BAYAN LEPAS - Segelintir penduduk di sini gempar apabila
tersebarnya dua keping gambar mengenai kejadian penemuan pocong di
tengah-tengah Jambatan kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Shah.
Pengguna laman sosial, Rahimi Ishak berkata, gambar berkenaan
tersebar sejak beberapa hari lalu dan menjadi buah mulut penduduk setempat.
Menurutnya, melalui gambar berkenaan dengan jelas
menampakkan seolah-olah terdapat imej yang berbungkus putih dan terbang tinggi.
“Kemudian ia berada di atas jambatan pada gambar kedua,
kejadian dikatakan berlaku di tengah-tengah jambatan pada waktu malam.
“Saya sendiri yang mendapat gambar berkenaan memang
terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi pengguna jambatan, Mohd Ali Mohd Noor berkata, dia pada
mulanya terkejut melihat gambar berkenaan dan cuba bertanya kepada rakannya
yang juga kerap menggunakan jambatan.
“Mereka kata ini perkara biasa, kalau dia nak muncul kita
mana boleh halang, yang penting kita kena buat biasa saja.
“Lagipun ini bukan pertama kali berlaku cerita jumpa
macam-macam makhluk halus atas jambatan, ia adalah biasa,” katanya.
Sementara itu bagi Zulkifli Zainal berkata, pengalamannya
diganggu pada waktu malam ketika menunggang motosikal di atas jambatan pertama
Pulau Pinang membuatkannya berwaspada.
“Bukan apa, kadang-kadang ada yang terlalu terkejut sehingga
boleh sebabkan kemalangan, kalau yang tak kuat semangat, lebih baik elakkan.
“Saya pernah tunggang motosikal pada tengah malam di atas
jambatan, setibanya di tengah-tengah, motor saya berat dan saya terpaksa
menunggang lebih kuat dan laju, tetapi tiba-tiba ia menjadi ringan dan saya
seolah-olah dalam keadaan tercampak ke depan, nasib baik saya boleh kawal
motor.
“Kalau saya silap, bimbang kemalangan saja, apa pun kita
kena tawakal kepada ALLAH SWT,” katanya.
Bagi pengamal perubatan Islam, Izzwandy Mamat, kejadian
penemuan pocong di tengah jambatan adalah perkara biasa.
“Laut memang tempat tinggalnya dan mereka akan buat pelbagai
rupa di kawasan mereka tinggal.
“Tidak dinafikan laut juga menjadi tempat kepada tukang
perubatan membuang benda yang tidak baik, jadi ia bukan mustahil,” katanya
kepada Sinar Harian.
Sama seperti manusia, makhluk halus berkenaan juga memenuhi
setiap pelosok tempat.
“Malah jin boleh menyerupai pelbagai bentuk tidak kiralah
pocong, atau hantu raya ataupun toyol,” katanya.
Beliau menegaskan, bagaimanapun rupa bentuknya, perkara
tersebut hanya berlaku dengan izin ALLAH SWT.
“ALLAH mahu menguji sejauh mana keimanan kita, sama ada
takut pada makhluk atau pada-NYA.
“Ia juga sebagai tanda supaya kejadian sebegini akan
mendekatkan kita lebih kepada ALLAH,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my