Friday, May 23, 2014

Elak juntaian buluh

7:34 PM No Comments

REMBAU – Gara-gara mengelak juntaian pokok buluh di tepi jalan, seorang pelajar Kolej Vokasional Dato Lela Maharaja maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Sepri-Rembau, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Shahrul Nizam Md Zin, 16, yang merupakan anak sulung, maut serta merta di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badannya.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Sepri menuju ke Rembau dipercayai ingin mengelak juntaian pokok buluh, namun masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua MyVi.

“Mangsa terjatuh di atas jalan, sementara motosikalnya terseret selepas bertembung dengan kereta terbabit.

"Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Faez Shah Datuk Zukarnain Shah, 22, berkata, ketika kejadian hujan terlalu lebat dan dia memandu di belakang kereta Perodua MyVi yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya terkejut apabila kereta itu tiba-tiba terbabas ke kiri jalan, dan dalam masa yang sama terlihat ada sekujur tubuh terbaring di atas jalan.

“Saya segera memberhentikan kereta dan membantu memeriksa nadi mangsa, namun gagal sebelum mendapatkan bantuan," katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


16 tahun hidup sekadar minum air

7:30 PM No Comments

KULAIJAYA – “Duit simpanan dah habis, tapi sakit dihidapi sejak 16 tahun lalu masih belum pulih,” kata seorang pesakit misteri, Ali Hanafi Yusof, 44.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM900 sebulan berkata, tidak mampu menanggung kos perubatan dan keperluannya, ditambah masih perlu menampung perbelanjaan tiga anak masih bersekolah.

“Saya ada minta bantuan pihak berkenaan untuk dapatkan tanggung kos rawatan, namun tiada respons,” katanya semalam.

Kisah duka, Ali Hanafi ini bermula sebaik menjalani pembedahan tiroid di tekak pada 2005, namun punca sebenar penyakit dialaminya itu belum dapat dikenal pasti hingga kini.

“Saya sangka lepas pembedahan, sakit hilang, tapi sekarang saya tak dapat telan makanan.

“Saya hanya boleh minum air yang ditapis, kalau tak, saya senang tersedak dan sesak nafas,” katanya.

Ali Hanafi berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia sering mengalami masalah pernafasan secara tiba-tiba hingga mengganggu rutin kerja dan menyebabkan dia beberapa kali dibuang kerja.

“Sebelum kerja di sini, macam-macam kerja saya buat termasuk juruteknik, pemandu dan pembantu kedai, namun tak lama kerana selalu cuti sakit.

“Badan cepat letih, mungkin sebab kurang zat, tapi saya bersyukur majikan di sini memahami keadaan saya. Cuma ada masa saya tidak dapat elaun penuh kerana kerap cuti sakit,” katanya.

Katanya, bagi menambah sumber pendapatannya dia turut melakukan kerja sampingan pada waktu malam untuk mengumpul kos rawatan dan menampung keperluan keluarga.

“Sebelum ini saya pernah cuba makanan tambahan yang dijual dalam bentuk jus dan dapat membantu mengurangkan masalah pernafasan, tapi saya tak mampu teruskan kerana mahal,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang prihatin terhadap nasibnya boleh menghubunginya di talian 012-7877031 untuk menghulurkan bantuan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Dyana: 'Umno tak sesuai dengan jiwa saya' | Dyana Sofya Mohd Daud

7:27 PM No Comments

TELUK INTAN - "Saya bukan tidak pernah untuk mendekati Umno, tetapi apabila saya sertai program mereka, acap kali tarikan parti tersebut tidak sampai kepada saya," demikian respon calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud ketika ditanya tentang Umno.

Dyana berkata, sejak di zaman universiti lagi beliau aktif menyertai program yang dianjurkan oleh Umno di universiti.

"Saya sering berkongsi-kongsi idea bersama rakan-rakan ketika menyertai program yang Umno jalankan.

"Namun saya rasa Umno tidak sesuai dengan jiwa saya," katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian di Pusat Operasi Utama DAP, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika disoal mengenai bagaimana beliau boleh tertarik untuk menyertai DAP, gadis manis ini berkata, program minum petang bersama pemimpin parti itu membuatkan beliau jatuh hati kepada parti berkenaan.

"Saya mula mengenali DAP secara dekat sejak pertemuan dengan setpol Penasihat DAP Lim Kit Siang yang ketika itu YB Zairil Khir Johari.

"Sejak itu, saya sering bertukar-tukar pandangan dengan pemimpinnya. Bermula dari pertemuan itu, saya semakin dekat dengan DAP sehinggalah sekarang," katanya.

Nama Dyana turut dikaitkan dengan parti terbesar itu berikutan beliau lahir dalam keluarga yang menyokong Umno sejak sekian lama.

Ibu Dyana, Yammy Samat sebelum ini menjawab kekecewaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila calon DAP Teluk Intan merupakan keluarga menyokong perjuangan parti berkenaan dengan berkata," saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz tapi bila besar, dia jadi Marina".

PRK Teluk Intan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dyana dengan Datuk Mah Siew Keong dari Barisan Nasional.

Pada PRU13, Mah tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya itu 1 Mei lalu akibat kanser.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


TNB didenda RM 100,000 kerana hina mahkamah

7:08 PM No Comments

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman denda RM100,000 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan turut memberi amaran keras kepada juruukur yang diupah TNB, Ahmad Rustami Ramley, yang juga didapati bersalah bagi kesalahan sama.

Gunalan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Thomas Philip, yang mewakili Pengarah Syarikat Lenang Development Zaharey Jusoh; peguam Steven Thiru, Gurmel Singh serta Gregory Das bagi pihak TNB manakala Ahmad Rustami diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Leong Phaik Leng.

Beliau turut mengarahkan TNB membayar denda itu dalam tempoh 14 hari.

Pada 10 April lepas, Gunalan memutuskan TNB serta Ahmad Rustami bersalah kerana menyembunyikan bahan bukti semasa perbicaraan kes saman berhubung isu tanah setinggan yang difail Bukit Lenang Development dan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

Saman itu difail Zaharey Jusoh pada 2003 ke atas 300 penduduk setinggan yang didakwa menceroboh serta mendirikan penempatan di tanah milik syarikat berkenaan di Kampung Plentong di sini.

Syarikat itu turut menyaman TNB, Telekom Malaysia Bhd dan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd kerana menceroboh tanah berkenaan serta memberi kemudahan asas kepada penduduk setinggan.

Telekom dan SAJ telahpun menyelesaikan kes itu di luar mahkamah namun TNB, menerusi Ahmad Rustami, menafikan ia mendirikan tiang elektrik di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, plaintif mengemukakan salinan laporan kerja ukur lengkap yang dilakukan Ahmad Rustami untuk TNB, yang diperlukan bagi mendirikan tiang terbabit, kepada mahkamah.

Terdahulu, Philip meminta mahkamah mengenakan denda RM4 juta ke atas TNB sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain selain hukuman setimpal ke atas Ahmad Rustami.

Thiru, Gurmel Singh dan Gregory Das pula merayu mahkamah mengenakan denda RM10,000 ke atas TNB manakala Gopal dan Leong meminta Gunalan sekadar memberi amaran kepada Ahmad Rustami. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my
Read More...


Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger