Monday, May 26, 2014

Jepun kuasa baharu badminton | Jepun Juara Piala Thomas 2014

11:20 AM No Comments

NEW DELHI - Jepun muncul kuasa baharu sukan badminton dunia apabila mengejutkan Malaysia 3-2 di pentas final Piala Thomas 2014 di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Lebih manis, ia merupakan kali pertama Jepun mendakap trofi Piala Thomas dalam penampilan sulung mereka di pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.

Jurulatih Jepun, Park Joo Bong juga pastinya individu yang paling gembira dengan kejayaan Negara Matahari Terbit melakar sejarah ekoran tidak pernah mendakap trofi paling berprestij berkenaan sepanjang kariernya bersama Korea Selatan sebelum ini.

Percaturan Joo Bong menurunkan pemain perseorangan keempat, Takuma Ueda berbanding Sho Sasaki juga ternyata berbaloi apabila Ueda tenang menyumbang mata kemenangan Jepun selepas menewaskan kapten negara, Liew Daren dengan keputusan rubber set 21-12, 18-21 dan 21-17.

Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia terus kempunan mendakap trofi Piala Thomas selepas kali terakhir muncul juara pada 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila mudah menjinakkan Kenichi Tago dengan kemenangan straight set 21-12 dan 21-16.

Hasrat pasangan 'bidan terjun' negara, Hoo Thien How-Tan Boon Heong bagi mengejutkan pasangan No. 3 dunia, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa ternyata gagal biarpun berjaya mengheret perlawanan ke rubber set sebelum tumpas 21-12, 17-21 dan 19-21.

Ketangkasan bekas juara remaja dunia, Kento Momota juga gagal ditandingi pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng apabila menang straight set 21-15 dan 21-17.

Impian negara kembali menyala apabila pasangan beregu kedua, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan 2-2 apabila menang rubber set 19-21, 21-17 dan 21-12.

Tatkala harapan seluruh rakyat Malaysia terjurus ke arah Daren, pemain itu gagal beraksi dengan baik apabila tumpas mudah pada set pertama sebelum kembali bangkit pada set kedua.

Namun, Daren gagal menyerap tekanan apabila sering membuat kesilapan mudah pada set penentuan sebelum tewas.

Ia merupakan kekalahan ketiga Daren pada kejohanan kali ini apabila tewas kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini.
Ketika bertemu Denmark dan Indonesia di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini, Daren tidak sempat beraksi apabila Malaysia menang 3-1 dan 3-0 sebelum melangkah ke pentas final.

 Sumber : http://www.kosmo.com.my


0 comments:

Post a Comment

Tiada Kepalsuan Copyright © 2013
Powered by Blogger