Tuesday, February 18, 2014

Keith Foo Tidak mahu besar kepala

10:07 AM No Comments

LAKONAN yang ditampilkan oleh Keith Foo dalam drama bersiri Ariana Rose yang baru sahaja berakhir pada minggu lalu telah memberikan impak tersendiri buat dirinya di kala usaha gigihnya mencipta nama di negara kelahiran sendiri.

Buktinya, ketika berlangsungnya acara siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kehadiran Keith menjadi tumpuan ramai sehingga pergerakannya terpaksa dikawal ketat.

Melihat kepada perjalanan seni pelakon yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu, bukan mudah buat dirinya menempa nama sebagai anak seni di negara kelahiran sendiri setelah satu tahun merantau ke Hong Kong dan lapan tahun merantau di Indonesia pada usia seawal 20-an.

Mengambil keputusan kembali bermastautin di Malaysia sejak dua tahun lalu, baru kali ini kehadirannya dalam industri hiburan tempatan semakin mendapat tempat lantaran wataknya sebagai Tengku Adam Kamil menerusi drama tersebut diminati penonton.

Dalam suasana cukup sesak dikelilingi orang ramai yang hadir pada acara tersebut, pelakon itu masih mampu memberikan kerjasama apabila diminta untuk ditemu bual oleh wartawan.

"Tidak sangka pula sambutan penonton terhadap drama Ariana Rose sangat menggalakkan. Sudah tentu ia cukup menggembirakan diri saya sepanjang bergelar pelakon di negara sendiri.

"Bukan mudah untuk memegang watak tersebut pada peringkat awal sehingga membuatkan saya cukup tertekan, tetapi apabila mengetahui tentang sambutan yang diterima pastinya ia sangat berbaloi," luah pelakon berdarah kacukan Cina (bapa) dan India (ibu) itu.

Memandangkan namanya yang kini semakin menjadi sebutan sehingga berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon lelaki popular lain, Keith menegaskan ia sesekali tidak akan membuatnya cepat lupa diri.

Sedar tentang populariti yang dikecapinya itu merupakan hasil sokongan peminat yang mula menerima kehadirannya sehingga namanya meniti di bibir peminat, ia akan dijadikan pembakar semangat untuk mengembangkan lagi karier lakonannya.

"Tiada perubahan ketara dalam kehidupan saya ketika mula-mula kembali ke Malaysia dahulu dan sekarang ini.

"Bezanya, kini saya sudah mula didekati peminat yang ingin bergambar dan ia satu pencapaian yang sangat menggembirakan dan menjadi bukti kehadiran saya diterima ramai.

"Sokongan peminat merupakan faktor paling utama terhadap kejayaan seseorang artis. Kalau saya bersikap besar kepala dengan peminat, pastinya diri saya tidak akan dikenali ramai seperti sekarang," tegasnya.

Menyambung cerita tentang populariti, Keith turut diminta pandangannya apabila ada dakwaan yang mengatakan keputusannya untuk kembali ke negara kelahirannya disebabkan namanya yang semakin tenggelam di Indonesia.

Tidak terkejut dengan dakwaan tentang popularitinya yang dikatakan semakin merudum di Indonesia, anak bongsu daripada empat beradik itu menjelaskan faktor utama dia pulang ke Malaysia kerana ingin dekat bersama ahli keluarganya.

"Pada usia yang sudah mencecah 31 tahun sekarang ini, sudah tiba masanya saya berdekatan dengan ahli keluarga setelah meninggalkan mereka dalam tempoh yang cukup lama.

"Kalau dikatakan saya sudah tidak laku lagi di Indonesia, sepanjang kepulangan saya masih banyak lagi tawaran lakonan yang diterima daripada penerbit dan pengarah di sana.

"Namun begitu, keutamaan saya kini lebih bertumpu di Malaysia sahaja," ujarnya.

Masalah pertuturan

Biarpun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia sehingga meningkat usia remaja, pelakon kacak yang semakin digilai peminat wanita itu pernah berhadapan dengan masalah pertuturan ketika mula-mula berlakon dengan produksi tempatan.

Berada di negara seberang dalam tempoh yang cukup lama sehingga sudah terbiasa berbahasa Indonesia dikatakan sebagai punca utama, akui Keith, dia mengambil masa untuk membiasakan diri.

"Ketika berlakon dalam drama bersiri Love You Mr. Arrogant tahun lalu, pertuturan saya dalam bahasa Indonesia masih lagi terlalu pekat. Ia serba sedikit memberi tekanan kerana ia mengganggu tumpuan saya sewaktu berlakon.

"Bagi mengatasi masalah tersebut saya memaksa diri sendiri untuk bercakap bahasa Melayu dengan betul dengan bantuan rakan-rakan pelakon lain.

"Akhirnya, masalah tersebut telah dapat diatasi dan itu merupakan antara cabaran paling sukar," ujarnya yang kini semakin fasih berbahasa Melayu.

Meluahkan rasa gembiranya apabila tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah, Keith mendedahkan, dia akan tampil di layar perak pula dan bakal membintangi sebuah filem yang masih belum boleh diumumkan judulnya lagi buat masa ini.

Kontroversi

Di sebalik populariti yang dikecapinya apabila menjadi teraju utama drama bersiri Ariana Rose, timbul pula kontroversi kerana terdapat babak dia bersolat dan membaca al-Quran sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Sudah dapat menjangkakan persoalan tersebut akan diajukan kepadanya, ujar Keith, apabila memegang watak sebagai seorang lelaki Muslim dalam sesebuah drama, ia sebenarnya memberi kelebihan buat dirinya untuk mengenali agama Islam secara lebih dekat.

"Mungkin ramai yang tidak tahu salah seorang kakak saya merupakan seorang mualaf dan sudah lama menganut agama Islam.

"Saya selalu bertanya tentang amalan yang dilakukan kepadanya sebagai seorang Muslim.

"Apabila saya diberi peluang menjadi muslim dalam sebuah drama pula, ia membuka peluang buat diri saya mendapat lebih banyak informasi tentang Islam," jelasnya.

Menurut Keith, dia juga tidak berasa terlalu janggal memegang watak lelaki Muslim memandangkan dia sudah pernah diberi peranan sedemikian ketika berlakon dalam beberapa buah sinetron di Indonesia dahulu.

"Biasanya, sebelum memulakan lakonan saya akan bertanya kepada individu yang arif terlebih dahulu supaya tiada sebarang kesilapan yang berlaku sehingga memberi gambaran yang salah kepada penonton," ujarnya.

Sumber : http://www.kosmo.com.my





0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger