AMPANG: Penduduk sekitar Sering Ukay dekat Ampang cemas
selepas belukar seluas kira-kira empat hektar di Jalan SU 2B tiba-tiba
terbakar, malam tadi.
Bagaimanapun kejadian sekitar jam 9 malam itu tidak
membabitkan rumah berdekatan kerana pasukan bomba dan penyelamat sempat
mengawal kebakaran.
Seorang penduduk, Hazri Hanafi, 32, berkata, ketika kejadian
dia berada di luar rumah dan terlihat api menjulang tinggi di kawasan bukit
yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
"Saya lihat api marak dengan begitu besar dan ketika
itu sudah ada beberapa anggota bomba bersiap sedia untuk operasi memadam,"
katanya ketika di temui di lokasi kejadian malam tadi.
Menurutnya pada mulanya situasi agak mencemaskan kerana
rumah paling dekat terletak hanya 50 meter dari lokasi kebakaran namun pihak
bomba berjaya mengawal api dari merebak.
Timbalan Penolong Pengarah Bomba (Operasi) Selangor, Sani
Harul berkata, kebakaran di tanah seluas empat hektar itu berjaya dikawal
dengan kecekapan pihak bomba.
Katanya, seramai 20 pegawai serta anggota daripada tiga
balai dikejarkan dalam operasi itu iaitu Balai Pandan, Balai Ampang dan Balai
Wangsa Maju.
"Bomba tiba di lokasi pada jam 9.51 malam selepas
menerima panggilan dan api berjaya dikawal.
"Tiada mangsa atau kehilangan nyawa berlaku,"
katanya.
Difahamkan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh sejam.
Sumber : http://www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment