Perkataan popular yang lahir seiring perkembangan teknologi
seperti 'selfie', 'hashtag' dan 'tweet' akan menjadi sebahagian daripada Kamus
Dewan.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang
Sariyan (bawah,berbaju hijau) berkata ia selari dengan peranan kamus iaitu
merakam penggunaan kata secara meluas oleh masyarakat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkataan itu akan
diberi tanda 'bp' iaitu bahasa percakapan yang dilabel pada perkataan yang
belum diterima sebagai bahasa standard.
"Pengguna kamus perlu membaca bahagian pendahuluan yang
menjelaskan cara penggunaan kamus, termasuk bahagian dilabel 'bp', supaya tidak
ada salah anggap bahawa semua kata di dalam kamus adalah perkataan baku,"
katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kemasukan perkataan itu juga berdasarkan ilmu
leksikografi atau perkamusan memasukkan kosa kata yang digunakan secara meluas,
disertai penjelasan konteksnya sama ada rasmi atau tidak rasmi.
"Perkataan itu juga tidak akan dimasukkan sekali gus.
Tetapi bagi yang sudah meluas (pengunaannya), ia akan dimasukkan berserta
penjelasan taraf dan akan dinilai oleh pekamus kerana ada kaedah tertentu untuk
memasukkan sesuatu kata dalam kamus," katanya.
Awang juga berharap masyarakat tidak membuat tanggapan DBP
memasukkan banyak bahasa asing kerana fungsi kamus ialah perakam kata yang
digunakan secara meluas oleh masyarakat.
Perkataan seperti 'selfie' merujuk kepada perbuatan
mengambil gambar sendiri untuk dimuat naik ke laman sosial yang semakin menjadi
trend, termasuk dalam kalangan pemimpin, selepas telefon bimbit pintar
dilengkapi aplikasi kamera.
'Hashtag' yang merujuk kepada simbol # pula digunakan
pengguna Twitter untuk menandakan kata kunci atau topik hangat bagi memudahkan
pencarian dalam kalangan pengguna laman sosial itu.
Penggunaan perkataan 'moden' itu juga dimasukkan ke dalam
beberapa kamus terkemuka dunia, termasuk Kamus Oxford, yang mana 'selfie'
menjadi perkataan paling popular pada 2013.
Kamus Merriam-Webster juga menambah perkataan 'selfie,
hashtag dan Tweet' yang menyaksikan editornya, Peter Sokolowski dalam wawancara
dengan media baru-baru ini menyifatkan ia sebagai kesan perkembangan teknologi
dalam kehidupan.
- Bernama
Sumber : http://www.malaysiakini.com
Hebat juga pengaruh laman sosial zaman ini ...tq utk berkongsi :)
ReplyDelete