Sabak Bernam: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun maut
digilis sebuah kereta dipandu jirannya dalam kejadian di sebuah taman perumahan
di Sekinchan, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, pemandu berusia 59 tahun
berkenaan dikatakan baru keluar dari rumahnya sebelum memberhentikan seketika
keretanya kerana mahu mencari sesuatu dari dalam kereta itu.
Namun, sebaik menemui apa yang dicari, lelaki itu meneruskan
perjalanan sebelum tersedar seperti terlanggar sesuatu lalu keluar dari
kenderaan untuk memeriksa.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar
Mohamad berkata, sebelum kejadian, lelaki berkenaan dikatakan sedang mencari
dokumen tertentu dan sejurus menemuinya, dia terus memandu, namun terkejut
apabila terdengar dentuman sebelum kenderaannya bergoyang seolah-olah
terlanggar sesuatu.
“Sejurus keluar memeriksa keadaan kereta, dia terkejut
apabila mendapati seorang kanak-kanak terbaring berlumuran darah di hadapan
kenderaan dan kejadian turut disaksikan seorang jirannya yang segera
mendapatkan ahli keluarga mangsa.
“Sejurus dimaklumkan, ahli keluarga mangsa segera membawanya
mendapatkan rawatan di Hospital Tanjung Karang, namun dia disahkan meninggal
dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Mangsa, Pua Yen An, 8, dipercayai mati dalam perjalanan ke
hospital dan mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga.
Harian Metro difahamkan, laporan mengenai kejadian itu
dibuat bapa mangsa yang berusia 37 tahun itu kira-kira jam 10 malam di Balai
Polis Sabak Bernam dan polis sudah menahan pemandu kenderaan terbabit sebelum
keterangannya diambil untuk membantu siasatan.
Sehubungan itu, Noor Mushar menasihatkan orang ramai agar
memandu secara lebih berhati-hati bagi mengelak berlaku kemalangan yang boleh
membawa kerosakan harta-benda atau kematian.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/
0 comments:
Post a Comment