Saban hari kita disogokkan dengan berita kematian yang
berlaku daripada pelbagai sebab. Antaranya melalui proses penuaan, sakit dan
kemalangan.
Kematian akibat kemalangan khasnya adalah kejadian
kehilangan mengejut yang banyak meninggalkan kesan secara tiba-tiba kepada
waris khasnya dan masyarakat amnya.
Ia sebenarnya memberi keinsafan kepada kita apatah lagi yang
membabitkan waris dan rakan taulan terdekat.
Bagaimanapun, keinsafan ini akan berkurangan apabila berita
kematian menjadi semakin lama berlaku. Dengan kemalangan yang menimpa pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, sekali lagi kita dikejutkan
dengan berita kematian.
Dari segi syarak kematian berlaku apabila roh berpisah
daripada jasad. Kematian adalah fenomena yang wujud dan tidak boleh dielakkan.
Ini termaktub dalam maksud firman Allah SWT menerusi ayat berikut:
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu,
siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha perkasa lagi Maha
Pengampun. (Surah al-Mulk, ayat 2)
Kematian pasti berlaku
Kematian adalah sesuatu yang tidak diketahui manusia bila
akan berlaku. Dari perspektif syariat Islam ia sudah ditetapkan Allah SWT dan
berada dalam ilmu-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Araaf, ayat 34 yang mafhumnya:
Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya, mereka
tidak dapat mengundurkan barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya.
Sebagai umat Islam kita percaya selepas kematian ada alam
barzakh dan akhirnya akan dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak.
Segala kerja kita di muka bumi ini ketika hidup menjadi
perkiraan mengikut syariat Islam. Usaha baik akan mendapat kebaikan dan
sebaliknya mendapat balasan sewajarnya.
Maka, sudah semestinya masyarakat boleh mengambil pengajaran
kematian sebagai asas untuk mewujudkan kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan
mereka.
Ia akan membawa masyarakat moden Muslim kepada wawasan
mencari kebaikan di atas muka bumi. Kebaikan dan kemajuan yang dilakukan ketika
hidup sama ada dalam kemajuan sosial, ekonomi, akhlak sebenarnya dapat
dipertingkat apabila sedar akhirnya ia diberi ganjaran pada kemudian hari.
Bekalan selepas kematian
Ia sebagai bekalan kehidupan sesudah kematian. Sebagai contoh,
dalam urusan mencari pendapatan, seorang Muslim tentu akan berusaha mencari
pendapatan yang halal.
Kerja yang dilakukan perlu jujur dan amanah terhadap diri
dan majikan. Kos sara hidup yang tinggi pada masa kini akan menjadikan mereka
lebih berdaya saing mencari pendapatan yang lebih dan bijak menguruskan
kewangan dan simpanan.
Dalam aspek hubungan sosial, masyarakat boleh mewujudkan
perhubungan yang saling berkasih sayang dan tolong menolong. Seterusnya mereka
dapat mengelakkan daripada hasad dengki, perbalahan, permusuhan dan pelbagai
perkara negatif lain yang boleh merosakkan masyarakat.
Apabila wujud elemen positif dalam kalangan ahli masyarakat,
maka kadar gejala sosial seperti pembuangan bayi, sumbang mahram, jenayah boleh
berkurangan.
Kesedaran individu dan masyarakat dalam memberi bantuan
untuk membasmikan gejala seumpama ini dapat menjadikan masyarakat bebas
daripada perkara negatif.
Begitu juga, jika kita lihat dalam aspek kemalangan jalan
raya. Nahas boleh dikurangkan jika wujud kesedaran dan tanggungjawab dalam
segenap aspek.
Contohnya, pemandu sedar pemanduan kenderaan yang berbahaya
adalah satu kesalahan. Bukan saja di sisi undang-undang sivil, bahkan juga
salah daripada undang-undang syarak.
Dengan penuh kesedaran mereka lebih mematuhi peraturan jalan
raya, memandu dengan lebih bertimbang rasa, memandu dalam keadaan yang cergas,
memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dan mendapat
kemahiran tinggi dalam pemanduan.
Dari segi akhlak, umat Islam yang berfikir mengenai balasan
di akhirat, pasti berhati-hati dengan tawaran yang menyalahi syarak. Contohnya,
dalam isu rasuah, mereka saja menjauhi perbuatan berkenaan bahkan mengelak
daripada menawarkan rasuah kepada orang lain.
Pertingkat amalan
Ini secara positifnya dapat mempertingkatkan amalan
integrasi dalam kehidupan masyarakat termasuk urusan di sektor kerajaan dan
sektor swasta.
Mengambil kematian sebagai satu pengajaran berterusan adalah
satu perkara yang digalakkan Islam.
Dengan kesedaran bahawa mati itu adalah pasti dan segala
amalan, setiap kerja yang manusia lakukan di bumi sepanjang hidup akan
dipertanggungjawabkan, maka umat Islam dapat maju dalam segala aspek kehidupan.
Urusan kehidupan akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab
sehingga dapat menghasilkan kemajuan dan kebajikan. Dengan itu, marilah kita
jadikan kematian sebagai satu pengajaran dengan penuh keinsafan.
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment