Wednesday, February 26, 2014

Saksi: Muka mayat lelaki berulat

8:40 PM 2 comments

SHAH ALAM - Seorang saksi perbicaraan kes bunuh pensyarah bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena, 23, dan bapanya berkata, dia melihat mayat seorang lelaki di atas tilam sebuah katil sudah berulat pada bahagian mukanya.

Sarjan SK Amathi, dari Balai Polis Kinrara, Puchong menyatakan, mayat lelaki yang berbau hanyir itu dijumpai di bilik pertama yang diperiksanya manakala mayat seorang wanita ditemui di atas lantai bersama cecair berwarna merah yang kering di dalam bilik kedua di rumah sama.

Menurut saksi itu, mayat perempuan berkenaan yang juga berbau hanyir itu tidak dapat dilihat sepenuhnya kerana mayat itu menghalang pintu yang menyebabkan pintu gagal dibuka sepenuhnya.

Menurutnya lagi, keadaan rumah dan bilik-bilik itu tidak kemas dan bilik yang mengandungi mayat perempuan berselerak dengan timbunan barang-barang.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin yang mewakili pihak pendakwaan.

Saksi pendakwaan keenam itu memberikan keterangan terhadap empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh , 21; Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56.

Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di  Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara jam 1.30 pagi dan jam 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menurut Amathi lagi, mayat lelaki tersebut berbaju kemeja-T dan seluar jeans manakala mayat wanita itu berkemeja-T dan wajahnya pula menghadap ke atas dan keadaan mayat sudah mereput dan busuk.

Ditanya mengenai lampu kedua-dua bilik itu, saksi menyatakan kedua-dua lampu bilik sedia terpasang ketika dia menjalankan pemeriksaan itu sekitar jam 9.40 malam pada 11 Mac 2012.

Selepas itu, menurut Amathi, dia menghubungi Ketua Polis Daerah Puchong dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Puchong, seterusnya mendapat arahan supaya menunggu sehingga pegawai penyiasat datang ke tempat kejadian pada jam 11 malam hari yang sama bersama pasukan forensik.

Ketika disoal balas oleh peguam, Rusli Zain yang mewakili tertuduh ketiga iaitu Azizi Aizat atau Boy, sama ada saksi melihat ada kereta di dalam kawasan rumah itu, Amathi menyatakan, tidak nampak sebarang kereta di situ.

Disoal sama ada saksi itu menemui jiran mangsa, saksi menyatakan ada pergi ke rumah No 26 bersebelahan rumah mangsa dan seorang wanita memberitahu sudah beberapa hari tidak nampak kelibat Zara Eleena dan Omar Peter.

Sementara itu, saksi pendakwaan ketujuh, Farah Dayana Sulaiman, 26, yang menetap di taman perumahan yang sama menyatakan, dia kenal Zala Eleena, Omar Peter dan ibu Zara Eleena, Normaliah Mahmood sebagai jiran kepada ibu angkatnya yang tinggal di rumah No 26.

Menurut Farah Dayana, dia mengenali Zara Eleena tetapi tidak pernah bertegur dan mereka cuma berbalas senyuman sahaja apabila ternampak antara satu sama lain.

"Kali terakhir saya nampak Zara Eleena sekitar jam 11 atau 12 malam, tarikh tidak ingat, waktu itu saya bersama anak ibu angkat saya, Ernina dan seorang kawan bernama Aryati daripada IOI Mall pulang ke rumah ibu angkat untuk menghantar roti.

"Saya tunggu di dalam kereta yang saya letakkan di hadapan rumah ibu angkat saya dan juga berhadapan kereta Perodua Kenari merah milik Zara Eleena yang turut diletakkan di situ,'' ujarnya.

Menurut saksi itu lagi, ketika Ernani masuk ke rumah menghantar roti, dia melihat Zara Eleena keluar dari rumahnya, menghampiri tempat pemandu kereta Kenarinya dan kemudian ada seorang lelaki keluar dari tempat duduk penumpang hadapan dan bertukar tempat duduk dengan Zara Eleena.

Lelaki berkenaan kemudian dicamkan oleh saksi itu sebagai tertuduh pertama kes ini, Mohamad Zul Shahril Suhaimi atau Shah.

Menurut Farah Dayana, kereta Kenari itu kemudian bergerak melalui keretanya dan dia nampak terdapat seorang lagi lelaki duduk di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.

Ditanya lagi oleh Aidatul Azura sama ada itu kali pertama dia melihat Shah, saksi itu berkata dia pernah nampak Shah bersama kawannya lebih kurang tiga kali di depan rumah Zara Eleena pada waktu siang tetap tidak dapat mengecam kawan Shah itu.

Ketika disoal balas oleh peguam Abdul Halim Mohd Husin yang mewakili Mohamad Sharafe atau Mat Rof, bagaimana dia dapat melihat dengan jelas Zara Eleena dan Shah pada malam itu, saksi itu berkata terdapat dua lampu jalan di hadapan rumah Zara Eleena dan keadaan tidak gelap.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my


2 comments:

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger