[SOALAN]
SAYA mohon identiti saya dirahsiakan umum kerana saya tidak
mahu mengaibkan sesiapa dalam masalah rumah tangga saya ini. Perkongsian ini
sekadar untuk meleraikan segala kekusutan di hati yang kian sarat seakan tidak
tertanggung lagi.
Saya dan suami telah berkahwin selama dua tahun dan
dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel dan sempurna sifatnya.
Kami berdua terpaksa hidup berjauhan dan tinggal berasingan
kerana tuntutan kerja sejak berkahwin. Saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan
manakala suami bekerja sendiri dengan menguruskan perniagaannya.
Pada awal perkahwinan suami tidak pernah berungut untuk
tiap-tiap minggu balik berjumpa dengan saya. Selepas empat bulan bernikah saya
disahkan hamil, lalu bermulalah episod hitam dalam hidup saya.
Sepanjang mengandung dan menjaga diri sendiri di fikiran
saya suami di sana mencari rezeki untuk kebahagiaan saya dan anak yang bakal
lahir nanti. Itu hanyalah kata-kata manis untuk saya memujuk diri dan hati yang
derita.
Suami berubah sikap dari seorang yang mengambil berat dan
selalu menghubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, kini semakin sepi.
Sejak kebelakangan itu dia lupa akan kehadiran saya dalam
hidupnya, hinggakan pada suatu hari saya menghantar sms pun dia tidak balas.
Kadang-kadang jam 3 pagi saya bangun dari tidur saya akan belek telefon bimbit
melihat kalau-kalau ada mesej dan panggilan daripada suami.
ALLAH itu maha adil dan pada suatu hari suami tertinggal
telefon bimbit di rumah dan pada masa yang sama ada sms daripada seseorang. Tanpa
berfikir panjang saya membaca sms tersebut. Hancur luluh hati saya membaca SMS
berbunyi “SEHARIAN U TAK CALL, SMS I, MCM I NI TAK WUJUD DLM HIDUP U”.
Pada malam tersebut saya menangis. Perempuan mengandung
sangat sensitif dan perlukan kasih sayang seorang suami. Selepas peristiwa
tersebut suami terus membuat kata kunci telefon bimbit dengan alasan tidak mahu
saya tahu apa-apa mengenai dia. Saya benar-benar kecewa.
Sewaktu kandungan saya sembilan bulan, saya didatangi
perempuan tersebut yang mengakui telah menjalin hubungan dengan suami malah
hubungan mereka sudah lebih dari suami isteri.
Menggeletar tubuh yang sarat mengandung ini. Suami saya juga
telah pun mengaku dengan alasan kami berjauhan.
Kenapa dia tak beritahu dari awal? Bukankah hubungan kami
boleh diselamatkan tanpa perlu dia berlaku curang?
Pada saya, ini hanya alasan suami membenarkan kesalahan yang dia buat. Saya
amat kecewa dengan perbuatannya. Saya bersalin seorang diri di hospital. Saya
sedih dengan pengorbanan yang tidak dihargai.
Saya tidak minta pengorbanan saya dibayar cukuplah sekadar
menghargai. Sering kali saya meminta penceraian daripada suami tetapi bila
memandangkan wajah anak kecil, saya jadi kasihan kepadanya yang membesar tanpa
seorang bapa. Suami saya pernah berkata tidak akan menceraikan saya selagi saya
tidak serahkan anak kepadanya.
Suami sekarang sedang teruskan hubungan dengan janda
tersebut manakala saya terlontar sepi seorang diri menjadi ibu dan ayah kepada
anak tunggal kami. Saya telah ke pejabat agama mendapatkan nasihat dengan
membawa segala bukti-bukti. Alhamdulillah hati sedikit tenang.
Malah saya juga bercadang untuk berpindah tempat kerja agar
dapat duduk sebumbung dengan suami.
Tetapi, soalannya adakah suami akan berubah hati? Dan
kembali kepada saya dan anak?
Bagaimana saya mahu menambat hatinya semula sedang hati saya
sakit? Saya masih sayangkan suami dan rumah tangga ini dan selalu berdoa suami
kembali ke pangkal jalan. - Su, Johor.
Apa Kata Pakar oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, Motivator
Cari kekuatan diri, tawan suami
Memang benar, apabila berjauhan kebanyakan suami akan
‘terlupa’, apatah lagi jika ia digoda. Dalam kes ini, meskipun suami anda
bersalah, janda yang menggoda suami anda itu lebih bersalah. Perbuatan dia
menyerahkan diri telah menyebabkan suami anda lebih terlena.
Mungkin juga dia tidak tahu lelaki yang dikenalinya pada
masa itu adalah suami orang dan bakal bergelar ayah. Membina sebab ‘luar kotak’
membantu anda positifkan minda, memanglah hati sakit tetapi kita kena cari
sebanyak-banyak sebab untuk memujuk hati kita sendiri bukan?
Saat begini siapalah yang akan kisahkan diri kita?
Kalau kita bercerita pada orang pun belum tentu orang itu
bersimpati kepada kita, apalagi hendak memberikan pertolongan.
Memujuk hati sendiri dengan mempositifkan minda ini sangat
baik untuk kesan kesihatan yang berpanjangan, sebab apabila mental sakit, ia
mengakibatkan spiritual turut sakit, akhirnya melarat kepada fizikal turut
mendapat kesannya.
Silalah berpindah tempat kerja supaya keadaan dapat
dipulihkan sebelum melarat menjadi lebih kronik.
Andainya suami mampu sememangnya anda tidak perlu bekerja
pun. Bukankah tugas mencari rezeki adalah kewajipan suami? Islam tidak melarang
wanita bekerja tetapi andainya disebabkan bekerja itulah timbul macam-macam
masalah, ia bukanlah bijak lagi.
Jika anda tanya bolehkah suami berubah hati, tiada siapa
yang dapat menjawabnya secara tepat kecuali diri suami itu sendiri serta ALLAH
yang Maha Mengetahui, namun sebagai insan yang mahukan yang terbaik dalam
hidup, ia adalah salah satu usaha yang paling utama untuk diberikan perhatian.
Mengikut pengalaman saya menangani kes-kes seperti ini,
seseorang suami yang sudah terkalih itu boleh ditawan semula melalui;
-Kembali hidup sebumbung. Maklumlah orang yang sudah
terkalih tentulah yang dekat lebih diingatinya berbanding yang jauh walaupun
yang jauh itu nyata lebih baik dan lebih cantik. Ini bermakna keputusan anda
mengasingkan diri hidup berdua bersama anak adalah silap kerana tanggungjawab
membesarkan anak bukan sepenuhnya tertanggung ke atas bahu anda sahaja, suami
anda turut bertanggungjawab.
-Bertekadlah memberikan layanan A1. Mengapa agaknya dia terpikat kepada janda
berkenaan, tentunya sebab janda itu dilihatnya lebih menarik. Seorang janda
tentu sudah hilang seri pada wajah dan bentuk badan, tetapi kelakuan yang
manja-manja juga adalah antara sebab-sebabnya mengapa seseorang itu tunduk.
Bagaimana anda hendak bermanja-manja jika berjauhan?
- Memang boleh menghantar SMS atau Whatapps suara, tapi
tentu tidak sama dengan berdepan sahaja.
-Hubungan seksual yang luar biasa mestilah dipersembahkan
dalam setiap proses-proses ‘keintiman’. Seorang suami bukan hanya terpikat oleh
apa yang sedia ada pada isterinya, juga bakat-bakat terpendam yang boleh
menyebabkannya tersenyum dan riang serta sering teringat-ingat. Saya harap anda
faham apa yang saya maksudkan.
-Anak adalah pengikat kasih, jika tinggal satu rumah keletah
anak akan membuatkan hati terhibur lantas kasih sayang suami isteri dapat
diterapkan.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my