HUTAN MELINTANG - PERAK. Seorang jururawat bercadang
memfailkan saman terhadap sebuah hospital yang didakwanya melakukan satu
prosedur rawatan tanpa mendapatkan persetujuan ahli keluarganya hingga dia
terpaksa melakukan pembedahan kali kedua dalam tempoh 48 jam selepas melahirkan
bayinya.
Dalam kejadian Februari lalu, Noralisa Mohd Malid, 29,
mendakwa, tiub fallopio sebelah kirinya diikat oleh doktor pakar yang
menjalankan pembedahan caesarean ke atasnya ketika dia melahirkan anak
ketiganya di hospital itu.
Difahamkan, tindakan itu dibuat kerana terdapat lekatan pada
dinding pelviknya berikutan saluran tiub mangsa cedera ketika pembedahan
dilakukan.
Noralisa berkata, dia hanya mengetahui keadaannya sehari selepas pembedahan apabila
mendapati pembalut luka di abdomennya basah dan berdarah.
“Ketika doktor buat pemeriksaan, saya sempat tanya sama ada
berlaku komplikasi semasa pembedahan dijalankan.
“Doktor itu kata, mereka telah mengikat tiub fallopio
sebelah kiri saya kerana ada lekatan pada dinding pelvik.
"Doktor cuba untuk menanggalkannya namun secara tidak
sengaja saluran tiub itu tercedera dan menyebabkan pendarahan tidak berhenti
hingga mereka terpaksa ikat tiub itu bagi menyelamatkan nyawa saya,” katanya
ketika ditemui rumahnya di Kampung Parit 13, semalam.
Noralisa berkata, apa dikesalkannya ialah doktor yang
memberitahu perkara itu kepadanya tidak langsung menunjukkan rasa kesal walhal
ia adalah satu perkara besar buat dirinya memandangkan tiub fallopio kirinya
kini tidak berfungsi.
Katanya, selepas pembedahan, dia berasakan perutnya semakin
sakit dan kain dipakainya turut
ditembusi darah daripada pembalut luka pembedahan.
“Saya terpaksa tunggu agak lama untuk doktor datang buat
pemeriksaan dan saya menggigil menahan kesakitan di perut.
“Apabila doktor datang dan periksa luka, dia jerit dan
mengatakan usus perut saya terkeluar menerusi luka pembedahan. Saya juga
melihatnya," katanya.
Noralisa berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan kali
kedua dalam tempoh tidak sampai 48 jam oleh doktor pakar lain dan masalah
tersebut didakwa berpunca daripada kecuaian doktor yang membedahnya sebelum
ini.
Katanya, dia kini trauma dan kesal dengan apa yang terjadi
serta telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my