Shah Alam: “Tolong jangan sita kereta ayah saya encik. Kalau
kereta ini disita susah keluarga saya untuk bergerak lagipun esok saya mahu
gunakan kereta ini untuk mengangkut barang balik ke asrama,” demikian alasan
diberi penuntut perempuan yang ditahan kerana didapati memandu tanpa lesen
dalam Operasi Trafik yang dijalankan di Dataran Kemerdekaan, di sini, awal pagi
semalam.
Penuntut berusia 23 tahun dan masih menuntut di sebuah
institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu turut menunjukkan reaksi kurang senang
tatkala diajukan beberapa soalan oleh anggota polis.
Namun, rayuan itu tidak dapat ‘memujuk’ anggota berkenaan
dan penuntut terbabit disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shan berkata, seramai
enam pegawai bersama 26 anggota dari cawangan Trafik dan Narkotik IPD Shah Alam
dengan bantuan 39 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
terbabit dalam operasi itu.
“Sepanjang operasi yang dijalankan bermula jam 12 malam
hingga 6 pagi itu, sebanyak 400 kenderaan diperiksa dan polis turut menyita 40
kereta dan empat motosikal kerana diubah suai tanpa mengikut spesifikasi
ditetapkan.
“Dalam pada itu, sebanyak 117 saman dikeluarkan ke atas
pengguna jalan raya yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk
nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan
tidak memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.
Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis menahan
seorang lelaki selepas ujian air kencing dilakukan mendapati dia berada di
bawah pengaruh dadah.
Katanya, penunggang berusia 24 tahun itu bagaimanapun
dibebaskan selepas keterangannya diambil pihak berkuasa.
0 comments:
Post a Comment