Thursday, April 17, 2014

'Benda itu memang ada'

7:44 AM No Comments

MELAKA  - Menggunakan perkhidmatan bot laju, jeti Pengkalan umbai Pernu kami tinggalkan.

Sekitar 20 minit, kaki sudah dapat menjejak Pulau Nangka. Pulau yang kini kembali menjadi sebutan.

Di Pulau ini, sesiapa saja tidak kira orang awam, wartawan atau jurugambar, tidak dibenarkan mengambil gambar  atas arahan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Kami hanya dibenarkan merakam pemandangan pulau di bahagian luar sahaja.

Pulau Nangka digazetkan sebagi hak milik Perbadanan Muzium Melaka sejak 1997.

Di persisiran pantai, bertemu beberapa petugas dipercayai kakitangan syarikat kontraktor dilantik Perzim untuk menjalankan kerja-kerja pencarian bukti mengenai wujudnya harta karun di pulau ini.

Kami dihalang memasuki kawasan lebih jauh dengan alasan tidak dibenarkan serta memberi amaran kawasan berkenaan amat merbahaya.

Selain bentuk muka bumi yang curam di bahagian belakang, pulau berkenaan dikatakan juga banyak dihuni makhluk halus dan keras.

Hampa kerana hasrat untuk meneroka Pulau Nangka tidak kesampaian, kami kemudian pulang semula ke tanah besar.

Di tanah besar, kami terus mendapatkan syarikat yang terlibat melakukan kerja-kerja penyelidikan di Pulau Nangka.

Dakwaan adanya harta karun bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, disahkan dengan bukti bergambar yang diperoleh syarikat itu.

Gambar-gambar tersebut merupakan artifak lama dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

Menurut Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit.

Katanya, batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

“Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ.

“Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Jelas Mohammad Foad, syarikatnya dipertanggungjawabkan untuk mencari bukti bergambar serta menjalankan kajian di Pulau Nangka selama tiga bulan dan akan berakhir sehingga penghujung April ini.

“Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

“Saya tidak dapat pastikan berapa banyak barangan yang terdapat di dalamnya namun menerusi kajian geoteknikal serta imbasan imej bumi, mendapati memang wujud artifak berkenaan.

“Cuma sekarang ini halangannya struktur batuan yang amat keras dan perlu dipecahkan terlebih dahulu,” katanya.

Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya.

“Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger