Tuesday, April 22, 2014

Murid tahun empat tercucuk besi di pipi

9:28 AM No Comments

KOTA KINABALU - Seorang murid lelaki tahun empat cedera apabila pipi kanannya ditembusi sebatang besi sedalam lima inci ketika sedang bermain di luar pekarangan sebuah sekolah di sini.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang menunggu bas di kawasan parkir selepas tamat waktu persekolahan, terpijak besi penghadang longkang sepanjang semeter yang tercabut mengakibatkan murid berkenaan mengimbangi badan dan terjatuh.
  
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata pihaknya menerima laporan pada 12.51 tengah hari dan lapan anggota Balai Bomba Kota Kinabalu dikerah ke tempat kejadian.
  
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Nordin Fauzi berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
  
Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip pula berkata Jabatan Pendidikan Negeri akan mengarahkan pihak pengurusan semua sekolah memeriksa dan memperbaiki kawasan yang boleh membahayakan pelajar.

"Pihak sekolah telah diminta oleh Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya tentang aspek keselamatan pelajar sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.  

Jame turut melawat mangsa di hospital, yang kini dalam keadaan stabil dan menemui ibu bapa murid berkenaan. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Selekoh Jalan Kulim Junjung berhantu?

9:24 AM No Comments

KULIM - Pengguna jalan raya di antara Kulim ke Junjung meminta supaya pihak terlibat melebarkan beberapa selekoh berbahaya di kawasan itu bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Pekerja industri, Mohd Nizam Ariffin berkata, kebanyakan mereka yang terlibat dalam kemalangan terdiri dari penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, masalah semakin serius terutama pada waktu malam dan keadaan hujan.

“Apa yang pasti, selekoh tajam yang ada di kawasan ini harus diperlebar. Memang banyak kemalangan maut berlaku di sekitar selekoh jalan Kulim Junjung ini,” katanya.

Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Hadzir Abdullah berkata, sebelum ini memang ada perancangan untuk melebarkan setiap selekoh di Jalan Kulim Junjung bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana ia melibatkan tanah individu.

Menurutnya, apabila ini berlaku, kerajaan negeri atau kerajaan pusat terpaksa membeli tanah terlibat bagi tujuan melebarkan jalan.

Beliau berkata, ini bukan sahaja memakan kos yang tinggi sebaliknya mengakibatkan pengguna jalan memandu lebih laju kerana jalan lurus.

“Saya mencadangkan supaya pengguna mematuhi papan tanda yang dipasang di sekitar kawasan itu. Tanda amaran juga diletakkan untuk mengingatkan mereka supaya berhati-hati.

"Sekiranya pengguna jalan lebih peka terhadap masalah ini, saya percaya kemalangan maut dapat dikurangkan,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Rumahtangga retak: Adam akan beri penjelasan?

9:22 AM No Comments

NAMA Adam dan Fiza kembali menjadi perhatian selepas bekas ahli anggota Elite itu dikatakan memfailkan penceraian di mahkamah syariah di Shah Alam minggu lalu.

Khabar itu tentu sekali mengejutkan ramai selepas Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, menerusi kenyataan kepada beberapa portal hiburan minggu lalu memberitahu dia dan isterinya tidak bergaduh dan meminta agar semua mendoakan yang terbaik untuk rumah tangga mereka.

Ditebak sekali lagi mengenai perihal rumah tangganya, Adam berkata kepada Zass, : "Maaf saya tidak mahu komen mengenai hal peribadi. Tunggu saja masa dan ketikanya nanti, pasti akan mengetahuinya," jelas Adam yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 33, dan Adam mengejutkan peminat dan industri seni apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga September tahun lalu.

Pernikahan itu berlangsung  dalam majlis serba sederhana di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam selepas dua bulan berkenalan.

Bagaimanapun sebulan selepas itu, hal rumah tangga mereka menjadi perhatian apabila pasangan ini dikatakan bergaduh besar di stesen minyak dipercayai akibat perasaan cemburu Adam selepas Fiza terjumpa dengan bekas teman lelakinya.

Namun, Adam yang dihubungi selepas itu menjelaskan hubungan mereka masih dalam keadaan baik. Bagaimanapun beberapa bulan kemudian, sekali lagi perkahwinan Adam dan Fiza jadi bahan perhatian selepas Fiza dilihat memadam gambar-gambar suaminya di Instagram.

Luahan hati Fiza

Bagaimanapun usaha Zass untuk mendapatkan penjelasan daripada Fiza gagal apabila pelakon dan penyanyi itu tidak menjawab panggilan dan WhatsApp yang dihantar kepadanya.

Namun, Fiza menerusi akaun Instagram miliknya seolah-olah meluahkan perasaan mengenai apa yang dirasai ketika ini.

"Salam semua. Maaf andai saya ada berbuat silap atau terkasar bahasa. Saya benar-benar berharap agar semua di luar sana memahami perasaan saya sekarang ini. Janganlah ditanya bermacam-macam jenis soalan. Saya ini cuma wanita biasa yang ke kadang lemah dan tak mampu untuk menanggung beban.

"Tapi saya tahu dan pasti semua ini ketentuan dari pada ALLAH. Siapa yang mahu untuk jadi begini? Kalau disoal pada sesiapa pun,  tak mungkin seseorang itu mahu menjalani kehidupan seperti saya. Hormatilah apa jua keputusan saya. Saya hanya merancang, tapi ALLAH lebih mengetahui segala-galanya.

"Saya cuma perlukan sokongan daripada anda semua untuk saya terus kuat dan maju ke depan. Apa yang terjadi dan bakal berlaku biarlah jadi rahsia antara saya dan ALLAH. Tak perlu untuk saya berkongsi ke semua cerita peribadi saya kepada umum.

"Harap semua dapat memahami ya. Doakan yang terbaik untuk kami. ALLAH adalah tempat saya berbicara dan mengadu, bukan dengan sesiapa pun. Kita sebagai makhluk ALLAH dan hambanya cuma perlu menadah tangan dan berdoa meminta pertolongan dari-Nya. Amin.”

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger