Pelakon filem ‘Sembunyi’, Diana Danielle menceritakan
pengalamannya dalam merakamkan tiga buah lagu untuk filem terbarunya yang
berjudul ‘Kami Histeria’. Filem terbitan Red Films, Marna Films dan Astro Shaw
ini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Februari
lalu.
“Menyanyi dan merakamkan lagu untuk filem ini merupakan satu
pengalaman yang berbeza buat saya. Jika sebelum ini saya pernah menyanyi untuk
filem ‘Magika’ bersama Mawi, untuk filem ‘Kami Histeria’, saya dikehendaki
untuk menyanyikan tiga buah lagu iaitu ‘Muzik’, ‘Pujaan Hatiku’ dan ‘Kami
Histeria’. Pada mulanya, agak perit bagi saya melalui pengalaman ini. Lagu
‘Muzik’ dan ‘Pujaan Hatiku’ agak senang dirakamkan kerana rentaknya yang
berirama pop rock.
Namun begitu, untuk lagu ‘Kami Histeria’, saya mengalami
sedikit kepayahan kerana ianya betul-betul berentak rock. Pencipta lagu
tersebut, Loque menyuruh saya fokus pada lontaran suara agar ianya memberikan
kesan rock. Awalnya saya rasa malu dan kekok, namun Loque suruh saya
membayangkan yang saya adalah seorang ‘rock star’. Jadi saya memang betul-betul
‘all out’ untuk lagu ini,” ujar Diana ketika dihubungi GUA baru-baru ini.
Mengulas mengenai wataknya sebagai Laila dalam filem ini,
Diana menjelaskan yang Laila adalah seorang gadis yang bersikap ‘cool’,
penyabar, suka mencari penyelesaian ketika berdepan dengan masalah dan Laila
juga suka menurut kata kawan-kawannya. Dalam kumpulan muzik itu pula, Laila
bertindak sebagai ketua dan sebagai seorang ketua, Laila merupakan seorang
gadis yang boleh dikatakan rock habis!
Sementara itu, Diana juga mengakui pada mulanya dia berasa
agak bimbang apabila perlu bergandingan dengan ramai pelakon wanita untuk 'Kami
Histeria'. Namun, kerisauannya itu tidak ke mana-mana kerana dia tidak
menghadapi sebarang masalah ketika penggambaran.
“Awalnya saya risau, berganding dengan banyak pelakon
wanita, takut ada percanggahan pendapat atau pun idea. Namun begitu, telahan
saya ternyata salah. Bekerja dengan mereka tidak memberikan sebarang masalah
kepada saya. Mereka bekerja secara profesional dan saya tidak sangka, semuanya
berperangai gila-gila. Satu pengalaman yang sangat hebat apabila saya dapat
bergandingan dengan mereka dalam filem ini. Saya gembira dan boleh menjadi diri
sendiri dalam filem ini,” tutur Diana lagi.
Selain Diana, filem ini turut membariskan pelakon-pelakon
hebat seperti Nur Fazura, Nad Zainal, Sara Ali, Umie Omar, Mila Jirin dan ramai
lagi. Jadi apa tunggu lagi, bagi peminat filem tempatan di luar sana yang belum
menyaksikan filem ‘Kami Histeria’, sama-sama saksikan filem arahan sutradara
Shamyl Othman ini di pawagam berhampiran anda!
Sumber : http://my.entertainment.yahoo.com
0 comments:
Post a Comment