Sinar Harian, semalam.

Kata sumber itu lagi, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 511 kanun keseksaan kerana cuba melakukan jenayah.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger