ISLAMABAD -PAKISTAN. Seorang bayi lelaki berumur sembilan
bulan di Pakistan didakwa oleh mahkamah atas kesalahan merancang pembunuhan,
mengugut polis dan mencampuri urusan hal ehwal kerajaan.
Muhammad Musa Khan adalah salah seorang daripada lebih 30
individu berhadapan pertuduhan sama selepas satu serbuan menyasarkan pencuri
gas dilakukan pihak berkuasa di bandar Lahore.
Bayi tersebut yang berada di pangkuan bapanya dilihat
memegang botol susunya dan merengek sepanjang prosiding perbicaraan itu
berlangsung.
Memetik laporan AP, mahkamah membenarkan Musa diikat jamin
dan kes terbabit ditangguhkan sehingga 12 April ini.
Akhbar tempatan melaporkan, bapa bayi tersebut turut
menafikan dakwaan mereka bertindak ganas dengan membaling batu ke arah pihak
berkuasa sebaliknya, penduduk hanya mengadakan protes membantah kekurangan
bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kes yang
menarik perhatian antarabangsa itu juga mendapat perhatian Ketua Menteri
Punjab, Muhammad Shahbaz Sharif apabila bertindak menuntut penjelasan penuh
berhubung dakwaan tidak munasabah itu.
Susulan daripada itu, Sub Inspektor Kashif Ahmed dilaporkan
digantung tugas kerana mendaftarkan kes terhadap bayi terbabit.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my