Agama ajar penganut akhlak baik, bukan rencana kezaliman di
sebalik hak asasi
Fahaman humanrightisme berasaskan pemikiran humanisme,
sekularisme dan liberalisme adalah ancaman atau serangan baharu kepada umat
Islam. Fahaman itu kini seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang pesat
berkembang di dalam dan luar negara.
Kebimbangan terhadap ancaman pemahaman bersifat songsang ini
disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Tilawah
al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah,
minggu lalu.
Hak kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan
itu tidak lain hanyalah dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak
bertanggungjawab.
Beliau berkata, pemikiran sesat ini adalah ancaman yang
berbahaya kepada akidah dan syariat Islam kerana mengagungkan kehendak dan
nafsu manusia semata-mata serta menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi
normal agama serta adab susila.
Malaysia bukan negara yang menolak hak asasi, namun
berpegang pada prinsip kesucian Perlembagaan dan undang-undang, mendokong
kesopanan dan tatasusila serta hak beragama, penting untuk Malaysia meletakkan
garis panduan bagi menjaga keharmonian serta ketinggian moral masyarakatnya.
Kita perlu sedar, semua agama mengajar penganutnya dengan
akhlak yang baik kerana itulah asas kepada pembentukan sebuah masyarakat
harmoni. Meletakkan fahaman liberalisme dan moral songsang akan menyebabkan
masyarakat celaru, akhirnya membawa kepada kemusnahan negara.
Mereka yang taksub dan mengagungkan ideologi liberal-sekular
Hak Asasi Manusia dicipta oleh Barat sebenarnya tidak bertamadun kerana fahaman
itu bercanggah dengan fitrah manusia.
Rencana kezaliman di sebalik hak asasi
Lagipun, negara yang dipandang sebagai pejuang hak asasi itu
sebenarnya yang merencana kezaliman, penindasan, penjajahan dan pencerobohan
tetapi berselindung di sebalik laungan perjuangan hak asasi.
Hakikatnya pejuang hak asasi manusia di negara ini telah
terkeliru sama ada pencabulan hak asasi manusia yang didakwa berlaku disebabkan
agama, polisi kerajaan atau akibat nafsu manusia itu sendiri.
Mereka secara terang-terangan telah menyalahkan agama kerana
bercanggah dengan hak kebebasan mutlak seorang manusia. Agama telah menetapkan
beberapa peraturan hidup supaya manusia menjalani kehidupan sebagai khalifah di
muka bumi.
Kerajaan telah menguatkuasakan peraturan itu supaya ia
dipatuhi. Apakah penganut humanrightisme ini tidak menyedari di sebalik laungan
menuntut hak asasi secara bebas, sebenarnya ia menjejaskan hak orang lain pula?
Apakah mereka tidak menyedari di sebalik kebebasan seks
rambang ia membiakkan pelacuran dan anak tidak sah taraf? Oleh sebab itu, hak
kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan itu tidak lain hanyalah
dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Keyakinan mendalam mengenai keadilan, kewajipan berpolitik,
bersosial, mempertingkatkan ekonomi di samping keazaman untuk melaksanakannya
tidak datang dari jiwa yang kosong dan pemikiran yang rosak.
Sebaliknya, keazaman untuk menepati tuntutan keadilan,
perisytiharan hak asasi dan moral yang disanjung tercetus daripada keyakinan
tinggi kepada Pencipta dan pegangan yang kuat dalam beragama.
Agama bentuk pemikiran
Ini kerana agama membentuk pemikiran, kecenderungan dan
keinsafan tinggi terhadap suruhan kepada kebaikan serta kesejahteraan sesama
insan seperti dianjurkan dalam agama Islam.
Islam sebagai agama yang bersumberkan kepada bimbingan Ilahi
adalah agama yang mula-mula mengisytiharkan prinsip kebebasan dan hak asasi
manusia baik secara teori mahupun amali.
Justeru, semua pihak perlu menerima hakikat walaupun zaman
semakin maju dengan kecanggihan tanpa batas, namun undang-undang dan agama yang
mengawal tatasusila manusia masih relevan untuk memastikan manusia tidak melakukan
kebejatan moral tanpa batas.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) rela
berbeza pandangan dengan dunia antarabangsa jika itulah yang diperlukan untuk
mempertahankan kewujudan undang-undang jenayah syariah yang mengawal tatasusila
dan moral umat Islam.
Jika undang-undang jenayah syariah ini dihapuskan, ia akan
memberi laluan kepada pengiktirafan terhadap golongan tercelaru mental ini,
seterusnya mengangkat gaya hidup tidak beretika.
JAKIM terbabit secara langsung mengadakan dialog antara
agama melalui forum khas yang diwujudkan oleh kerajaan iaitu Jawatankuasa
Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama.
Forum pupuk jaga perpaduan
Melalui forum itu perbincangan antara agama diadakan
bertujuan memupuk dan menjaga perpaduan serta keharmonian. Impak daripada
dialog itu amat baik dan berdasarkan maklum balas, usaha itu perlu diteruskan.
JAKIM sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pendapat
agama lain mengenai agama Islam tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha memahami
kepelbagaian agama, bukan untuk mempersoalkan keistimewaan diberikan
Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam.
Hak asasi manusia yang dilihat sebagai nilai sejagat yang
dikongsi perlu mengambil kira ciri khas sesebuah negara dan rantau termasuk
sejarah, budaya serta agama. Ini penting khususnya kepada Malaysia bagi
mengekalkan keharmonian rakyat dalam kepelbagaian bangsa dan agama.
Amanat Perdana Menteri bertepatan dengan konsep menjaga
maqasid syariah yang juga bersifat sejagat iaitu menjaga agama, akal, harta,
nyawa dan keturunan kerana ia satu bentuk ‘perjanjian’ yang disepakati semua
tamadun di dunia ini.
Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM)
Sumber : http://www.bharian.com.my
0 comments:
Post a Comment