AYER KEROH - Menjadi isteri orang kenamaan atau VIP tidak
menjanjikan kebahagiaan. Itu dihadapi seorang wanita di sini apabila kini
berdepan trauma selepas didera secara mental oleh lelaki yang dikahwini sejak
14 tahun lalu.
Malah, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 37,
turut memberitahu, dia sering dimaki hamun oleh suaminya yang berstatus
Datuk berusia 63 tahun itu.
Menurutnya, keadaan itu sudah berlarutan hampir 10 tahun dan
merasakan hubungan mereka sudah tiada lagi persefahaman, sekali gus menuntut
agar suami menceraikannya secara baik menerusi proses mahkamah.
Lisa berkata, suaminya sering melontarkan kata-kata kesat
terhadapnya serta sanggup mengatakan dirinya sebagai 'perempuan sial', 'bodoh'
dan pernah mengugut untuk menghantarnya ke hospital mental gara-gara dirinya
cuba membunuh diri.
“Saya tidak tahan lagi dan pernah suatu hari dia menggunting
rambut saya secara paksa hanya kerana marah saya berkawan dengan orang luar
kerana kebetulan saya memang aktif berpuisi di radio.
“Dia juga turut menyekat saya untuk berhubung dengan
keluarga termasuk ibu bapa saya sendiri, malah pernah menghalau saya dari
rumah.
"Paling tidak tahan, dia pernah mencabul pembantu rumah
saya,” katanya yang mengadukan masalah itu di Pejabat Pembela BN Melaka, dekat
sini, semalam.
Lisa berkata, hasil perkahwinan, mereka dikurniakan lima
anak berusia dari 14 hingga tujuh tahun.
“Saya kesal berkahwin dengannya sebab dia tidak meletakkan
kedudukan seorang isteri di tempat yang betul dan sekarang saya serta anak-anak
sudah enam bulan tidak tinggal bersamanya.
“Setakat ini sudah 29 kali saya menuntut cerai dengannya dan
masuk kali ini barulah saya memfailkan tuntutan fasakh,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Guaman Pembela BN, Mohd Adly Ithnin
berkata, di dalam kes terbabit, masing-masing tidak lagi boleh meneruskan perkahwinan
dan membuatkan penangguhan tuntutan berkaitan seperti tuntutan harta serta
nafkah anak-anak.
“Kes ini boleh diselesaikan secara baik sekiranya si suami
bersetuju perkara berkaitan harta diselesaikan dengan mahkamah yang lain,
bukannya di dalam bab fasakh.
“Isu menjadi rumit sebab pihak suami cuba memasukkan semua
perkara ke dalam satu,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my
0 comments:
Post a Comment