Paris: Jika anda cuba untuk mengambil gambar hidangan makan
malam anda di restoran mewah Perancis selepas ini, jangan terkejut jika seorang
chef menyerbu keluar dari dapur dengan marah.
Bosan dengan sikap sesetengah pengunjung yang merakamkan
gambar melalui telefon pintar mereka untuk dimuatkan dalam rangkaian sosial,
beberapa restoran pilihan Michelin Perancis ini cuba untuk menghalang apa yang
disifatkan mereka sebagai ‘porno makanan’.
Penulis blog makanan dan beberapa chef bagaimanapun
mempertahankan gambar terbabit sebagai publisiti percuma tetapi bagi kebanyakan
chef mereka menyifatkan perkongsian itu sebagai ‘melampau.’
Rehat untuk pelanggan
“Ada sesuatu tempat dan masa untuk semuanya,” kata Alexandre
Gauthier, chef di La Grenouillere di bandar utara La Madelaine-sous-Montreuil.
“Kami cuba memberikan pelanggan kami rehat seketika dalam
hidup mereka. Untuk itu, anda perlu menutup telefon bimbit anda,” katanya.
Sebaik mengenakan larangan mengambil gambar di restorannya
secara rasmi, Gauthier meletakkan imej kamera dengan tanda palang pada menu
beliau.
“Orang ramai kini tidak mahu berenggang dengan telefon,”
katanya. “Sebelum ini mereka mengambil gambar keluarga, nenek tetapi kini
gambar makanan pula,” katanya.
“Ia tidak mengapa, tetapi kami adalah sebuah restoran yang
tidak menggunakan lampu terang, jadi mereka terpaksa menggunakan ‘flash’.
Setiap hidangan akan ‘menghentikan segala-galanya’ atau gambar diambil semula
hingga tiga kali.
“Ia kemudian dihantar ke Twitter, komen dibuat dan dibalas
tetapi akhirnya hidangan menjadi sejuk.”
Gilles Goujon, chef di L’Auberge du Vieux Puits yang
dianugerahkan tiga bintang di bandar selatan Fontjoncouse berkata beliau
semakin kecewa dengan kelemahan etika di kalangan jurugambar makanan amatur
ini.
Katanya gambar makanan terbabit ‘menghilangkan kejutan’
sesetengah hidangan beliau dan ‘merampas sedikit harta intelektual’ beliau.
Itu belum termasuk gambar yang diambil daripada telefon yang
‘tidak terlalu pintar’ yang hasilnya jarang sekali baik.
“Ia tidak memberikan imej terbaik kerja kami. Malah
menjengkelkan,” katanya.
“Sukar untuk melarang sebenarnya. Saya cuba mencari cara
terbaik untuk mengatakannya melalui menu tetapi belum menemui formula terbaik
untuk membuatkan orang ramai tidak marah,” kata Goujan.
AFP
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment